Sunday, October 19, 2014

Hasrat Penghuni Sana

Sebuah jip SUV membelok ke jalan menuju Parit 17 Simpang Empat. Alunan muzik suara gemersik Broery Marantika kedengaran di corong radio kenderaan tersebut. Pemandunya tenang menyusuri jalan kampung dan tidak tergesa-gesa menekan pedal minyak. Setibanya di kawasan pusara, Sakroni mengajak penumpangnya, Salim turun. 


"Ini bang kubur bapak saya" kata Sakroni sambil menunjuk kubur ayahnya.

Sakroni membersihkan rumput di tepi batas sambil diperhatikan Salim. Mereka kemudian membaca ayat-ayat suci Surah Fatihah dan Surah Al Ikhlas buat arwah.

Setelah berehat sebentar, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya. Sakroni ingin menziarahi ibu mertuanya yang sedang sakit. Kira-kira jam 2 pagi mereka sampai di rumah yang di Kangar. Bibik menyambut membuka pintu mempersilakan mereka masuk.

Salim mengikut Sakroni terus berjumpa emaknya yang sedang berehat baring di bilik. Air muka Emak mula kelihatan merah, tidak lagi pucat seperti beberapa hari yang lepas. Salim sempat membuatkan dua botol air ubat; satu untuk mandi dan satu lagi untuk minum.

"Banyak makhluk lain di sini" tegur Salim akan Sakroni.

Bibik turut menyahut mengiyakan kerana dia selalu ternampak kelibat mereka.

"Yang hitam kecil-kecil banyak, tapi ada satu yang besar" jelas Salim.

"Boleh beritahu mereka jangan masuk rumah emak, atau halau je bang" pinta Sakroni.

"Baiklah saya pindahkan je, lebih selamat" kata Salim.

Sudah selesai kerja pemulihan, mereka disuguhi kopi pekat Perlis yang terkenal dengan aroma dan rasanya yang tersendiri.

Awal pagi lagi Sakroni keluar berbelanja ikan segar di Pasar Burma, Kuala Perlis. Tengahari itu sungguh berselera Salim makan apabila dihidangkan lauk kari kepala ikan kegemarannya. Selepas Asar mereka berdua bertolak ke tempat bersejarah Kota Indera Kayangan.



"Ramai sekali penduduknya" bisik Salim sambil menunjuk sesuatu di bukit-bukit kecil di sekeliling muzium yang dibina di situ.

Menurut sejarah kota tersebut dibina di atas kawasan berbukit. Antara nama bukit-bukit itu ialah Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Panah , Bukit Nasi Sebungkus dan banyak lagi yang lain. Kota ini menjadi tempat pemakaman Sultan Kedah yang mangkat pada tahun 1688. Sungai Raja dari Kedah dihubungkan terus dengan Sungai Perlis menjadi laluan utamanya ketika itu. Dua sahabat itu menikmati keindahan kota yang penuh dengan batu batuan asli dan taman bunga yang terjaga rapi.

"Begitu ramai yang tinggal di sini. Lelaki mahu pun perempuan" beritahu Salim.

"Bang, perempuannya camna?" Sakroni mengendeng.

"Wah cantik-cantik sekali, mereka turun menyambut kita lah" lanjut Salim.

"Bang saya ambil gambar, mana tahu dapat lihat nanti" kata Sakroni sambil mengaktifkan kamera telefon pintarnya.

"Mereka kata tolong jangan foto, mereka malu" Salim menyampaikan hasrat mereka itu pada Sakroni.

"Walaikumsalam, kami hanya melawat" Salim kelihatan menjawab salam dari seseorang di kawasan makam.

"Maaf , pertalian darah dari mana ya?" Salim meneruskan bicara dengan mereka yang tidak nampak pada mata kasar Sakroni.

"Lepas ini kami akan balik jauh, tak dapat lama di sini" terang Salim, seolah olah mereka mahu dirinya berada lebih lama di situ. 



Sungguhpun Salim senang hati kerana penghuni kota lama ini sangat mengalu-alukan kehadirannya tetapi masa tidak mengizinkan. Mereka terpaksa beredar kerana perjalanan pulang mengambil masa yang agak panjang.

Sekembalinya mereka di rumah, Eiman anak bongsu Sakroni menemuinya mengadu demam panas mendadak; tidak larat hendak ke sekolah esoknya. Pinggangnya terasa sakit dan kaki panas tetapi badannya terasa sejuk pula.

"Bang, semalam ke mana je?" tanya Ann, isteri Sakroni khuatir.

"Kota Indera Kayangan je, jangan risau tak apa-apalah" jawab Sakroni lagi.

"Kan tiap tahun orang kampung nampak mereka berarak beramai-ramai bang. Macam ada festival, jaga-jaga takut yang jahat ikut abang balik" kata Ann lagi.

"Dah le tu jangan risau" Sakroni memendekkan cerita.

Dalam pada itu, Salim telah memanggil Eiman supaya rapat, lalu menyentuh ubun-ubun, badan dan hujung jari kakinya. Salim memberitahu ia bukan panas badan yang biasa. Sejurus kemudian Eiman terus muntah-muntah. Setelah mandi dan minum air yang di berikan Salim, Aiman beransur pulih dan sakit pinggangnya reda.

Keesokan harinya Salim telah pulang ke pangkuan keluarganya di kampung. Sakroni yang masih lesu badan dan lenguh kaki akibat aksi berterusan menekan pedal minyak perjalanan jauh mengambil keputusan pergi berurut dengan Pak Mat.

Ketika sedang mengurut, Pak Mat tiba-tiba bingkas bangun menuju isterinya. Dia minta bantuan isterinya memulihkan urut tangan kirinya yang sudah kekejangan.

"Pak Roni, tak pernah terjadi begini selama saya mengurut orang. Kenapa ya badan bapak ini?" jelas Pak Mat sebelum Sakroni beredar.

Sejak jam 3 pagi Sakroni sudah bangun untuk ibadat malam. Ketika hampir masuk waktu Subuh, dia terasa pinggangnya terlalu nyilu sakit sampai ke kaki kanan. Sudah dalam keadaan terbaring, Sakroni gagahkan jua mencapai telefon pintarnya.

"Bang, maaf ganggu pagi-pagi ni, saya sakit sangat di pinggang sampai kaki" adu Sakroni pada Salim yang sedang berada di Temasik.

"Rasa camna?" tanya Salim.

"Nyilu teramat sangat, sampai tak boleh berdiri bang" jawab Sakroni.

"Siap ye abang bantu sekarang" ujar Salim.

"Jarak jauh je bang?" soal Sakroni sambil menahan sakitnya.

Setengah jam kemudian sakit Sakroni berkurang. Jam 7 pagi, Sakroni menghantar Eiman ke sekolah dan cukup sihat dan cergas untuk membaiki bumbung garaj rumah yang bocor. Syukur Alhamdulillah kerana doa dan usaha Salim di makbulkan Allah swt.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment