Monday, June 23, 2014

Libur di Jugra

Salim tersenyum puas. Setelah habis diungkitnya semua overtime yang masih tertunggak, akhirnya boss yang memang dasar tahi hidung masin itu meluluskan permohonan cuti panjangnya.

Sahabat lamanya Bahari yang berada di Shah Alam sudah lama mengajaknya pergi ke Bukit Jugra. Di situ ada istana lama peninggalan Sultan Abdul Samad, sultan Selangor yang pertama. Mereka pergi bertiga kerana isteri Bahari tidak mahu berenggang. Setibanya di destinasi, Khalid selaku penjaga istana turut serta sebagai penunjuk arah.


"Eh ada hulubalang istana" Salim memberitahu Bahari.

"Ia ke bang?" senyum sahaja Bahari kerana dia sudah maklum akan mata Salim mampu melihat alam sana.

Tak semena-mena Salim menepuk bahu Khalid dan menyoal "Di depan sana ada makam, betul tak bang?"

"Itu makam Panglima Hitam" jawab Khalid.

Sejurus itu Salim terdengar satu suara.
"Bukan, saya tidak berada di sini tetapi saya berada di Pulau Tanjung di gunung Lengas."
Salim faham itu suara Panglima Hitam sebenar yang membisik padanya.


Mereka terus menjelajah ke sekeliling istana. Terdapat batu-batu besar yang sudah berlumut dan diselaputi rumput-rampai.

Sekali lagi Salim mendapat firasat lalu bertanya pada Khalid "Di tepi sungai bawah sana ada satu lagi makam kan?"

Khalid mengiyakan saja walaupun dalam hatinya hairan bagaimana Salim yang pertama kali sampai boleh tahu selok-belok kawasan itu.

Walaupun makam tidak kelihatan lagi kerana sudah ditumbuhi pokok-pokok besar tetapi Salim begitu yakin mesti ada jalan untuk ke sana.

"Ayuh kita ke sana" ajak Salim.

Baru sahaja Salim melepasi dua anak tangga tanah, dia terdengar suara Datuk Syeikh Karim "Cu, jangan teruskan, balik kebelakang cu."

Salim terus terhenti dan membatalkan niatnya untuk ke makam lama itu.

"Kenapa tak jadi bang?" tanya Bahari terpinga-pinga.

Salim hanya diam dan memberi isyarat mata sahaja. Bahari akhirnya faham yang Salim telah diberikan petunjuk.

Lewat petang, sebelum beredar mereka ucap terima kasih kepada Khalid. Bahari dan isterinya pulang ke Shah Alam. Manakala Salim memecut sepeda motornya pulang ke kampung halaman.
 

 

Sampai sahaja di rumah, Salim menceritakan lawatannya ke Jugra pada Arif. Hatinya ingin tahu kenapa dia diarahkan berpatah balik semasa hendak pergi melihat makam yang kedua.

Arif membuka mulut memberi penjelasan "Bang, dulu makam tu makam orang baik-baik. Tetapi makan ini sudah dicemari dengan perbuatan mungkar. Memuja minta nombor dan kerja-kerja yang berlawanan sunnah, maka tempat itu sudah dipenuhi oleh makhluk yang jahat"

"Jadi apa kesannya dik?" soal Salim lagi.

"Yang baik sudah tiada , diganti oleh yang baru. Mereka sudah beranak-pinak sudah berkampung di situ. Berbagai bangsa dan rupa. Semasa abang nak naik, makhluk jahat sudah bersedia untuk MENYERANG. Abang boleh lepas tetapi Bahari dan isterinya belum tentu. Tambah lagi isterinya sedang hamil muda" tambah Arif lagi. 

Mendengarkan realiti itu, Salim bersyukur dan terus berselawat kerana mereka semua terselamat dari bahaya.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment