Thursday, June 12, 2014

Gangguan Perosak Walimatulurus

Awal pagi Khamis, sedang Salim berehat di rumah, kedengaran bunyi kereta berhenti di halaman. Rupa-rupa Arif bersama ayahnya sampai, lalu mereka dipersilakan masuk lalu duduk di ruang tamu.

"Dah seminggu saya cari abang" Arif  memulakan perbualan.

"Ada yang penting ke dik?" Salim merasa hairan.

"Kita kena ke rumah Hj Maali bang, acara kendurinya Sabtu nanti akan diganggu secara ghaib, pengantin dan diri pak haji juga dalam bahaya" Arif menjelaskan kerisauannya.

"Saya dah diberi petunjuk sejak seminggu yang lalu" Arif menambah.

Salim terus bersiap untuk sama-sama ke rumah Hj Maali.

Setibanya di rumah Hj Maali, kelihatan ramai sedang sibuk membantu membuat persiapan kenduri kahwin anak bongsunya. Setelah mengucapkan salam, mereka terus dipersilakan masuk ke bilik Hj Maali .

"Terima kasih kerana datang" Hj Maali memulakan bicara.

"Bagi saya hal ini berat kerana tanda-tanda dalam mimpi ada kami terima, sedang  isteri saya dah sakit di kaki kanan, panas seperti di bakar" Hj Maali mengadu pada Arif. "Syukurlah, panasnya dah hilang setelah di ubat Salim"

"Calon pengantin perempuan, pula sakit perut, buang-buang air, saya sendiri sakit seluruh badan" tambah Hj Maali lagi.

Arif mendongak melihat ke atas agak lama, sambil  bertutur dalam bahasa arab seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang.

"Yang datang ni ranking tinggi, yang satu ni Awang  Hitam bertenggek di atas bumbung. Siti pula di dalam rumah. Sedang pengikutnya di sekeliling kawasan rumah" Arif menyampaikan hasil pengamatannya kepada Hj Maali.

Arif dengan kebolehannya berdialog dengan makhluk halus, memarahi dan mengarahkan makhluk jahat itu membersihkan semua bahan-bahan yang telah diletakkan di seluruh rumah untuk tujuan merosakan acara kenduri. Arif memanggil Awang Hitam dan Siti menghadapnya, setelah pengikutnya yang lain sudah dihumban ke penjara di alam sana.

"Kamu berdua aku tambat di tunggul kayu di luar tu, pastikan acara nanti berjalan lancar tanpa gangguan sehingga selesai" Arif memberi amaran kepada Awang Hitam dan Siti. Makhluk jahat itu ketakutan, kerana mereka akan bertanggung jawab sekiranya terjadi apa-apa gangguan lain pada majlis nanti.


Kemudian Arif meminta Salim membeli buah kundur dan bunga melur untuk digunakan nanti semasa hari persandingan.

Pagi Jumaat, Sakroni sahabat baik Salim menjemputnya di rumah dan terus ke masjid Senai. Selesai solat  jumaat, mereka bergegas ke rumah Hj Maali untuk meletakkan buah kundur dibawah pelamin pengantin dan meletakkan bunga melur untuk mandi oleh pengantin perempuan di tempat khasnya. Kedua-dua barang mempunyai fungsi khas memerangkap makhluk jahat dan menjadi pemanis pengantin pada hari persandingan nanti.

Tibalah Sabtu, hari majlis berlangsung. Selepas Zohor, Salim dan Sakroni sampai di rumah Hj Maali untuk memeriksa semua peralatan penangkal perubatan samaada telah disiapkan dengan betul. Adakah buah kundur telah diletakkan ditempat yang diarahkan. Para tetamu enak menjamu selera sambil menyaksikan mempelai bersanding jam 2.00 petang. 


"Tamu sangat ramai, ada pula yang saya tak berapa kenal" kata Hj Maali pada Salim.

"Yang penting isi salamnya" Salim bergurau dengan Hj Maali.

Syukur sehingga jam 5.00 petang suasana kenduri hampir selesai; segalanya berjalan lancar, terkawal dan tiada kejadian buruk berlaku. Hj Maali menerima salam ucapan tahniah dari tamu- tamu yang hadir . 

"Tahniah Pak Haji, mohon balik dulu , petang ini saya kerja" kata Salim.

"Mana Sakroni?" tanya Hj Maali.

Salim menoleh ke belakang ke arah sahabatnya yang telah siap sedia untuk mengundur diri.

"Terima kasih banyak Salim, semua dah selamat, kirim salam terima kasih saya pada Arif ya" Haji Maali menutup cerita.

"Tahniah Pak Haji" kata Sakroni sambil bersalam dan mencium tangan Hj Maali.

Hj Maali senyum  lega sambil memberikan bungkusan cendera hati buat mereka berdua.

"Jangan lupa buah kundur tu harus dibakar" Salim mengingatkan Hj Maali.

Hj Maali kelihatan begitu ceria, gembira dan terharu kerana Allah swt telah membantunya sehingga acara selesai dengan jayanya. Pasangan pengantin baru tersenyum, sambil menjeling ayah dan bonda.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment