Thursday, August 14, 2014

Izinkan Ratu Pulang

Rentetan kisah Durian dan Pulasan
 
Awal pagi lagi Sakroni telah memanaskan enjin jip SUV kesayangannya. Sambil itu dia menekan telefon pintar menggunakan aplikasi Waze untuk mengelak kemungkinan jalan yang sesak. Walaupun penyakit misteri Fida sudah berkurangan dirawat Salim tempoh hari, Sakroni hendak membawa mereka untuk rawatan susulan di rumah Arif.

"Pak cik, badan saya panas mendadak" adu Fida sebaik sahaja tiba di sana.

"Tak apa kerana jin yang duduk dalam badan awak dah kenal saya" jelas Arif. 


Menurut Arif pendamping itu nenek berasal dari Semarang dan tinggal di Krakatau. Selama hampir 20 tahun menjaga, menyerupa, bersuara, melihat apa sahaja yang dilakukan menggunakan badan Fida.

Menceritakan pengalamannya, Fida pernah berani pergi bersendirian dari ibu kota ke Pantai Remis untuk berubat dengan seorang ustazah. Bayaran RM 9 ribu dengan seekor lembu merah menjadi syarat. Apabila ditanya apa bukti apabila permintaan itu dipenuhi dia akan benar-benar sembuh, Fida tidak menerima jawapan yang meyakinkan.

"Pak cik, seluruh badan sakit" rungut Fida pada Arif lagi.

"Sekarang kamu harus keluar dari tubuh anak ini dan keluarkan semua benda yang kamu letak di badannya" arah Arif dengan nada marah pada makhluk berkenaan.

Di saat itu juga makhluk itu keluar lalu memohon ampun pada Arif.

"Cepat keluarkan semua, mahu hidup atau mahu mati?!" gertak Arif mengulangi arahannya.

Makhluk itu tunduk sambil mengeluarkan satu persatu semua barangnya yang diletakan di kaki, tangan, leher dan perut Fida. Yang paling berat adalah selendang yang diletakan di bahu kanan Fida; menyebabkan dia terasa berat dan sakit bagai hendak patah.

"Ada apa lagi?" tanya Arif pada Fida.

"Pak cik, mata saya kabur" jawab Fida.

"Sekarang selawat dan sapu mata awak" arah Arif.

Mata Fida terasa sedikit pedih ketika isteri Arif pula menitiskan ubat mata ghaibnya. Spontan mata Fida terang kembali normal dan badannya pula kembali ringan.

Makhluk halus itu meminta tiga kuntum kemboja putih supaya boleh balik ke gunung Krakatau. Sakroni bergegas pergi ke kubur dagang dan kebetulan ada sepohon pokok bunga tersebut. Sakroni mengambil beberapa kuntum bunga kemboja putih yang baru gugur lalu dibawa ke hadapan Arif.

"Sabar, bunganya baru sampai. Kena buku dengan ruas, dulu bomoh buat degil tak mahu balik" kata Arif pada makhluk itu yang terlalu gairah hendak pulang ke tempat asalnya.

Arif menyuruh Fida melihat makhluk itu. Fida takut kerana wajahnya yang sangat menakutkan.

"Sekarang kau tunjukkan wajah yang sebenar" arah Arif pada makhluk itu.

Tiba-tiba mulai dari hujung kuku kaki sampai ke hujung rambut berubah menjadi kuning bersih seperti kulit dokong hampir masak. Wajahnya menjadi bersih dan cantik. Rambut panjang mengurai nenek sudah berubah seperti seorang ratu yang sungguh menawan.

"Bang, jangan tengok lama-lama" Sakroni mengusik Salim yang asyik memerhatikan kejelitaan makhluk itu.

"Nanti layarkan bunga ini ke arah aliran air. Mohon pada Allah swt agar makhluk ini pulang ke asalnya, tanpa ada lagi ikatan dengan diri Fida" kata Arif pada Salim.

Mereka mengundur diri dari rumah Arif lalu Sakroni memandu melongsori jalan raya menuju ke Pengkalan Rinting. 
 

"Jom ikut ke tengah tu" kata Salim pada Fida sedang Sakroni memerhati dari jauh sahaja. Di sana ada jeti kayu ke tengah Sungai Skudai.

"Ratu bersimpuh di atas kapal rupanya" kata Fida.

Salim mengatakan bunga yang dialirkan ke air itu telah betukar menjadi kapal layar. Sambil duduk menaikinya, ratu melambai-lambaikan tangannya seperti mengucap selamat tinggal kepada bekas tuannya. Fida merasa sayu yang mendalam di hatinya melihat temannya selama dua dekad menitiskan air mata kerana perpisahan tersebut. Dengan segera Fida beredar bersama Salim dan Sakroni.

Lewat petang itu ketika dalam bas ekpres menuju ke ibu kota, Fida bersyukur dengan izin Allah swt melalui Facebook dia dipertemukan dengan Salim & Arif yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini berjaya mengubah hidupnya. Setelah bertahun-tahun kecewa berubat tetapi tidak sembuh, kini Fida akan mula menyambut lebaran tahun ini dengan penuh keceriaan.


Bersambung...

Monday, August 11, 2014

Wali Selindung

Sup ekor dan sambal belacan di warung itu memang lazat. Biasanya nasi putih memang tidak cukup sepinggan. Salim menghisap rokok keretek sementara menunggu pesanan hidangan makanan mereka siap. Kepulan asap sekali-sekala lalu di depan mata Sakroni.

"Kolam seperti sebelah warung ini mesti banyak ikan bang" Sakroni mengusik Salim untuk membuka cerita.

Salim mengiyakan sambil mengimbas semula kejadian ketika dia bersama Arif sedang duduk di depan tasik dalam kawasan sebuah hospital di Temasek.

"Lihat tu, kalaulah begitu banyak ikan keli di tasik ini, pasti akan ada raja atau ratunya" jelas Salim.

Dia mengajak Arif berdiri di tepi tasik, lantas berdoa agar raja atau ratunya memunculkan diri. Tiba-tiba dari tengah tengah tasik muncul seperti sebatang kayu bewarna hitam legam bergerak mengikut arus air menghala ke arah dua beradik itu. 



"Benda tu semakin mendekat" tegur Arif yang sejak tadi hanya memerhati tasik berkenaan.

Sebaik sahaja objek berkenaan sampai di gigi air menghadap Arif, muncul tegak kepala ikan sebesar batang kelapa. Raja ikan itu mengangguk-anggukkan kepalanya sebanyak tiga kali, lalu berundur beberapa kaki ke tengah tasik sebelum menenggelamkan semula badannya.

"Tepat apa yang abang kata tadi" maklum Arif.

"Hairan ya, ikan pun kenal siapa adik" jawab Salim sambil tersenyum.

Sakroni merasa teruja kerana masih belum berpeluang mengalami peristiwa luar biasa seperti itu. Kerap kali tugas paling mencabar yang diberikan Salim kepadanya ialah hanya membuang pakaian basahan pesakit ke air mengalir. Sakroni kemudian ringan mulut bertanyakan Salim apakah tugas yang pernah Arif berikan kepadanya.

Salim diminta mencari seorang guru agama perempuan yang juga seorang guru silat dan mempunyai murid yang ramai. Dia dikatakan selalu berjumpa wali yang berjubah merah yang mengaku sebagai Datuk Syeikh Karim. Perkara yang terlalu janggal ini mesti disiasat. Salim melalui beberapa kenalannya cuba bersemuka dengan wali berkenaan.

Apabila wali itu muncul dan diminta kata laluannya, Salim pasti ini sebenarnya hanyalah jin yang menyamar sebagai wali. Lalu Salim berdoa kepada Allah swt agar ditunjukkan rupanya yang sebenar. Pada ketika itulah wali yang pada mulanya berjanggut, berpakaian merah dan memegang tasbih menjadi wajah yang bersiung dan bermata merah yang menakutkan. Sekali lagi Salim memohon kepada Allah agar jin yang menyesatkan manusia ini dihalang dari mengulangi perbuatannya. Dengan izin Allah terbujur keras wali palsu tersebut di situ.

Esok harinya Salim membuat janji untuk bertemu guru perempuan berkenaan di rumah salah seorang muridnya. Guru berkenaan hadir bersama beberapa orang anak muridnya yang senior.

"Saudari ke yang selalu jumpa wali itu?" soal Salim.

"Benar, saksi kehadirannya adalah anak-anak murid ku" balas guru itu.

"Cuba kamu lihat siapa di kanan ku" kata Salim menguji.

"Takde sesiapa pun" jawab guru tenang.

Kalau tak nampak tidak lah setinggi mana ilmunya, kata Salim dalam hati.

"Sekarang kau panggil wali kau tu, kalau dia datang bererti engkau benar" arah Salim dengan nada semakin keras. 




Riak muka anak murid guru berkenaan jelas kurang senang dengan tindakan Salim menyoal siasat guru mereka.

"Awak murid-murid jangan cuba nak jeling jeling saya, kalau pancing panjang sejengkal jangan lautan dalam hendak diduga!" gertak Salim dengan serius.

Mereka berundur sambil saling memandang sesama sendiri. Puas guru itu memanggil wali berjubah merah berulang kali tetapi hanya sia-sia. Salim sudah sedia maklum tahu walinya sudah dimatikan gerakannya lebih awal. Akhirnya guru itu mengaku tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan mengakui kesilapannya.

Apabila kebenaran sudah dibuktikan, Salim kemudian mohon diri untuk meninggalkan tempat itu. Salim merasa hairan apabila semua murid guru berkenaan mengekorinya dengan niat bersalam dengannya sambil mohon mahu berjumpa untuk belajar. Salim menolaknya dengan sopan agar sang guru tadi tidak terasa hati.

Salim berpesan kepada Sakroni, ketika akhir zaman ini perlu berhati-hati semasa menerima pelajaran daripada yang mengaku guru ghaib kerana kelak boleh memesongkan akidah.


Bersambung...

Thursday, August 7, 2014

Harapkan Pagar

Arif yang sedang memandu hanya membiarkan Salim memutar punat hawa dingin sehingga maksimum. Fenomena El Nino petang itu menyebabkan panas yang luar biasa di dalam kereta. Cuti hujung minggu mereka habiskan dengan bersiar-siar lalu menghala ke kawasan perumahan elit di Batu 41/2

"Assalamualaikum, sibuk nampak" Arif menegur tuan rumah.

"Waalaikumsalam, bersihkan sikit supaya ular biawak tak bersarang" jawab Sakroni yang sedang meracun rumput lanskap lamannya.

"Abang tengok macam mana keadaan rumah saya?" Sakroni meminta pandangan Arif.

"Dulu agak malap. Alhamdulillah, sekarang terang betul rumah ni. Bersih tunggul pun tak tinggal. Bagus kalau dapat sediakan ruang solat terbuka di luar untuk tetamu" Arif memberikan pendapatnya.

"Rosnah ada telefon tak?" Salim mencelah untuk menarik perhatian Arif. 

Sakroni membuka cerita Rosnah telah menghubunginya beberapa kali sambil menangis, menanyakan bila agaknya dia akan dibawa berjumpa Arif. Sakroni menjelaskan Rosnah harus bersabar dengan situasi suaminya kerana belum mendapat lampu hijau.



Rosnah selalu diseksa, tangannya diikat lalu dihumban ke dalam bilik. Suaminya sengaja membawa wanita lain pulang ke rumah untuk berfoya-foya. Segala aksi terlarang akan dirakam lalu dihantar ke telefon pintar Rosnah. Kemudian Rosnah terpaksa menjadi pelayan menjamu hidangan kepada tetamu yang tidak diundang itu. Sudah lebih sedekad Rosnah dipukul dan ditendang jika engkar arahan suaminya.

"Buat repot polislah. Kemudian pergi mahkamah urus cerai suami tak berguna tu" komen Arif dengan nada suara agak tinggi.

Sakroni menambah, laporan yang dibuat sia-sia kerana suaminya kenal ramai orang dalam pihak berkuasa. 

"Siapa nama suami durjana tu" Arif yang sejak tadi hanya memandang ke atas seperti mengamati sesuatu, tiba-tiba bertanya.

Nama suami Rosnah ditulis di sehelai kertas lalu Sakroni serahkan kepada Arif. Suasana menjadi sunyi apabila Arif mula berdoa dan berulang-ulang memohon kepada Allah swt dengan membaca ayat-ayat Al Quran. Arif mencoretkan beberapa ayat pada sehelai kertas, kemudian dilipat sehingga sebesar batang mancis api. Beberapa lilitan diikat pada lipatan kertas tersebut.




Salim mengenyitkan mata ke arah Sakroni tanda puas setelah lama menunggu akhirnya Arif setuju membantu Rosnah. Kebiasaannya kes rumahtangga Arif jarang mahu berurusan untuk mengelakkan bersubahat pada hal yang tidak benar.

"Saya dah mohon kepada Allah agar suaminya kembali kepada isterinya. Kalau tidak, saya serahkan kepada Allah untuk menentukannya" jelas Arif pada Sakroni.

'Tolong tanam kertas ini dan niatkan seperti yang saya terangkan tadi' Arif menghulurkan kertas berkenaan kepada Sakroni.

Salim berasa lega dan berharap berkat doa Arif yang khusyuk tadi semoga masalah Rosnah akan selesai segera sepertimana biasanya. Kemudian, kemudian dua beradik itu mohon diri untuk pulang kerana malam itu Salim bekerja.

Selang 4 hari kemudian, Sakroni menelefon Rosnah untuk mengetahui perkembangan terkini.

Sakroni : Assalamualaikum, akak ingat saya?

Rosnah : Ya ingat, macam mana dengan ...

Sakroni : Alhamdulillah, akak tak perlu jumpa Arif. Saya dah bawa hal itu, perkara akak dah dibantunya.

Rosnah : Moga ada pertolongan Allah swt untuk merubah suami, akak tunggu kesannya.

Sakroni : Jangan lupa akak mesti berdoa sama ye.


Bersambung...

Monday, August 4, 2014

Di Sebalik Kamar 2414

Jalan Bukit Bintang, Pasar Seni, Menara Berkembar Petronas dan segala tarikan di Kuala Lumpur hanya sekangkang kera dari hotel lima bintang yang didiami Sakroni. Malam itu dia sendirian hanya terbongkang di atas katil yang empuk sambil menonton Wimbledon. Dirinya benar-benar capek kerana ketika waktu siang seharian di mahkamah menemani seorang "expert witness" bagi pihak defendan. Sakroni mengikuti sesi mahkamah dengan terperinci akibat ketegangan pihak plaintif cuba menimbulkan keraguan terhadap saksi defendan. Macet akibat jutaan mobil ketika waktu pulang telah melengkapkan hari yang penuh stres itu.



Ketika matanya hampir terlelap, kedengaran seperti suara isterinya.

"Bang, apa benda atas perut awak tu?" tanya suara misteri berkenaan

"Eh, jari siapa yang menjalar ni?" Sakroni terperanjat.

Sebaik sahaja tapak tangan berjari-jari besar itu mahu ditepis, Sakroni terjaga dari tidur; lalu berulangkali beristighfar dan berselawat. Siaran langsung perlawanan akhir tenis di kaca televisyen masih belum ada pemenangnya.

Sakroni yang masih mengantuk terlelap lagi. Tiba-tiba dia sudah berada di sebuah kampung yang sangat bersih dan kemas. Oleh kerana suasana sudah larut, matanya terasa berat; maka dia singgah di sebuah rumah yang entah milik siapa dan terus terbaring di tilam beralaskan lantai simen sahaja.

"Ayuh bangun, mari lihat ada makhluk sangat cantik di luar sana" ajak suara misteri.

Semua penginap rumah berkenaan tergesa-gesa bangun terus menuju keluar. Sekumpulan orang ramai termasuk Sakroni mengekori seseorang yang membawa lampu picit.

"Nah, itu dia makhluknya" kata pembawa lampu menuding sambil menyuluh ke arah makhluk itu.

Kelihatan perempuan berambut panjang yang berpakaian serba putih. Pada mulanya berdiri, tiba tiba merebahkan diri dan menyembunyikan sebahagian mukanya apabila ditemui.

"Wah cantiknya" terpacul dari mulut Sakroni.

Makhluk itu terus senyum dan menjeling tajam tepat ke Sakroni.

"Oh cantik ye cantik..." jawab makhluk itu. Ia nampak mahu berdiri dan ketika itulah rupa wajahnya mulai berubah beransur-ansur menjadi hodoh dan mengerikan.

Sakroni terkejut lalu terbangun lagi dari tidur. Selang beberapa minit duduk di bucu katil; dia terus ke bilik air berwuduk lalu solat malam untuk menenangkan diri. Sempat juga bersahur dengan biskut dan air tin kerana masih belum azan Subuh.



Awal keesokan paginya, telefon pintar berdering. Terpampang nama Dato' Farid di skrin tetapi suara wanita yang kedengaran.

Datin : Assalamualaikum, ini doc ke? Saya isteri Dato'. Saya tahu Dato' akan berjumpa doc esok.

Sakroni : Betul kak, Dato' nak bincang pasal projek dan tugas baru saya, ada apa kak?

Datin : Dato' dah tidak ada lagi. Strok jam 1.30 pagi semalam.

Sakroni :
Innalillah wa inna ilayhi raji'un
 
Allah swt menentukan semuanya, sedang kita manusia hanya mampu merancang sahaja. Arwah Dato' telah diberi tanggungjawab mengelolakan satu projek perumahan mampu milik sebanyak sejuta unit di seluruh negara. Sakroni tidak kisah jawatannya dalam syarikat, apa yang diharapkan masa depan projek yang bermanfaat kepada rakyat itu tidak akan terbantut.

Waktu rehat tengahari, Dato' Alang telah sedia menunggu Sakroni di luar mahkamah. Beliau memberitahu permohonan projek penaikan taraf jalan raya bernilai RM 200 juta menghadapi kesulitan. Tugas beliau sebagai penasihat organisasi diketepikan akibat campurtangan isteri big boss.

Sakroni mengambil nafas panjang, bergetar sekejap hati mengenangkan nasib yang menimpa dirinya; sudahlah sesi mahkamah tegang, mimpi diusik pontianak, kawan baiknya meninggal dunia dan terbaru projek mega tergendala. Dia menghubungi Salim menceritakan segala yang telah terjadi. Salim menasihatkan bahawa segalanya adalah takdir Allah yang pasti ada rahmat disebaliknya. Salim juga bersedia menziarahi waris arwah Dato' Farid kerana Sakroni masih ada urusan di ibu kota.

Malam itu sekembalinya Sakroni ke bilik hotel, dia teringat kembali mimpi ngeri semalam. Matanya terpandang ke arah tingkap yang menghadap Jalan Ampang dan KLCC yang kelihatan megah dari jauh. Tanpa berlengah dia menutup langsir kerana khuatir ada makhluk yang cuba mengintip dan masuk ke bilik 2414. Selepas solat isyak, dia berharap dapat tidur dengan lena tanpa sebarang gangguan.


Bersambung...

Thursday, July 31, 2014

Pasiran Aneh di Muara

"Hausnya tekak ni. Cuaca dah la panas, jauh lagi perjalanan balik ke rumah" tiba-tiba Salim bersuara.

"Kita singgah dulu warung tepi hutan sana tu" sahut Sakroni kerana sudah faham benar Salim sengaja memancingnya untuk pergi mengeteh.

Sakroni meletak jip SUVnya di bawah pokok yang rendang. Lega rasanya dapat menghirup cendol yang enak dan sejuk. 



"Bang, saya ni asal Perak, tapi saya tak berapa jelas tentang latar belakang kawasan Beting Beras Basah" Sakroni membuka topik perbualan.

Salim mengatakan ia bermula di Sulawesi, Indonesia. Kota Goa kaya dengan khazanah pelbagai logam terutamanya logam kuningnya. Di sinilah sejarah 13 adik-beradik warak keturunan raja yang memerintah di Goa dari suku ningrat Kraengyang tinggal.

"Sifat mereka yang suka mengembara merangsang salah seorang dari mereka keluar belayar ke Semenanjung. Kehebatan dan ganasnya ombak lautan Indonesia tidak menghalangnya untuk sampai ke Selat Melaka. Begitulah kekuatan dan kecekalan Kraeng Mapan Man Cokok belayar dari Goa dan bertahan hingga memasuki muara Sungai Perak" tambah Salim.
 
"Pekan di muara Bagan Datoh tu tak jauh dari kampung saya" Sakroni menyampuk.

"Sesampainya ke daerah melepasi Bagan Datoh ke Kuala Kangsar tiba tiba cuaca berubah menjadi gelap. Angin semakin kencang akhirnya membentuk ribut taufan yang hebat. Keadaan semakin merbahaya kerana lautan bergelora seolah-olah bersedia memakan apa sahaja yang ada ke dalam perutnya" tambah Salim lagi.

"Tenggelam ke?" soal Sakroni. 



"Kraeng Mapan merasakan ada sesuatu yang tidak kena, lalu beliau membuka mahkotanya dan mencampakkannya ke Sungai Perak. Tiba-tiba sahaja angin ribut hilang bertukar menjadi angin sepoi-sepoi yang nyaman. Gelora air menjadi lenyap, kapal layar yang di naiki Kraeng Mapan yang mulanya bergerak tonggang langgang mampu belayar tenang. Sebuah pulau kecil tiba-tiba kelihatan muncul di tempat jatuhnya mahkota raja. Pulau itulah yang di kenali sebagai Beting Beras Basah. Uniknya, kedudukan beting betul-betul di sempadan air masin dengan air tawar. Dari jeti Bagan Datoh mengambil masa 45m agaknya dengan bot nelayan" Salim berhenti sebentar mengambil nafas.

Sakroni hairan dengan setiap butir kata Salim macam dia sudah ke sana, walhal Bagan Datoh pun dia tidak pernah sampai.

Menurut Salim lagi beting ini sangat unik kerana boleh berpindah-pindah tempat. Malahan ianya tidak akan ditenggelami air walaupun seluruh kawasan lain sekitarnya tenggelam. Lebih dari itu beting ini merupakan tempat raja dan kerabatnya menjalani istiadat bersiram dan pertabalan. Dulu hanya kerabat sahaja yang boleh menjejakkan kaki kesana, sekiranya bukan salasilah akibatnya bot atau kapal akan tenggelam sebelum sampai di beting itu.

"Apa yang istimewa pada kerabat Perak bang?" soal Sakroni lagi.

"Kerabat Perak yang sebenar benar tidak berdarah merah tetapi berdarah putih. Sedang Perak dengan Negeri Sembilan pula berkait rapat dari segi pemerintahan negeri. Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang Pertama ada pertalian darah dengan kesultanan Perak sehingga makam Lukut menjadi tempat persemayaman beberapa kerabat keturunan diraja Perak. Ayahanda Raja Azman adalah keturunan terakhir yang telah dimakamkan di Lukut, dan setelah itu makam Lukut ditutup buat selamanya"
Salim menerangkan dengan panjang lebar

Kini kawasan berkenaan menjadi tumpuan penduduk tempatan yang punya kepercayaan dengan kisah mistik lamanya. Salim berharap agar tempat itu tidak menyebabkan hati pengunjung tersalah niat kerana taksub. Padahnya makhluk alam sana akan mengganggu mereka, lebih dari itu akan mengikuti mereka pulang ke rumah.

Menurut Salim biarlah lembaran sejarah menjadi ingatan, sedang hati harus lah bertauhid kepada Allah swt yang Maha Esa sahaja.

Jika tiada aral melintang, Sakroni berniat cuti panjang sempena lebaran nanti hendak membawa Salim menziarahi kampungnya di Bagan Datoh.


Bersambung...