Monday, June 30, 2014

Rezeki Di Gunung

Para pekerja bengkel tayar berbisik sesama sendiri kerana hairan melihat seorang pelanggan asyik tersengih seorang diri sejak tadi. Di ruang menunggu, Sakroni sudah mula berangan. Perjalanan ke gunung yang dirancang bersama Salim dan Hj Maali pasti lebih selesa kerana kesemua roda jip SUVnya akan disarung jenama Michelin. Sakroni gelak di dalam hati kerana tiada sesiapa akan menyangka tayar tersebut hanyalah recond seludup dari negara jiran. 


Awal pagi lagi mereka telah bertolak. Mereka berhenti minum untuk melepaskan lelah setelah memandu di jalan lama yang bengkang-bengkok. Hj Maali cukup suka apabila terlihat tapai ubi, makanan kegemarannya ada di warung itu. Mereka lalu di kampung FELDA di mana semua rumah tersusun cantik bagaikan baru. Destinasi mereka adalah Gunung Belumut, tempat rekrasi yang terkenal dengan pemandangan indah.

Setibanya mereka di sana, ramai pendaki sedang berkumpul lengkap dengan alat perkhemahan. Setelah membayar tiket masuk, Sakroni meletak jipnya berdekatan dengan sebuah pokok jati condong.

"Saya duduk dalam kereta je, enjin matikan, cermin depan turunkan sikit" arah Hj Maali.

Entah datang dari mana, tiba-tiba sepasang ayam hutan datang menghampiri kenderaan mereka.

"Eh jinaknya ayam ni, lagaknya macam nak masuk dalam" Sakroni lantas membuka pintu jip dan memerhati dengan cukup hairan.


Ayam tersebut melompat masuk dan duduk sebelah Hj Maali. Salim bingkas bangun menarik tangan Sakroni untuk memberi ruang kepada Hj Maali. Menurut penglihatan Salim, sebenarnya seorang lelaki berpakaian tradisional ala jawa yang datang bertemu Hj Maali. Bersih raut muka lelaki tersebut, rambutnya panjang, berkain batik sarung, lengkap berblangkon sambil membawa sesuatu.

Salim dan Sakroni menuju ke anak sungai berhampiran. Aliran air yang turun dari puncak gunung melalui batu-batu gunung kecil dan besar serta berbelok-belok mengeluarkan bunyi yang sangat asyik.

"Bersih betul air ni, jernih dan sejuk pula. Ikutkan hati nak berendam puas-puas" kata Sakroni lalu membasuh muka ambil wuduk membasahkan seluar dan baju.

Setelah beberapa minit bermain air, Salim mengajak Sakroni kembali ke tempat meletak kenderaan.


Sesampainya di sana, Hj Maali sudah selesai melakukan kerjanya. Apabila Sakroni bertanya, Hj Maali mengesahkan apa yang Salim lihat itu benar. Sakroni menghidupkan enjin, lalu mereka semua beredar dari situ. Penjaga tiket terpinga-pinga kenapa tiga orang pelawat itu sanggup membeli tiket tetapi berada di dalam tidak sampai setengah jam.

"Hah, ini lah hasilnya" Hj Maali menyerahkan songkoknya yang penuh isi kepada Sakroni.

Sambil memandu, Sakroni menghulurkan pula songkok itu kepada Salim yang duduk di belakang untuk melihat kandungannya.

"Syukur, macam-macam ada" Salim berbisik ke telinga Saroni.

"Wah, lepas ini kita boleh pergi jamuan asam pedas kepala ikan. Makan jajan semahu kita" ujar Salim sambil ketawa puas.

"Lain-lain apa ada lagi bang?" tanya Sakroni teruja.

"Batu-batu cincin berwarna hijau, putih kuning dan merah. Keris-keris kecil, batu lipan dalam bekas tiub lutsinar, minyak wangi dan sebuah pisau kecil" terang Salim.

"Jangan cemburu ye" Hj Maali yang sejak tadi hanya tersenyum, tiba tiba ketawa kecil sambil menunjukan seutas kalung berbatu mutiara yang tergantung di lehernya.

"Makin tambah muda pak haji bila dah pakai kalung" Salim mengusik Hj Maali lalu disambut gelak ketawa mereka semua.

Setelah membelek batu-batu perhiasan itu, Salim menunjukkan isyarat ibu jari kanan tanda bagus. Seperti kebiasaannya, Salim dan Sakroni mengutamakan Haji Maali supaya memilih dahulu hasil aktiviti mereka. Selebihnya barulah Salim dan Sakroni bahagi-bahagikan antara mereka berdua.

Mereka gembira dan bersyukur kerana merasa bertuah dengan anugerah Allah swt kerana berpeluang berkenalan dengan makhluk-makhluk di alam sana.

Malam itu Sakroni tiba di rumah setelah menghantar pulang Hj Maali dan Salim. Badannya direbahkan ke katil tapi dia tidak boleh lelap. Matanya terkebil-kebil tidak mengantuk. Satu penjelasan terlintas di fikirannya ialah peribahasa orang putih "there must be something in the water"

Bersambung...

No comments:

Post a Comment