Rentetan kisah Pembebasan Putri Ratni
Terguris hati Nyi Blirang kerana Putri Ratni telah terlepas dari kurungannya. Nyi Blirang bertambah berang apabila ketahuan Arif membantu membebaskan Putri Ratni hasil campurtangan Nyi Rorolor. Nyi Blirang bingkas memberi ugutan untuk menghancurkan istana Nyi Rorolor demi melunaskan dendamnya.
Sekali lagi Nyi Rorolor memohon bantuan Arif untuk menangkis serangan ini.
Bagaikan angin, Arif muncul di hadapan Nyi Blirang lalu memberi peringatan "Saya ingatkan Nyi supaya membatalkan sahaja niat jahat itu, sekirannya mahu hidup selamat”
"Baiklah Tengku, saya akur kehendak Tengku" jawab Nyi Blirang dengan penuh hormat. Tidak dapat tidak Nyi Blirang terpaksa setuju. Nyawanya dalam bahaya kerana ini kali kedua begitu Arif mudah meloloskan diri daripada kawalan ketat istananya.
Pertumpahan darah berjaya dielakkan, Nyi Blirang menepati janjinya tidak menyerang istana Nyi Rorolor.
Bagi mengenang jasa, Nyi Rorolor mengundang Arif dan Salim melawat ke istananya di Laut Lor.
Malam itu suasana di persisiran pantai hening sayu diselangi desiran ombak laut, mengimbau telinga setiap makhluk yg berada di sana.
“Ayuh kita ke sana” kata Salim mengajak Arif. Teringin sangat dia hendak melihat istana di dalam air itu. Sekelip mata, dua beradik itu sudah berada di perkarangan istana Nyi Rorolor.
“Ramai sekali pengawal, mereka semuanya tunduk sahaja” bisik Salim sambil mencuit bahu Arif. Mereka benar-benar terpegun melihat istana yang begitu indah, tak langsung mereka teringat ia dibina di dasar lautan.
Siling putih bersinar gemerlapan walaupun tiada satu lampu kelihatan. Tiang-tiangnya sebesar pemeluk terukir dengan motif kuda berwarna emas. Lantainya tersusun rapi dengan marmar besar kekuningan. Gabungannya menjadikan suasana di situ indah redup seolah-olah berada di syurga. Belum pernah terlihat di dunia nyata akan teknologi pencahayaan yang begitu harmoni. Pemandangan itu bagaikan karya agung imaginasi seni pelukis zaman silam.
“Cucu dah sampai rupanya, ayuh terus ke meja kita bersantap apa yang ada” ajak Nyi Rorolor.
Meja santapan begitu panjang dan membujur, berkerusi dua puluh. Dilapisi cermin berukir hijau biru seperti langit tanpa awan. Dibuat daripada kayu jati penuh dengan ukiran sebagaimana perabot-perabot yang lain.
Setelah puas menjamu selera, mereka meminta izin untuk beredar.
“Jangan lupa nanti cucu boleh ke hotel Nyi di Jogja. Di tingkat empat tu ya” pelawa Nyi Rorolor.
Sekelip mata, dua beradik itu sudah berada di hadapan bilik tersebut. Seorang pelayan terus membuka bilik dan mempersilakan mereka masuk.
“Bilik berwarna hijau. Semuanya hijau” kata Salim. Arif dan Salim terus melompat ke katil empuk, bergolek-golek seperti anak kecil. Mereka bergurau saling berlempar bantal sehingga koyak dan bertaburan kapas di udara.
“Bantal dah koyak. Macam mana ni?” kata Salim risau.
Kemudian kedengaran suara Nyi Rorolor “Cu, takpa. Takpa cu. Silakan, Nyi tak marah”
"Alamak, Nyi ada di sini lah” kata Ari kaget.
Nyi Rorolor hanya tersenyum melihat gelagat cucu mereka bermain. Tiba masa untuk pulang. Sekelip mata sahaja, mereka sudah selamat tiba di rumah.
Arif dan Salim bersyukur kepada Allah swt yang Maha Agung kerana telah diberi kesempatan yang tak ternilai harganya. Menitis air mata mereka sambil berselawat kerana walaupun memiliki berjuta wang belum tentu boleh membeli pengalaman seperti ini. Ya Allahuakbar.
Bersambung…
No comments:
Post a Comment