Monday, August 11, 2014

Wali Selindung

Sup ekor dan sambal belacan di warung itu memang lazat. Biasanya nasi putih memang tidak cukup sepinggan. Salim menghisap rokok keretek sementara menunggu pesanan hidangan makanan mereka siap. Kepulan asap sekali-sekala lalu di depan mata Sakroni.

"Kolam seperti sebelah warung ini mesti banyak ikan bang" Sakroni mengusik Salim untuk membuka cerita.

Salim mengiyakan sambil mengimbas semula kejadian ketika dia bersama Arif sedang duduk di depan tasik dalam kawasan sebuah hospital di Temasek.

"Lihat tu, kalaulah begitu banyak ikan keli di tasik ini, pasti akan ada raja atau ratunya" jelas Salim.

Dia mengajak Arif berdiri di tepi tasik, lantas berdoa agar raja atau ratunya memunculkan diri. Tiba-tiba dari tengah tengah tasik muncul seperti sebatang kayu bewarna hitam legam bergerak mengikut arus air menghala ke arah dua beradik itu. 



"Benda tu semakin mendekat" tegur Arif yang sejak tadi hanya memerhati tasik berkenaan.

Sebaik sahaja objek berkenaan sampai di gigi air menghadap Arif, muncul tegak kepala ikan sebesar batang kelapa. Raja ikan itu mengangguk-anggukkan kepalanya sebanyak tiga kali, lalu berundur beberapa kaki ke tengah tasik sebelum menenggelamkan semula badannya.

"Tepat apa yang abang kata tadi" maklum Arif.

"Hairan ya, ikan pun kenal siapa adik" jawab Salim sambil tersenyum.

Sakroni merasa teruja kerana masih belum berpeluang mengalami peristiwa luar biasa seperti itu. Kerap kali tugas paling mencabar yang diberikan Salim kepadanya ialah hanya membuang pakaian basahan pesakit ke air mengalir. Sakroni kemudian ringan mulut bertanyakan Salim apakah tugas yang pernah Arif berikan kepadanya.

Salim diminta mencari seorang guru agama perempuan yang juga seorang guru silat dan mempunyai murid yang ramai. Dia dikatakan selalu berjumpa wali yang berjubah merah yang mengaku sebagai Datuk Syeikh Karim. Perkara yang terlalu janggal ini mesti disiasat. Salim melalui beberapa kenalannya cuba bersemuka dengan wali berkenaan.

Apabila wali itu muncul dan diminta kata laluannya, Salim pasti ini sebenarnya hanyalah jin yang menyamar sebagai wali. Lalu Salim berdoa kepada Allah swt agar ditunjukkan rupanya yang sebenar. Pada ketika itulah wali yang pada mulanya berjanggut, berpakaian merah dan memegang tasbih menjadi wajah yang bersiung dan bermata merah yang menakutkan. Sekali lagi Salim memohon kepada Allah agar jin yang menyesatkan manusia ini dihalang dari mengulangi perbuatannya. Dengan izin Allah terbujur keras wali palsu tersebut di situ.

Esok harinya Salim membuat janji untuk bertemu guru perempuan berkenaan di rumah salah seorang muridnya. Guru berkenaan hadir bersama beberapa orang anak muridnya yang senior.

"Saudari ke yang selalu jumpa wali itu?" soal Salim.

"Benar, saksi kehadirannya adalah anak-anak murid ku" balas guru itu.

"Cuba kamu lihat siapa di kanan ku" kata Salim menguji.

"Takde sesiapa pun" jawab guru tenang.

Kalau tak nampak tidak lah setinggi mana ilmunya, kata Salim dalam hati.

"Sekarang kau panggil wali kau tu, kalau dia datang bererti engkau benar" arah Salim dengan nada semakin keras. 




Riak muka anak murid guru berkenaan jelas kurang senang dengan tindakan Salim menyoal siasat guru mereka.

"Awak murid-murid jangan cuba nak jeling jeling saya, kalau pancing panjang sejengkal jangan lautan dalam hendak diduga!" gertak Salim dengan serius.

Mereka berundur sambil saling memandang sesama sendiri. Puas guru itu memanggil wali berjubah merah berulang kali tetapi hanya sia-sia. Salim sudah sedia maklum tahu walinya sudah dimatikan gerakannya lebih awal. Akhirnya guru itu mengaku tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan mengakui kesilapannya.

Apabila kebenaran sudah dibuktikan, Salim kemudian mohon diri untuk meninggalkan tempat itu. Salim merasa hairan apabila semua murid guru berkenaan mengekorinya dengan niat bersalam dengannya sambil mohon mahu berjumpa untuk belajar. Salim menolaknya dengan sopan agar sang guru tadi tidak terasa hati.

Salim berpesan kepada Sakroni, ketika akhir zaman ini perlu berhati-hati semasa menerima pelajaran daripada yang mengaku guru ghaib kerana kelak boleh memesongkan akidah.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment