Tuesday, October 14, 2014

Kalau Hati Sudah Terpaut


Setelah Salim berjaya memenuhi permintaan Bapak mencari Arif tempoh hari, dua beradik itu semakin kerap bersama naik ke gunung. Ombak samudera dan belantara tebal diredah untuk menziarahi Bapak, Emak, Ibu, Ayahahanda, Bonda, Kakek dan Nenek. Kehadiran Arif di gunung sentiasa diperhatikan cucu kesayangan Nenek, Putri Milofa. Malah Putri Milofa pernah pergi sendirian menunggang kuda Bonda untuk bertemu dua beradik itu di pantai Temasik


Seperti rutinnya, perjalanan kali ini Salim dan Arif menaiki pengangkutan awam untuk pergi ke pelabuhan. Agak lama juga mereka menunggu; akhirnya muncul sebuah teksi dengan dua penumpang perempuan di tempat duduk belakang. Salim segera duduk di depan manakala Arif mahu tidak mahu berasa serba-salah duduk di belakang sebelah wanita muda yang bersama ibunya itu. Salim yang tajam pandangan matanya itu terlebih dahulu sudah menyedari wanita itu adalah Putri Milofa yang menyamar untuk bertemu Arif. Begitulah kalau hati sudah suka, kemana pun dikejar dalam benak Salim.

Malam menjelang ketika mereka sampai di kaki gunung. Cuaca hujan tambah menyukarkan pendakian tetapi Salim tangkas mengatur langkah demi langkah. Arif yang mengekori di belakang beberapa kali jatuh tergelincir kerana denai agak licin.

"Aduh jangan laju laju, saya tak larat kejar" kata Arif kepada Salim.

"Ayuh anak-anak gunung, kurangkan dorongan kalian pada diri saya" arah Salim kepada anak-anak gunung supaya Arif tidak kepayahan mengejar untuk bersamanya.

Langkah Salim bertambah pantas kerana ditolak oleh anak-anak gunung yang begitu kasih kepada Salim. Sedang Arif perasan seekor harimau kumbang besar sentiasa mengekori mereka sejak tadi.

"Bodyguard ke tu?" tanya Arif.

"Ya dik, kalau kita datang malam dia ikut kita" jelas Salim. 


Apabila sampai, dua beradik tu pergi menghadap Bapak. Segala persiapan telah disediakan Bapak untuk memanggil Putri Milofa datang.

"Eh, kamu lihat tadi?" tanya Bapak yang terkejut kerana kelibat pontianak yang datang.

"Ya lihat pak" jawab Salim

"Kenapa yang itu yang datang, apa bapak salah baca?" kata bapak hairan.

"Ya tak tahu pak, kan bapak yang baca" sahut Arif jujur.

Salim senyum sahaja bagaikan dia tahu siapakah yang cuba mengabui peristiwa itu. Salim tahu sangat Putri Milofa begitu di sayangi Nenek. Ramai sekali jejaka yang ingin menyuntingnya, harus melalui tapisan Nenek.

Arif begitu bernasib baik pernah menerima gambar berbingkai daripada Putri Milofa. Gambar ini dirujuk pada Bapak.

"Ini gambar asli dari atas, bukan buatan orang biasa. Ini pasti dari Putri" jawab Bapak.

Bapak mengajak Salim dan Arif berjumpa Nenek untuk bertanya memastikan kesahihan gambar berbingkai berkenaan.
 
 
"Kalau cucu Arif masih mahu main di gunung ini, nanti dalam perjalanan pulang, foto itu harus dibuangkan ke laut ya" tegas nenek yang tiba tiba berada di situ.

Walaupun hatinya keberatan, Arif tetap mengiyakan arahan nenek. Salim semakin yakin tentang Nenek yang cukup ambil berat pasal jodoh dan masa depan Putri Milofa, cucu kesayangannya itu.

Dalam perjalanan balik, Arif teringat pesan Nenek. Di saat itu jugalah, tiba tiba Salim melihat Putri Milofa di sebelah Arif, sedang Bonda menunggang kuda di atas permukaan air. 


"Macam mana ye, Nenek kata gambar ini kena buang?" tanya Arif kepada Salim.

"Kalau kita masih hendak ke gunung lagi, kena korban buang ajelah. Nenek nak lihat kejujuran kita" nasihat Salim

Salim yang lebih tajam pandangan hatinya percaya foto itu akan di ambil Bonda. Terlihat kelibat tangan bonda menyambar foto yang di buang Arif ke laut sambil di perhatikan oleh Putri Milofa sambil tersenyum.

Beberapa bulan kemudian, Salim dan Arif pergi naik semula ke gunung semula. Arif yang penasaran pergi menemui Bapak.

"Kalau mahu bertemu dengan putri harus ada barang" kata Bapak.

"Barang apa ya pak?" tanya Arif.

"Ya kunyit" jawab Bapak.

Arif berasa sedikit lega apabila mendengar barang itu hanyalah kunyit. Dua beradik itu kembali menemui Bapak lagi untuk mempersembahkan sesuatu. Arif meletakkan barang itu di tepi meja.

"Apa itu ya nak Arif?" tanya Bapak bila terlihat barang tersebut.

"Ya itu lah barangnya. Kunyit saya beli di pasar dan sebiji dapat dari emak mertua saya" kata Arif kepada Bapak.

"Aduh nak, bukan kunyit ini. Ini kan kunyit masak" tegur Bapak.

"Kunyit yang gi mana pula pak?" tanya Arif kebingungan.

"Kunyit hitam. Tanaman orang alam sana. Ya takpalah nanti bapak ambilkan ya" jelas Bapak.

Tidak lama kemudian, Bapak datang dengan menggenggam kunyit hitam. Salim dan Arif pertama kali dapat melihat dan mengenali kunyit hitam dalam hidup mereka. Bapak menyerahkan beberapa butir kepada Arif dan selebihnya untuk Salim.

"Nak Arif terimalah kunyit ini, simpan dia baik baik" pesan Bapak.

Salim mengawasi peristiwa itu dengan teliti. Dia tahu kunyit hitam untuk Arif adalah kunyit yang khas dipunyai oleh Putri Milofa. Sekiranya kunyit itu hilang bererti lamarannya diterima. Salim menyimpan rahsia ini untuk sementara waktu.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment