Thursday, October 16, 2014

Lebih Dari Kenal

"Nak ke mana tu Lim?" laung orang kampung dari jauh.

"Mancing di Tanjung Alus" sahut Salim sambil meneruskan langkahnya.

"Wah berani kau, hati-hati ye" kata orang itu siap berpesan.


Masyarakat setempat sudah cukup maklum, Tanjung Alus adalah tempat yang terkenal angker. Tapi Salim yang sudah teringin sangat tetap meneruskan hobinya itu. Joran panjangnya dipegang erat. Dia yakin jika kaki pancing tidak ada yang berani, pasti siakap di sana besar-besar saiznya.

"Lim, bila kau balik? Kita orang risau kau tak jumpa jalan pulang" tegur orang kampung.

"Dua malam je aku kat sana. Hasilnya memang puas hati" jawab Salim sambil menggayakan saiz tangkapan menggunakan tangan.

"Tak jumpa hantu ke?" celupar mulut mereka bertanya.

"Tak ada lah, kalau ada pun boleh ajak sembang-sembang" jawab Salim dengan air muka selamba.

Mereka yang mendengar menggeleng-geleng kepala dan terus berlalu pergi. Memang sudah menjadi aktiviti masa lapang Salim mengunjungi tempat-tempat misteri. Kawasan luar bandar Benut pun pernah dijejaki untuk menziarahi kawan lama yang sedang sakit.

"Jalan lekuk-lekik bang, jaga-jaga takut terhantuk" kata Leman sambil memandu kereta nasional yang sudah berumur itu.

"Ini tempat laluan dia. Nah tu. Nampak tak Man?" jawab Salim sambil cuba menunjuk sesuatu.

"Nampak apa bang?" Leman tertanya-tanya sambil matanya liar melihat sekeliling dalam kelam malam. 


"Seekor ular besar bersisik emas bermuka manusia" terang Salim.

Dewi Masita melihat ke arah mereka, sedang kepalanya memakai mahkota bertatahkan batu batu berharga. Makhluk itu yang selalu berulang alik menyeberang jalan ini sehingga turapan tidak pernah elok walaupun selalu diperbaiki. Menurut Salim sekira ular ini di pindahkan ke tempat lain , barulah jalan ini tidak selalu rosak.

"Camna pulak tu?" soal Leman.

"Kena bincang apa yg dia hendak. Runding cara baik" kata Salim.

Salim sebenarnya tahu apa yang dipinta Dewi untuk pindah dari situ. Dalam perjalanan pulang, buat sementara ini Salim hanya diamkan sahaja.

Beberapa minggu kemudian, Hamid sahabat sekampung Salim ajak pergi mengeteh. Ada sahaja perkara yang hendak dibualkan nanti. Hamid memberitahu tidak jauh dari rumahnya terdapat hutan rumpun buluh. Anehnya di hujung jalan nampak begitu indah kerana redup dek hujung pokok buluh yang bercantum.

"Aku nampak sepasang wanita muda selalu bermain di bawah pohon buluh" beritahu Hamid.

"Hah kau jangan cakapkan namanya, aku kenal mereka" ujar Salim.

"Betul ke? Aku pun nak tahu nama mereka" Hamid mendengar dengan penuh minat.

"Siti Badariah kakaknya dan adiknya Siti Bahanum" tambah Salim.

"Eh camna ko boleh tahu?" kata Hamid terkejut.


Salim mengimbau kembali zaman mudanya kisah sedang bercinta. Suatu ketika itu dia sedang berpacaran di pantai menghirup udara segar. Dua makhluk itu sejak tadi mengikuti jejak dan mengintip Salim dan buah hatinya, Shila. Tiba-tiba Salim perasan perubahan pada diri Shila, seperti ada yang mengganggu dan meresap masuk ke dalam tubuhnya

"Kenapa kau masuk badan Shila? Kalau kau tak keluar, aku pukul" gertak Salim.

Makhluk itu masih berdegil. Salim merasa geram lalu memukul tangan Shila menyebabkan dia tersedar. Beberapa hari kemudian, Shila diganggu lagi.

Sekali lagi Salim memukul Shila lebih kuat untuk memulihkannya.

"Kau pukul adik aku!" kata Siti Badariah yang marah.

"Ialah aku tak tahu yang adik kau yang masuk" jawab Salim dengan sedikit kesal.

"Kau harus bantu mengubatinya, adik aku sakit" rayu Siti Badariah.

Salim menyuruh Siti Badariah merendam bunga melor dan minum airnya selama beberapa hari. Dengan izin Allah, akhirnya Siti Bahanum sembuh. Sejak dari saat itu, dua Siti tu selalu membantu Salim. Mereka mengemas rumah dan membersihkan sampah sarap. Rumah Salim begitu kemas dan berbau wangi-wangian yang sungguh menyegarkan.

Tidak lama setelah melangsungkan perkahwinan, Shila pun mengandung anak sulung. Kegembiraan menanti cahaya mata turut dikongsi bersama dua Siti. Sedang Salim duduk sendirian, mereka muncul.

"Ada apa ye? Macam ada perlu ni" tanya Salim.

"Bang kami ada maksud... Gini bang, kami ingin menjaga anak abang bila dia lahir nanti" pinta Siti Badariah.

Permintaan ini cubaan yang sangat berat bagi Salim dan Shila. Semacam menyerahkan anak kesayangan kepada mereka. Pastinya anak ini akan ghaib dan sesekali sahaja dia akan pulang. Shila semacam keberatan. Akhirnya Salim tidak mengizinkan anak yang bakal lahir itu dipelihara oleh mereka.

"Maaf, kami nak bela anak kami sendiri" jawab Salim halus.

Beberapa kali Siti mengulangi permintaan mereka tetapi pendirian Salim tidak berganjak..

"Bang, kalau itu keputusan abang, kami terima tetapi..." jawab Siti kesedihan.

"Tetapi apa ye?" soal Salim.

"Kami terpaksa tinggalkan keluarga abang , kami pindah bang" kata Siti dengan cukup pilu.

Mulai hari itu kelibat mereka sudah tidak lagi kelihatan. Hanya Salim yang tahu mereka telah berpindah dan tinggal di kawasan bambu tidak jauh dari rumah Hamid.

"Oh itu kisahnya, patutlah engkau kenal" kata Hamid.

"Ya sudah di takdirkan begitu, saya kena terima Mid" Salim mengakhiri kisah lamanya.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment