Thursday, August 14, 2014

Izinkan Ratu Pulang

Rentetan kisah Durian dan Pulasan
 
Awal pagi lagi Sakroni telah memanaskan enjin jip SUV kesayangannya. Sambil itu dia menekan telefon pintar menggunakan aplikasi Waze untuk mengelak kemungkinan jalan yang sesak. Walaupun penyakit misteri Fida sudah berkurangan dirawat Salim tempoh hari, Sakroni hendak membawa mereka untuk rawatan susulan di rumah Arif.

"Pak cik, badan saya panas mendadak" adu Fida sebaik sahaja tiba di sana.

"Tak apa kerana jin yang duduk dalam badan awak dah kenal saya" jelas Arif. 


Menurut Arif pendamping itu nenek berasal dari Semarang dan tinggal di Krakatau. Selama hampir 20 tahun menjaga, menyerupa, bersuara, melihat apa sahaja yang dilakukan menggunakan badan Fida.

Menceritakan pengalamannya, Fida pernah berani pergi bersendirian dari ibu kota ke Pantai Remis untuk berubat dengan seorang ustazah. Bayaran RM 9 ribu dengan seekor lembu merah menjadi syarat. Apabila ditanya apa bukti apabila permintaan itu dipenuhi dia akan benar-benar sembuh, Fida tidak menerima jawapan yang meyakinkan.

"Pak cik, seluruh badan sakit" rungut Fida pada Arif lagi.

"Sekarang kamu harus keluar dari tubuh anak ini dan keluarkan semua benda yang kamu letak di badannya" arah Arif dengan nada marah pada makhluk berkenaan.

Di saat itu juga makhluk itu keluar lalu memohon ampun pada Arif.

"Cepat keluarkan semua, mahu hidup atau mahu mati?!" gertak Arif mengulangi arahannya.

Makhluk itu tunduk sambil mengeluarkan satu persatu semua barangnya yang diletakan di kaki, tangan, leher dan perut Fida. Yang paling berat adalah selendang yang diletakan di bahu kanan Fida; menyebabkan dia terasa berat dan sakit bagai hendak patah.

"Ada apa lagi?" tanya Arif pada Fida.

"Pak cik, mata saya kabur" jawab Fida.

"Sekarang selawat dan sapu mata awak" arah Arif.

Mata Fida terasa sedikit pedih ketika isteri Arif pula menitiskan ubat mata ghaibnya. Spontan mata Fida terang kembali normal dan badannya pula kembali ringan.

Makhluk halus itu meminta tiga kuntum kemboja putih supaya boleh balik ke gunung Krakatau. Sakroni bergegas pergi ke kubur dagang dan kebetulan ada sepohon pokok bunga tersebut. Sakroni mengambil beberapa kuntum bunga kemboja putih yang baru gugur lalu dibawa ke hadapan Arif.

"Sabar, bunganya baru sampai. Kena buku dengan ruas, dulu bomoh buat degil tak mahu balik" kata Arif pada makhluk itu yang terlalu gairah hendak pulang ke tempat asalnya.

Arif menyuruh Fida melihat makhluk itu. Fida takut kerana wajahnya yang sangat menakutkan.

"Sekarang kau tunjukkan wajah yang sebenar" arah Arif pada makhluk itu.

Tiba-tiba mulai dari hujung kuku kaki sampai ke hujung rambut berubah menjadi kuning bersih seperti kulit dokong hampir masak. Wajahnya menjadi bersih dan cantik. Rambut panjang mengurai nenek sudah berubah seperti seorang ratu yang sungguh menawan.

"Bang, jangan tengok lama-lama" Sakroni mengusik Salim yang asyik memerhatikan kejelitaan makhluk itu.

"Nanti layarkan bunga ini ke arah aliran air. Mohon pada Allah swt agar makhluk ini pulang ke asalnya, tanpa ada lagi ikatan dengan diri Fida" kata Arif pada Salim.

Mereka mengundur diri dari rumah Arif lalu Sakroni memandu melongsori jalan raya menuju ke Pengkalan Rinting. 
 

"Jom ikut ke tengah tu" kata Salim pada Fida sedang Sakroni memerhati dari jauh sahaja. Di sana ada jeti kayu ke tengah Sungai Skudai.

"Ratu bersimpuh di atas kapal rupanya" kata Fida.

Salim mengatakan bunga yang dialirkan ke air itu telah betukar menjadi kapal layar. Sambil duduk menaikinya, ratu melambai-lambaikan tangannya seperti mengucap selamat tinggal kepada bekas tuannya. Fida merasa sayu yang mendalam di hatinya melihat temannya selama dua dekad menitiskan air mata kerana perpisahan tersebut. Dengan segera Fida beredar bersama Salim dan Sakroni.

Lewat petang itu ketika dalam bas ekpres menuju ke ibu kota, Fida bersyukur dengan izin Allah swt melalui Facebook dia dipertemukan dengan Salim & Arif yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini berjaya mengubah hidupnya. Setelah bertahun-tahun kecewa berubat tetapi tidak sembuh, kini Fida akan mula menyambut lebaran tahun ini dengan penuh keceriaan.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment