Monday, June 16, 2014

Kingkong Jadian

Suasana sore di Johor Bahru membahang persis waktu tengahari. Sakroni duduk mengelamun di beranda mengharap sangat hujan akan turun kerana rumput karpet di laman rumahnya kering kekuningan akibat kemarau. Telefon pintar miliknya tiba-tiba berdering.
 
"Assalamualaikum, kamu di mana?" suara Hj Maali di hujung talian.
 
"Waalaikumsalam di rumah saja ni, ada khabar apa pak haji?" Sakroni menyahut mesra.
 
"Ada satu keluarga ketakutan diganggu makhluk halus, rumahnya di Felda belah sana tu" tambah Hj Maali.
 
"Ceritanya begini, setelah 2 minggu ayahnya meninggal dunia, setiap petang ada jin datang menjelma. Angin kencang menderu-deru di sekeliling rumah. Kemudian kelihatan binatang berbulu hitam berkuku panjang bermata merah mengendap di celah kaca-kaca nako rumah. Ia meluru masuk ke dapur, geledah periuk lalu makan nasi dan lauk"


"Tak usaha halau ke?" sahut Sakroni.

"Orang lain dah dipanggil tapi kingkong tu masih mengacau, inilah dia mengadu dengan saya" jawab Hj Maali.

"Ini kes berat, kalau boleh nak minta tolong kamu bawa Salim sekali" ajak Hj Maali kerana sudah maklum akan kebolehan Salim.

"Baiklah pak haji, saya akan bincang dengan Salim" Sakroni setuju.

Awal keesokan paginya, Sakroni singgah di gerai untuk membeli alas perut kerana jarak perjalanan ke Felda Lintang agak jauh.

"Kak, goreng pisang tanduk Rm5, tauhu goreng Rm5 dan goreng ubi keledek Rm5"
order Sakroni.

"Banyak sangat ni" sapa kakak penjual itu.

"Biasa lah kak, buat sarapan dengan orang tua saya" jawab Sakroni sambil tersengih.

Sakroni pergi menjemput Salim dan Hj Maali dengan memandu jip SUV kesayangannya. Mereka di sambut oleh Along, wakil keluarga tersebut di stesen minyak berhampiran pintu gerbang kampung berkenaan.

Setibanya di rumah berkenaan, kelihatan beberapa ahli keluarga yang terbaring, murung dan pucat seperti seperti sedang mengalami sakit yang teruk. Hj Maali minta izin untuk melaksanakan acara.

"Pak haji jaga dalam rumah, saya dengan Sakroni akan periksa setiap bilik kemudian kami pantau di luar"
Salim mengatur urusan.

Setelah puas mencari di dalam, Salim diekori oleh Sakroni meronda pula di luar rumah.

"Hoi! di sana rupanya, KURANG AJAR ENGKAU, mari sini!" tiba-tiba Salim berteriak ke arah sesuatu di celah-celah kebun buah-buahan di belakang rumah.

"Kenapa ganggu rumah ini? Kau nak selamat atau nak masuk penjara!" gertak Salim.

"Tolonglah bang, saya hendak hidup lagi, tak mahu mati" jawab jin itu ketakutan.

"Kalau nak hidup apa janji kamu?" Salim gertak dengan lebih garang.

"Janji bang tak ganggu lagi, tak datang lagi, saya hendak pindah" jawab jin itu.

"Sekiranya langgar janji kamu mati, sekarang pindah!" Salim berkata sambil menunjuk ke arah mana jin itu harus pergi.


Sakroni ditugaskan menabur garam kasar di sekeling rumah dan juga bumbung. Hampir habis dua kilo garam digunakan untuk memagar. Mereka berdua masuk semula ke rumah terus menuju ke arah Hj Maali sambil mengangguk-anggukkan kepala, sebagai tanda kerja di luar sudah beres.
 

"Mohon pak haji tengok-tengokkan ahli keluarga saya yang demam terkejut kerana takutkan kingkong tu" kata Along.
 

Seorang demi seorang di kebah oleh Salim sambil diperhatikan oleh ahli keluarga yang lain.
 
"Baru tiga pesakit dirawat saya dah berpeluh-peluh, kalau habis lima orang boleh lapar perut ni" gurau Salim untuk menceriakan pesakit.

"Nampaknya semua dah selesai, kita nak baliklah" kata Hj Maali.

"Semua jemput makan nasi dulu" pelawa Along.
 

"Eh jangan susah-susah, tapi kalau dah masak takpe lah kami tolong makan" gurau Salim disambut dengan gelak ketawa seisi keluarga berkenaan. Mereka berselera makan hidangan panas yang disediakan. Lebih-lebih lagi Salim apabila melihat lauk kegemarannya asam pedas ikan dan kangkung belacan.

Setelah semua yang sakit diubati, kesemua isi rumah berkenaan gembira semula. Hj Maali, Salim dan Sakroni minta izin untuk mengundur diri sambil Along dan ahli keluarganya tak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Sehingga sekarang, keluarga Along tidak lagi diganggu oleh jin berkenaan. Syukur kepada Allah swt, ikhtiar mereka berjaya menghindar keluarga tersebut daripada terus dibelenggu ketakutan.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment