Monday, June 30, 2014

Rezeki Di Gunung

Para pekerja bengkel tayar berbisik sesama sendiri kerana hairan melihat seorang pelanggan asyik tersengih seorang diri sejak tadi. Di ruang menunggu, Sakroni sudah mula berangan. Perjalanan ke gunung yang dirancang bersama Salim dan Hj Maali pasti lebih selesa kerana kesemua roda jip SUVnya akan disarung jenama Michelin. Sakroni gelak di dalam hati kerana tiada sesiapa akan menyangka tayar tersebut hanyalah recond seludup dari negara jiran. 


Awal pagi lagi mereka telah bertolak. Mereka berhenti minum untuk melepaskan lelah setelah memandu di jalan lama yang bengkang-bengkok. Hj Maali cukup suka apabila terlihat tapai ubi, makanan kegemarannya ada di warung itu. Mereka lalu di kampung FELDA di mana semua rumah tersusun cantik bagaikan baru. Destinasi mereka adalah Gunung Belumut, tempat rekrasi yang terkenal dengan pemandangan indah.

Setibanya mereka di sana, ramai pendaki sedang berkumpul lengkap dengan alat perkhemahan. Setelah membayar tiket masuk, Sakroni meletak jipnya berdekatan dengan sebuah pokok jati condong.

"Saya duduk dalam kereta je, enjin matikan, cermin depan turunkan sikit" arah Hj Maali.

Entah datang dari mana, tiba-tiba sepasang ayam hutan datang menghampiri kenderaan mereka.

"Eh jinaknya ayam ni, lagaknya macam nak masuk dalam" Sakroni lantas membuka pintu jip dan memerhati dengan cukup hairan.


Ayam tersebut melompat masuk dan duduk sebelah Hj Maali. Salim bingkas bangun menarik tangan Sakroni untuk memberi ruang kepada Hj Maali. Menurut penglihatan Salim, sebenarnya seorang lelaki berpakaian tradisional ala jawa yang datang bertemu Hj Maali. Bersih raut muka lelaki tersebut, rambutnya panjang, berkain batik sarung, lengkap berblangkon sambil membawa sesuatu.

Salim dan Sakroni menuju ke anak sungai berhampiran. Aliran air yang turun dari puncak gunung melalui batu-batu gunung kecil dan besar serta berbelok-belok mengeluarkan bunyi yang sangat asyik.

"Bersih betul air ni, jernih dan sejuk pula. Ikutkan hati nak berendam puas-puas" kata Sakroni lalu membasuh muka ambil wuduk membasahkan seluar dan baju.

Setelah beberapa minit bermain air, Salim mengajak Sakroni kembali ke tempat meletak kenderaan.


Sesampainya di sana, Hj Maali sudah selesai melakukan kerjanya. Apabila Sakroni bertanya, Hj Maali mengesahkan apa yang Salim lihat itu benar. Sakroni menghidupkan enjin, lalu mereka semua beredar dari situ. Penjaga tiket terpinga-pinga kenapa tiga orang pelawat itu sanggup membeli tiket tetapi berada di dalam tidak sampai setengah jam.

"Hah, ini lah hasilnya" Hj Maali menyerahkan songkoknya yang penuh isi kepada Sakroni.

Sambil memandu, Sakroni menghulurkan pula songkok itu kepada Salim yang duduk di belakang untuk melihat kandungannya.

"Syukur, macam-macam ada" Salim berbisik ke telinga Saroni.

"Wah, lepas ini kita boleh pergi jamuan asam pedas kepala ikan. Makan jajan semahu kita" ujar Salim sambil ketawa puas.

"Lain-lain apa ada lagi bang?" tanya Sakroni teruja.

"Batu-batu cincin berwarna hijau, putih kuning dan merah. Keris-keris kecil, batu lipan dalam bekas tiub lutsinar, minyak wangi dan sebuah pisau kecil" terang Salim.

"Jangan cemburu ye" Hj Maali yang sejak tadi hanya tersenyum, tiba tiba ketawa kecil sambil menunjukan seutas kalung berbatu mutiara yang tergantung di lehernya.

"Makin tambah muda pak haji bila dah pakai kalung" Salim mengusik Hj Maali lalu disambut gelak ketawa mereka semua.

Setelah membelek batu-batu perhiasan itu, Salim menunjukkan isyarat ibu jari kanan tanda bagus. Seperti kebiasaannya, Salim dan Sakroni mengutamakan Haji Maali supaya memilih dahulu hasil aktiviti mereka. Selebihnya barulah Salim dan Sakroni bahagi-bahagikan antara mereka berdua.

Mereka gembira dan bersyukur kerana merasa bertuah dengan anugerah Allah swt kerana berpeluang berkenalan dengan makhluk-makhluk di alam sana.

Malam itu Sakroni tiba di rumah setelah menghantar pulang Hj Maali dan Salim. Badannya direbahkan ke katil tapi dia tidak boleh lelap. Matanya terkebil-kebil tidak mengantuk. Satu penjelasan terlintas di fikirannya ialah peribahasa orang putih "there must be something in the water"

Bersambung...

Sunday, June 29, 2014

Surah An Nas سورة الناس



بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ  

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ 

1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

 مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ 

2. Yang Menguasai sekalian manusia,

 إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ 

3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

 مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤ 

4. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ 

5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -

مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦ 

6. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Saturday, June 28, 2014

Surah Al Falaq سورة الفلق


بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ ١ 

1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.

 مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢ 

2. Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan.

 وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣ 

3. Dari bahaya gelap apabila ia masuk.

 وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ ٤ 

4. Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ٥ 

5. Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.

Friday, June 27, 2014

Surah Al Ikhlas سورة الإخلاص



بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ 

1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

 ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ 

2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

 لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ 

3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan

 وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤ 

4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Thursday, June 26, 2014

Kebatinan Yang Batil

"Assalamualaikum" Abu pagi-pagi lagi sudah terjengah di depan pagar rumah Sakroni.
 
"Waalaikumsalam. Duduk dulu ye, ini bibik tengah basuh" Sakroni bergurau sambil menuding ke bakul baju basuhannya. Setelah siap disidai, Sakroni terus duduk di pangkin bersembang dengan tamunya.
 
Abu memang sudah lama tidak ketemu Sakroni. Setiap kali mampir ada saja cerita menarik dibawanya.
 
"Abu, camna Jengka?" usik Sakroni.
 
"Kelapa sawit macam tu la jugak. Yang merisaukan saya ialah ajaran ilmu kebatinan yang semakin meluas dan berbagai pula" jawab Abu.
 
"Abis tu apa masalahnya?" soal Sakroni.
 
Abu menerangkan pengamal ilmu ini semakin menunjukan ciri-ciri yang di luar sunnah. Mereka berpakaian serba pelik, berjubah dengan tasbih besar melilit di leher. Mereka bongkak mencabar sesiapa yang meragui "ilmu" mereka. 


Pernah satu ketika kecoh kerana Sarir, seorang guru kebatinan mempertontonkan kehebatannya di hadapan khalayak. Sampai sahaja berita ke telinga Abu, lekas dia pergi ke kedai kopi tersebut. Abu diam sahaja memerhatikan gelagat Sarir yang menunjuk-nunjuk kebolehannya.
 
Lama kelamaan Sarir mula meracau dan bersilat tidak terkawal. Anak-anak muridnya menjadi kelam-kabut. Mereka resah kerana abang seperguruan kepada Sarir, satu-satunya orang yang boleh mengawal dan meneutralkannya tiada di situ.

Keadaan bertambah parah apabila Sarir mengamuk. Kerusi, meja dan segala peralatan warung habis dipecahkannya. Abu masih tenang lalu bertafakur sebentar kemudian pantas melakukan gerakan LIBAS TANGAN KANANnya.

Sejurus itu jugalah Sarir tersentak, tersedar dan bingung lalu terpacul dari mulutnya "Kenapa aku terasa kosong ni?"

Abu tidak menjawab kerana tahu libasannya sebentar tadi telah menyebabkan makhluk pendamping Sarir yang berupa orang tua berjubah terpelanting dan terus melarikan diri. Orang ramai terkejut dengan aksi spontan Abu. Kejadian itu masih menjadi buah mulut orang kampung sehingga ke hari ini.

 

Beberapa minggu kemudian, Abu dimaklumkan kehadiran Mat Kadim dari Sabah sedang minum di warung. Diceritakan beliau adalah guru kepada Sarir. Abu mulanya hanya memantau dari rumah, akhirnya pergi juga ke warung. Abu sengaja duduk agak jauh dari kelompok yang ramai itu.

Mat Kadim terus memerhatikan Abu lalu bertanya kepada pelanggan lain "Siapa budak tu?"

"Dia anak Pak Mat" jawab salah seorang anak muridnya.

"Bila dia sampai?" tanya Mat Kadim lagi

"Baru je duduk" jawab anak muridnya..

"Eh tak lah. Waktu aku sampai, dia memang dah duduk sini" kata Mat Kadim.

Pengikut Mat Kadim bersungguh-sungguh memberitahu beliau yang Abu baru sahaja sampai. Mat Kadim tetap yakin inilah budaknya yang sudah duduk disisinya sejak dari tadi. Akhirnya Mat Kadim terus menjemput Abu duduk di sebelahnya. Pengikut Mat Kadim semuanya kehairanan dan berdiri memberi laluan hormat kepada Abu sebagaimana guru mereka.

Ketika Abu sedang rancak bercerita, telefon pintar Sakroni berdering.

"Salam, oh abang ada apa? Malam ni memang saya nak ke sana jumpa abang" panggilan telefon dari Salim disahut Sakroni.

"Kirim salam pada Abu, suruh dia tengok sebelah kanan" kata Salim sebelum memutuskan talian.

"Abu, Salim kirim salam, dia suruh engkau tengok kanan tu" Sakroni menyampaikan pesan.

"Dah lama dah Salim datang dan duduk sebelah saya sini" jawab Abu selamba.

"Rupa-rupanya Salim dan Abu saling berhubungan secara ghaib, rugi Maxis dan Celcom macam ni" kata Sakroni dalam hati sambil menggaru kepala.

Sebelum meminta diri, Abu menyatakan bahawa Mat Kadim adalah guru yang betul. Sedangkan anak-anak muridnya lah yang menyelewengkan perguruan kerana telah menjadi hamba kepada sifat mazmumah yang sepatutnya dibuang jauh dari hati setiap orang mukmin.

Bersambung...

Tuesday, June 24, 2014

Direktori Surau : Giant Tampoi Mall

Premis : Giant Tampoi Mall, Lot 54 Jln Skudai, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim.
Lokasi : Zon A. Penjuru paling hujung.
Clue : Turun ke bahagian Food Court. Jalan terus.
Masuk ke lorong sebelah gerai makanan hot plate (Lot FC13). Kemudian belok kanan.
Belok kanan sekali lagi. Surau di sudut terakhir.
Catitan :  kapasiti kecil  < 10 orang, karpet, tempat wuduk di dalam, kerusi jemaah uzur, sejadah, air cond, cermin