Sunday, October 19, 2014

Hasrat Penghuni Sana

Sebuah jip SUV membelok ke jalan menuju Parit 17 Simpang Empat. Alunan muzik suara gemersik Broery Marantika kedengaran di corong radio kenderaan tersebut. Pemandunya tenang menyusuri jalan kampung dan tidak tergesa-gesa menekan pedal minyak. Setibanya di kawasan pusara, Sakroni mengajak penumpangnya, Salim turun. 


"Ini bang kubur bapak saya" kata Sakroni sambil menunjuk kubur ayahnya.

Sakroni membersihkan rumput di tepi batas sambil diperhatikan Salim. Mereka kemudian membaca ayat-ayat suci Surah Fatihah dan Surah Al Ikhlas buat arwah.

Setelah berehat sebentar, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya. Sakroni ingin menziarahi ibu mertuanya yang sedang sakit. Kira-kira jam 2 pagi mereka sampai di rumah yang di Kangar. Bibik menyambut membuka pintu mempersilakan mereka masuk.

Salim mengikut Sakroni terus berjumpa emaknya yang sedang berehat baring di bilik. Air muka Emak mula kelihatan merah, tidak lagi pucat seperti beberapa hari yang lepas. Salim sempat membuatkan dua botol air ubat; satu untuk mandi dan satu lagi untuk minum.

"Banyak makhluk lain di sini" tegur Salim akan Sakroni.

Bibik turut menyahut mengiyakan kerana dia selalu ternampak kelibat mereka.

"Yang hitam kecil-kecil banyak, tapi ada satu yang besar" jelas Salim.

"Boleh beritahu mereka jangan masuk rumah emak, atau halau je bang" pinta Sakroni.

"Baiklah saya pindahkan je, lebih selamat" kata Salim.

Sudah selesai kerja pemulihan, mereka disuguhi kopi pekat Perlis yang terkenal dengan aroma dan rasanya yang tersendiri.

Awal pagi lagi Sakroni keluar berbelanja ikan segar di Pasar Burma, Kuala Perlis. Tengahari itu sungguh berselera Salim makan apabila dihidangkan lauk kari kepala ikan kegemarannya. Selepas Asar mereka berdua bertolak ke tempat bersejarah Kota Indera Kayangan.



"Ramai sekali penduduknya" bisik Salim sambil menunjuk sesuatu di bukit-bukit kecil di sekeliling muzium yang dibina di situ.

Menurut sejarah kota tersebut dibina di atas kawasan berbukit. Antara nama bukit-bukit itu ialah Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Panah , Bukit Nasi Sebungkus dan banyak lagi yang lain. Kota ini menjadi tempat pemakaman Sultan Kedah yang mangkat pada tahun 1688. Sungai Raja dari Kedah dihubungkan terus dengan Sungai Perlis menjadi laluan utamanya ketika itu. Dua sahabat itu menikmati keindahan kota yang penuh dengan batu batuan asli dan taman bunga yang terjaga rapi.

"Begitu ramai yang tinggal di sini. Lelaki mahu pun perempuan" beritahu Salim.

"Bang, perempuannya camna?" Sakroni mengendeng.

"Wah cantik-cantik sekali, mereka turun menyambut kita lah" lanjut Salim.

"Bang saya ambil gambar, mana tahu dapat lihat nanti" kata Sakroni sambil mengaktifkan kamera telefon pintarnya.

"Mereka kata tolong jangan foto, mereka malu" Salim menyampaikan hasrat mereka itu pada Sakroni.

"Walaikumsalam, kami hanya melawat" Salim kelihatan menjawab salam dari seseorang di kawasan makam.

"Maaf , pertalian darah dari mana ya?" Salim meneruskan bicara dengan mereka yang tidak nampak pada mata kasar Sakroni.

"Lepas ini kami akan balik jauh, tak dapat lama di sini" terang Salim, seolah olah mereka mahu dirinya berada lebih lama di situ. 



Sungguhpun Salim senang hati kerana penghuni kota lama ini sangat mengalu-alukan kehadirannya tetapi masa tidak mengizinkan. Mereka terpaksa beredar kerana perjalanan pulang mengambil masa yang agak panjang.

Sekembalinya mereka di rumah, Eiman anak bongsu Sakroni menemuinya mengadu demam panas mendadak; tidak larat hendak ke sekolah esoknya. Pinggangnya terasa sakit dan kaki panas tetapi badannya terasa sejuk pula.

"Bang, semalam ke mana je?" tanya Ann, isteri Sakroni khuatir.

"Kota Indera Kayangan je, jangan risau tak apa-apalah" jawab Sakroni lagi.

"Kan tiap tahun orang kampung nampak mereka berarak beramai-ramai bang. Macam ada festival, jaga-jaga takut yang jahat ikut abang balik" kata Ann lagi.

"Dah le tu jangan risau" Sakroni memendekkan cerita.

Dalam pada itu, Salim telah memanggil Eiman supaya rapat, lalu menyentuh ubun-ubun, badan dan hujung jari kakinya. Salim memberitahu ia bukan panas badan yang biasa. Sejurus kemudian Eiman terus muntah-muntah. Setelah mandi dan minum air yang di berikan Salim, Aiman beransur pulih dan sakit pinggangnya reda.

Keesokan harinya Salim telah pulang ke pangkuan keluarganya di kampung. Sakroni yang masih lesu badan dan lenguh kaki akibat aksi berterusan menekan pedal minyak perjalanan jauh mengambil keputusan pergi berurut dengan Pak Mat.

Ketika sedang mengurut, Pak Mat tiba-tiba bingkas bangun menuju isterinya. Dia minta bantuan isterinya memulihkan urut tangan kirinya yang sudah kekejangan.

"Pak Roni, tak pernah terjadi begini selama saya mengurut orang. Kenapa ya badan bapak ini?" jelas Pak Mat sebelum Sakroni beredar.

Sejak jam 3 pagi Sakroni sudah bangun untuk ibadat malam. Ketika hampir masuk waktu Subuh, dia terasa pinggangnya terlalu nyilu sakit sampai ke kaki kanan. Sudah dalam keadaan terbaring, Sakroni gagahkan jua mencapai telefon pintarnya.

"Bang, maaf ganggu pagi-pagi ni, saya sakit sangat di pinggang sampai kaki" adu Sakroni pada Salim yang sedang berada di Temasik.

"Rasa camna?" tanya Salim.

"Nyilu teramat sangat, sampai tak boleh berdiri bang" jawab Sakroni.

"Siap ye abang bantu sekarang" ujar Salim.

"Jarak jauh je bang?" soal Sakroni sambil menahan sakitnya.

Setengah jam kemudian sakit Sakroni berkurang. Jam 7 pagi, Sakroni menghantar Eiman ke sekolah dan cukup sihat dan cergas untuk membaiki bumbung garaj rumah yang bocor. Syukur Alhamdulillah kerana doa dan usaha Salim di makbulkan Allah swt.


Bersambung...

Thursday, October 16, 2014

Lebih Dari Kenal

"Nak ke mana tu Lim?" laung orang kampung dari jauh.

"Mancing di Tanjung Alus" sahut Salim sambil meneruskan langkahnya.

"Wah berani kau, hati-hati ye" kata orang itu siap berpesan.


Masyarakat setempat sudah cukup maklum, Tanjung Alus adalah tempat yang terkenal angker. Tapi Salim yang sudah teringin sangat tetap meneruskan hobinya itu. Joran panjangnya dipegang erat. Dia yakin jika kaki pancing tidak ada yang berani, pasti siakap di sana besar-besar saiznya.

"Lim, bila kau balik? Kita orang risau kau tak jumpa jalan pulang" tegur orang kampung.

"Dua malam je aku kat sana. Hasilnya memang puas hati" jawab Salim sambil menggayakan saiz tangkapan menggunakan tangan.

"Tak jumpa hantu ke?" celupar mulut mereka bertanya.

"Tak ada lah, kalau ada pun boleh ajak sembang-sembang" jawab Salim dengan air muka selamba.

Mereka yang mendengar menggeleng-geleng kepala dan terus berlalu pergi. Memang sudah menjadi aktiviti masa lapang Salim mengunjungi tempat-tempat misteri. Kawasan luar bandar Benut pun pernah dijejaki untuk menziarahi kawan lama yang sedang sakit.

"Jalan lekuk-lekik bang, jaga-jaga takut terhantuk" kata Leman sambil memandu kereta nasional yang sudah berumur itu.

"Ini tempat laluan dia. Nah tu. Nampak tak Man?" jawab Salim sambil cuba menunjuk sesuatu.

"Nampak apa bang?" Leman tertanya-tanya sambil matanya liar melihat sekeliling dalam kelam malam. 


"Seekor ular besar bersisik emas bermuka manusia" terang Salim.

Dewi Masita melihat ke arah mereka, sedang kepalanya memakai mahkota bertatahkan batu batu berharga. Makhluk itu yang selalu berulang alik menyeberang jalan ini sehingga turapan tidak pernah elok walaupun selalu diperbaiki. Menurut Salim sekira ular ini di pindahkan ke tempat lain , barulah jalan ini tidak selalu rosak.

"Camna pulak tu?" soal Leman.

"Kena bincang apa yg dia hendak. Runding cara baik" kata Salim.

Salim sebenarnya tahu apa yang dipinta Dewi untuk pindah dari situ. Dalam perjalanan pulang, buat sementara ini Salim hanya diamkan sahaja.

Beberapa minggu kemudian, Hamid sahabat sekampung Salim ajak pergi mengeteh. Ada sahaja perkara yang hendak dibualkan nanti. Hamid memberitahu tidak jauh dari rumahnya terdapat hutan rumpun buluh. Anehnya di hujung jalan nampak begitu indah kerana redup dek hujung pokok buluh yang bercantum.

"Aku nampak sepasang wanita muda selalu bermain di bawah pohon buluh" beritahu Hamid.

"Hah kau jangan cakapkan namanya, aku kenal mereka" ujar Salim.

"Betul ke? Aku pun nak tahu nama mereka" Hamid mendengar dengan penuh minat.

"Siti Badariah kakaknya dan adiknya Siti Bahanum" tambah Salim.

"Eh camna ko boleh tahu?" kata Hamid terkejut.


Salim mengimbau kembali zaman mudanya kisah sedang bercinta. Suatu ketika itu dia sedang berpacaran di pantai menghirup udara segar. Dua makhluk itu sejak tadi mengikuti jejak dan mengintip Salim dan buah hatinya, Shila. Tiba-tiba Salim perasan perubahan pada diri Shila, seperti ada yang mengganggu dan meresap masuk ke dalam tubuhnya

"Kenapa kau masuk badan Shila? Kalau kau tak keluar, aku pukul" gertak Salim.

Makhluk itu masih berdegil. Salim merasa geram lalu memukul tangan Shila menyebabkan dia tersedar. Beberapa hari kemudian, Shila diganggu lagi.

Sekali lagi Salim memukul Shila lebih kuat untuk memulihkannya.

"Kau pukul adik aku!" kata Siti Badariah yang marah.

"Ialah aku tak tahu yang adik kau yang masuk" jawab Salim dengan sedikit kesal.

"Kau harus bantu mengubatinya, adik aku sakit" rayu Siti Badariah.

Salim menyuruh Siti Badariah merendam bunga melor dan minum airnya selama beberapa hari. Dengan izin Allah, akhirnya Siti Bahanum sembuh. Sejak dari saat itu, dua Siti tu selalu membantu Salim. Mereka mengemas rumah dan membersihkan sampah sarap. Rumah Salim begitu kemas dan berbau wangi-wangian yang sungguh menyegarkan.

Tidak lama setelah melangsungkan perkahwinan, Shila pun mengandung anak sulung. Kegembiraan menanti cahaya mata turut dikongsi bersama dua Siti. Sedang Salim duduk sendirian, mereka muncul.

"Ada apa ye? Macam ada perlu ni" tanya Salim.

"Bang kami ada maksud... Gini bang, kami ingin menjaga anak abang bila dia lahir nanti" pinta Siti Badariah.

Permintaan ini cubaan yang sangat berat bagi Salim dan Shila. Semacam menyerahkan anak kesayangan kepada mereka. Pastinya anak ini akan ghaib dan sesekali sahaja dia akan pulang. Shila semacam keberatan. Akhirnya Salim tidak mengizinkan anak yang bakal lahir itu dipelihara oleh mereka.

"Maaf, kami nak bela anak kami sendiri" jawab Salim halus.

Beberapa kali Siti mengulangi permintaan mereka tetapi pendirian Salim tidak berganjak..

"Bang, kalau itu keputusan abang, kami terima tetapi..." jawab Siti kesedihan.

"Tetapi apa ye?" soal Salim.

"Kami terpaksa tinggalkan keluarga abang , kami pindah bang" kata Siti dengan cukup pilu.

Mulai hari itu kelibat mereka sudah tidak lagi kelihatan. Hanya Salim yang tahu mereka telah berpindah dan tinggal di kawasan bambu tidak jauh dari rumah Hamid.

"Oh itu kisahnya, patutlah engkau kenal" kata Hamid.

"Ya sudah di takdirkan begitu, saya kena terima Mid" Salim mengakhiri kisah lamanya.


Bersambung...

Tuesday, October 14, 2014

Kalau Hati Sudah Terpaut


Setelah Salim berjaya memenuhi permintaan Bapak mencari Arif tempoh hari, dua beradik itu semakin kerap bersama naik ke gunung. Ombak samudera dan belantara tebal diredah untuk menziarahi Bapak, Emak, Ibu, Ayahahanda, Bonda, Kakek dan Nenek. Kehadiran Arif di gunung sentiasa diperhatikan cucu kesayangan Nenek, Putri Milofa. Malah Putri Milofa pernah pergi sendirian menunggang kuda Bonda untuk bertemu dua beradik itu di pantai Temasik. 


Seperti rutinnya, perjalanan kali ini Salim dan Arif menaiki pengangkutan awam untuk pergi ke pelabuhan. Agak lama juga mereka menunggu; akhirnya muncul sebuah teksi dengan dua penumpang perempuan di tempat duduk belakang. Salim segera duduk di depan manakala Arif mahu tidak mahu berasa serba-salah duduk di belakang sebelah wanita muda yang bersama ibunya itu. Salim yang tajam pandangan matanya itu terlebih dahulu sudah menyedari wanita itu adalah Putri Milofa yang menyamar untuk bertemu Arif. Begitulah kalau hati sudah suka, kemana pun dikejar dalam benak Salim.

Malam menjelang ketika mereka sampai di kaki gunung. Cuaca hujan tambah menyukarkan pendakian tetapi Salim tangkas mengatur langkah demi langkah. Arif yang mengekori di belakang beberapa kali jatuh tergelincir kerana denai agak licin.

"Aduh jangan laju laju, saya tak larat kejar" kata Arif kepada Salim.

"Ayuh anak-anak gunung, kurangkan dorongan kalian pada diri saya" arah Salim kepada anak-anak gunung supaya Arif tidak kepayahan mengejar untuk bersamanya.

Langkah Salim bertambah pantas kerana ditolak oleh anak-anak gunung yang begitu kasih kepada Salim. Sedang Arif perasan seekor harimau kumbang besar sentiasa mengekori mereka sejak tadi.

"Bodyguard ke tu?" tanya Arif.

"Ya dik, kalau kita datang malam dia ikut kita" jelas Salim. 


Apabila sampai, dua beradik tu pergi menghadap Bapak. Segala persiapan telah disediakan Bapak untuk memanggil Putri Milofa datang.

"Eh, kamu lihat tadi?" tanya Bapak yang terkejut kerana kelibat pontianak yang datang.

"Ya lihat pak" jawab Salim

"Kenapa yang itu yang datang, apa bapak salah baca?" kata bapak hairan.

"Ya tak tahu pak, kan bapak yang baca" sahut Arif jujur.

Salim senyum sahaja bagaikan dia tahu siapakah yang cuba mengabui peristiwa itu. Salim tahu sangat Putri Milofa begitu di sayangi Nenek. Ramai sekali jejaka yang ingin menyuntingnya, harus melalui tapisan Nenek.

Arif begitu bernasib baik pernah menerima gambar berbingkai daripada Putri Milofa. Gambar ini dirujuk pada Bapak.

"Ini gambar asli dari atas, bukan buatan orang biasa. Ini pasti dari Putri" jawab Bapak.

Bapak mengajak Salim dan Arif berjumpa Nenek untuk bertanya memastikan kesahihan gambar berbingkai berkenaan.
 
 
"Kalau cucu Arif masih mahu main di gunung ini, nanti dalam perjalanan pulang, foto itu harus dibuangkan ke laut ya" tegas nenek yang tiba tiba berada di situ.

Walaupun hatinya keberatan, Arif tetap mengiyakan arahan nenek. Salim semakin yakin tentang Nenek yang cukup ambil berat pasal jodoh dan masa depan Putri Milofa, cucu kesayangannya itu.

Dalam perjalanan balik, Arif teringat pesan Nenek. Di saat itu jugalah, tiba tiba Salim melihat Putri Milofa di sebelah Arif, sedang Bonda menunggang kuda di atas permukaan air. 


"Macam mana ye, Nenek kata gambar ini kena buang?" tanya Arif kepada Salim.

"Kalau kita masih hendak ke gunung lagi, kena korban buang ajelah. Nenek nak lihat kejujuran kita" nasihat Salim

Salim yang lebih tajam pandangan hatinya percaya foto itu akan di ambil Bonda. Terlihat kelibat tangan bonda menyambar foto yang di buang Arif ke laut sambil di perhatikan oleh Putri Milofa sambil tersenyum.

Beberapa bulan kemudian, Salim dan Arif pergi naik semula ke gunung semula. Arif yang penasaran pergi menemui Bapak.

"Kalau mahu bertemu dengan putri harus ada barang" kata Bapak.

"Barang apa ya pak?" tanya Arif.

"Ya kunyit" jawab Bapak.

Arif berasa sedikit lega apabila mendengar barang itu hanyalah kunyit. Dua beradik itu kembali menemui Bapak lagi untuk mempersembahkan sesuatu. Arif meletakkan barang itu di tepi meja.

"Apa itu ya nak Arif?" tanya Bapak bila terlihat barang tersebut.

"Ya itu lah barangnya. Kunyit saya beli di pasar dan sebiji dapat dari emak mertua saya" kata Arif kepada Bapak.

"Aduh nak, bukan kunyit ini. Ini kan kunyit masak" tegur Bapak.

"Kunyit yang gi mana pula pak?" tanya Arif kebingungan.

"Kunyit hitam. Tanaman orang alam sana. Ya takpalah nanti bapak ambilkan ya" jelas Bapak.

Tidak lama kemudian, Bapak datang dengan menggenggam kunyit hitam. Salim dan Arif pertama kali dapat melihat dan mengenali kunyit hitam dalam hidup mereka. Bapak menyerahkan beberapa butir kepada Arif dan selebihnya untuk Salim.

"Nak Arif terimalah kunyit ini, simpan dia baik baik" pesan Bapak.

Salim mengawasi peristiwa itu dengan teliti. Dia tahu kunyit hitam untuk Arif adalah kunyit yang khas dipunyai oleh Putri Milofa. Sekiranya kunyit itu hilang bererti lamarannya diterima. Salim menyimpan rahsia ini untuk sementara waktu.


Bersambung...

Tuesday, September 30, 2014

Kerusi Roda dan Tongkat

Tup Tap... Tup Tap... Tup Tap...

Tapi itu bukan pendulum yang berbunyi. Itulah melodi yang wajib kedengaran setiap kali hujan lebat melanda. Sudah dua kali atap banglo tersebut ditampal tapi masih juga bocor. Sakroni perlahan-lahan mengemop lantai dapur yang sudah basah kerana khuatir risiko sesiapa tergelincir.

"Bang, kawan Ann dah sampai" panggil isteri kesayangan Sakroni.

Sakroni menyiapkan kerjanya itu lalu pergi ke ruang tamu. 



"Assalamualaikum, saya Ramlan. Ini isteri saya, Fatin" tetamu itu memperkenalkan dirinya.

"Ya bang, Fatin ni rakan sekelas saya di STF dan lebih 30 tahun tak jumpa" Ann menyambung. Aplikasi WhatsApp menemukan mereka semula setelah sekian lama.

Fatin yang berkerusi roda dibimbing turun dan lalu duduk di kusyen yang agak lebih selesa. Ann dapat tahu Fatin telah diserang angin ahmar sehingga lumpuh separuh badannya sebelah kiri. Sudah 10 bulan Ramlan tabah berikhtiar membawa isterinya berubat secara moden atau tradisional.

Mendengar cerita mereka, Sakroni tergerak untuk bercerita tentang derita penyakit Multiple Sclorosis yang dialaminya empat tahun lalu. Badan Sakroni yang hampir lumpuh dan hanya mampu bergerak berbantukan dua tongkat. 


"Apa kata doktor pakar?" tanya Fatin ingin tahu.

"Kalau rujuk pada imej foto MRI, banyak sangat tanda anomali di sepanjang tulang belakang saya. Yang sedihnya doktor kata daya ingatan saya akan hilang secara mendadak dalam masa yang singkat" jelas Sakroni.

"Habis tu camna boleh sembuh ni?" Fatin ingin tahu lebih lanjut.

"Macam awak juga, berubat tradisional ke mana-mana je dah dicuba. Akhirnya saya jumpa satu orang yg telah membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bersyukur saya seperti mati hidup balik rasanya" tambah Sakroni. 


Mendengarkan perkara tersebut, Fatin bersemangat untuk mencuba. Sakroni menghubungi Salim dan Arif untuk mengatur pertemuan. Sakroni memandu perlahan sambil diekori kereta Ramlan menuju ke rumah Arif. Mereka menunggu memberi ruang Arif berehat sekejap kerana beliau baru pulang setelah seharian bekerja di Temasik.

"Maaf saya pegang kaki isteri abang" Arif meminta izin untuk memeriksa Fatin.

Arif menekan jari kaki, ternyata Fatin kesakitan. Kemudian Arif menekan lutut kemudian lengan kiri pesakit. Fatin merasa pedih yang amat sangat.

"Kak, kalau ini angin ahmar sepatutnya ketiga-tiga tempat yang ditekan tadi tak sakit. Bermakna ada benda lain bersama dengan sakit ini" terang Arif.

Fatin ditemani suaminya diajak masuk ke bilik untuk membuang makhluk halus dengan kaedah kebas. Setelah mandi, mereka duduk di ruang tamu sambil minum teh panas. Ketiga-tiga titik tadi sudah tidak sakit sama sekali.

"Sekarang apa rasa kak?" tanya Arif. Disisinya Salim terus mengikuti dengan teliti.

"Badan saya yang tadinya macam ais sekarang dah terasa panas" kata Fatin.

"Perasaan pula camna?" tanya Arif lagi.

"Rasa sedih sunyi pilu dah macam takde" jawab Fatin semakin ceria.

Ramlan tersenyum gembira. Arif pun mempelawa mereka untuk berubat dua kali lagi itu pun kalau terasa selesa. Mereka setuju untuk terus berubat dan menginap di hotel berhampiran untuk datang rawatan susulan keesokan harinya.

Lewat malam itu, Salim datang bermalam di rumah Sakroni. Salim bercerita pernah satu ketika dia dan Arif sedang bersantai duduk di kerusi batu di pantai. Tiba-tiba Datuk Syeikh Karim muncul membimbit sebuah beg kulit eksekutif istimewa. 



"Tuk, hulurlah satu dua kepuk , kita dah nak raya ni" rayu Salim pada Datuk.

"Tuk tahu cucu perlu duit, sabarlah" jawab Datuk.

"Dalam beg tu apa Tuk?" Arif mengecek agar isi beg itu boleh dilihat.

Dua beradik itu semakin penasaran ingin tahu dan berharap tak lain tak bukan ianya fulus untuk sambutan raya. Apa lagi kelihatan Datuk asyik memegang seperti hendak membuka beg tersebut.

"Tuk, bukalah cepat" rayu Salim lagi.

Akhirnya Datuk membuka beg tersebut dan mereka lihat di dalamnya hanya sehelai jubah rasmi Datuk.

"Cucu ni asyik fikir duit je, sabarlah" kata Datuk tersenyum sambil menutup begnya kembali.

"Cu maaf ya. Tuk mohon diri ada tugas. Jaga diri baik-baik ye" kata Datuk kemudian menghilangkan diri.

"Bang, terkena kita kali ini ye!" kata Arif kepada Salim sambil ketawa sedih bersama.

"Makhluk alam sana memang cantik dan berpakaian fesyen bagai ke?" tanya Sakroni setelah penat tergelak mendengar peristiwa lucu tadi.

Salim berkata pernah seekor ular sebesar pemeluk datang menghampirinya dan Arif. Mereka mula hairan apabila ular aneh itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Tidak semena-mena ular tadi bertukar rupa kepada seorang wanita yang berkulit hitam. Kepalanya memakai mahkota tapi Masya Allah tiada sehelai benang pun dibadannya.

"Kenapa begini?" tegur Arif sambil menjeling pada makhluk itu.

"Maaf Tengku, saya Dewi. Nama tengku dah lama saya dengar, cuma belum pernah ketemu. Jadi barulah saya kenal tengku hari ini" jawab makhluk berkenaan.

"Oh jadi tak ada maksud lainlah?" tegas Arif.

"Tidak tengku. Terima kasih, saya mohon diri" jawab Dewi lalu menjadi bertukar menjadi ular semula dan terus hilang dari pandangan.

Sakroni ketawa geli hati mendengar kisah janggal itu. Hebatnya kekuasaan Allah swt melepasi logik akal dan fikiran manusia biasa yang tidak seberapa. Subhanallah.


Bersambung...

Thursday, September 25, 2014

Pandangan Mata Hati

Bantal kusyen disusun rapi di lantai ruang tamu. Sakroni keletihan baru pulang dari berurusan di balai polis, terbaring di samping kipas yang berputar ligat. Belum sempat matanya lelap, tiba-tiba anaknya yang bongsu mengejutnya untuk memberitahu ada tetamu datang. Sakroni menjenguk dari celah-celah tingkap, tapi bukan sahabat karibnya Salim yang bertandang. 


"Assalamualaikum, nama saya Azman. Ini rumah Doktor Sakroni ke?" kata pemuda yang di depan pagar depan itu.

"Oh ya saya. Awak yang telefon hari tu cari abang Salim kan?" balas Sakroni lalu bersalaman dan mengajak tamunya masuk duduk di astaka laman rumahnya.

"Siapa mula-mula Azman jumpa di luar rumah tadi?" tanya Sakroni sengaja mahu menguji tetamunya itu.

"Rumah doktor ni ada pengawal alam lain tinggal. Bersih orangnya dan sentiasa bersenjata pula" jawab Azman ringkas.

Sakroni tidak terkejut lalu mengangguk mengiyakan jawapan tersebut. Dia sudah dimaklumkan bahawa Azman dikurniakan Allah swt dengan kelebihan pandangan mata hati yang tembus.

"Saya asalnya punya masalah besar, orang rumah saya lari. Kerana saya sayangkan dia, saya mohon doa orang alim agar isteri saya balik semula. Syukurlah setelah dijumpakan dengan Arif, saya beramal hati jadi tenang. Kemudian dapat pengalaman yang tak pernah ditempuh sebelum ini" Azman memulakan kisah dirinya.

"Pengalaman macam mana tu?" acah Sakroni ingin tahu.

Katanya dia selalu berjalan ke tempat-tempat yang indah. Ke istana yang entah di mana dan berjumpa orang tidak dikenali di tengah padang pasir. Di bawa ke atas langit dibawa jauh ke dalam bumi. Kemudian bertemu dengan pelbagai makhluk. Hatinya takut tetapi tetap diberanikan dan akhirmya dia berasa binggung. Kerana ingin memahami akhirnya dia bertekad ingin berjumpa Arif lagi. Arif menyuruhnya berjumpa Salim yang mampu menafsirkan keanehan peristiwa tersebut.

"Assalamualaikum, dah lama sampai?" Salim yang baru tiba terus menuju astaka. Dahan-dahan pokok orkid gajah yang menghalang laluan kerana sudah lama tidak dicantas dikuaknya ketepi untuk menuju ke astaka.

Azman yang polos dan ikhlas terus menyambung cerita berkongsi pengalaman dengan Salim dan Sakroni tanpa selindung, riak dan syubhah. Azman memberitahu pandangannya semakin jelas sejak berjumpa dua beradik itu.

"Cuba tengok rupa sebenar saya?" soal Salim terus kepada Azman.

"Abang punya pakaian dan jubah. Abang membawa banyak kitab di kiri dan kanan jubah abang. Sekeliling abang tertulis penuh dengan ayat ayat" Azman menerangkan satu persatu. 


"Sekarang cuba lihat istana Atuk" soal Salim lagi

"Ya bang, bawah istana ditampung awan. Ada sungai ada taman. Semua orang di istana pakai jubah coklat. Ada ruang kerja dan seluruh istana terbina dari kristal. Terlalu indah seperti dalam mimpi" kata Azman dengan teliti.

"Azman tengok Atuk di mana sekarang, hujung langit sana?" tanya Salim lebih lanjut.

"Atuk di atas mimbar sedang memberikan ceramah kepada tiga kumpulan besar insan" jawab Azman

"Makhluk apa tu?" sampuk Sakroni yang pasang telinga sejak tadi.

"Ada kumpulan manusia berjubah putih. Ada kumpulan berjubah kuning air dan satu lagi kumpulan berjubah coklat serban sederhana. Abang Salim dan Arif pula berada di samping Atuk" jawab Azman lagi.

"Azman cuba lihat siapa yang terbang-terbang tu?" tanya Salim lagi.

"Itu Dewa Kali, dia tak duduk di kuil seperti yang didakwa oleh golongan kuil berkenaan" kata Azman.

"Abis siapa yang duduk situ di sembah? " celah Sakroni lagi.

"Itu klon dia" jawab Salim ringkas.

"Dewa Kali membulatkan mata sambil menggangguk bang" Azman menyampaikan pengamatannya.

"Cuba tanya Atuk, siapa gerangan yang saya jumpa ketika berzikir di padang pasir?" mohon Salim kepada Azman.

"Atuk kata abang Salim berjumpa seseorang yang sangat digeruni di zaman itu. Eh Atuk tunjukan videonya sekali. Masya Allah hebatnya" cerita Azman dengan penuh kehairanan.

Kalau diikutkan hati banyak lagi yang ingin disampaikan, tetapi hari telah pun sore. Azman minta izin undur diri kerana perlu bertugas di Temasik. Sebelum pulang, Salim sempat bercerita pernah dalam suatu perjalanan, tiba-tiba Datuk Garang muncul di sisi kereta sebelah pemandu untuk bertanyakan khabar dan bersembang-sembang dengannya. Dia menerima peristiwa itu dengan ikhlas tanpa ragu, kerana tidak ada yang mustahil di sisi Allah swt.

Sakroni bersyukur kepada Allah swt kerana berasa sangat bertuah dapat mendengar pengalaman unik tersebut yang pasti ini akan membantunya untuk pengisian hati.


Bersambung...