Monday, July 28, 2014

Durian dan Pulasan

Kotak bungkusan peranti elektronik yang baru dibeli itu dibuka. Spesifikasi LTE network, CPU Quad core, 3GB RAM dan OS Android KitKat. Boleh tahan juga kata Sakroni dalam hati, patutlah harganya cekik darah dan tiada diskaun. Sehelai demi sehelai sisipan manual tablet jenama Korea Selatan itu dibelek untuk mengetahui di mana hendak disumbatkan kad memori dan kad SIM. Dia tidak mahu ketinggalan bersosial media dan selfie dengan gadget mudah alih seperti orang lain.

Sebaik sahaja selesai log masuk aplikasi Facebook, Sakroni lihat ada message notification daripada orang yang tidak dikenali.


Fida : Assalamualaikum, nak tanya pak cik ni boleh mengubat ke? Saya peminat tegar cerita kat blog Saudagar Alam Lain. Saya hendak mintak tolong. 

Sakroni : Sakit ape ye?

Fida : Susah nak dapat jodoh, dah rancang hendak kawin tapi tiba-tiba lelaki tu senyap. Makan tak banyak tapi saki perut berdenyut; buncit dan keras, tak lama kempis balik. Saya takut busung, hari-hari pergi gym perut tak mahu kecil pun. Badan ni macam ada yang menjalar jalar. Di kaki macam ada yang hinggap. Selalu ternampak dan terdengar bisikan makhluk halus. Selama ni kalau jumpa 10 tukang ubat termasuk di kampung semua jawapan tak sama.

Sakroni : Maaf, jangan salahkan sesiapa. Ingat, saya dan kawan saya bukan bomoh atau tukang ubat. Allah swt yang menyembuhkan.

Fida : OK faham, tolonglah pak cik. Saya boleh turun dari KL hujung minggu ni, ke rumah mak sedara di JB. Kemudian boleh jumpa pak cik untuk berubat.

Sakroni tidak terlayan gelagat Fida yang terlalu petah itu, terlalu banyak yang hendak diceritakan sekaligus dalam satu nafas. Ada baiknya Fida ditemani makciknya dibawa terus berjumpa dengan Salim.

Di rumah Salim, Fida menceritakan dia kacukan Arab dan Bugis. Sejak kecil datuknya sering membawanya ke Beting Beras Basah yang terkenal dengan kisah-kisah misteri. Setelah dewasa dia merasakan ada keganjilan pada dirinya. Sebagai seorang wanita muda, Fida cukup hairan setiap kali dia mempunyai kawan lelaki yang ingin lebih rapat dengannya selalu berakhir dengan kegagalan. Pria idaman semakin hari semakin menjauhkan diri. Seringkali Fida ditegur pacar bahawa wajahnya selalu berubah-ubah dan memberi alasan seperti ada benda yang sukar dijelaskan.

Salim terus dapat melihat makhluk halus yang mendampinginya. Menjelma seorang wanita tua dan dua orang budak kecil; satu hitam dan satu putih. Fida mengesahkan bahawa makhluk itulah yang selalu dilihatnya

"Fida duduk berlunjur ke arah kiblat, selawat terus semasa saya buat kerja, lihat ke depan" Salim memberi arahan ringkas.

Salim berdoa lalu melibaskan kain pada badan Fida beberapa kali. Semasa libasan di buat, makcik Fida ternampak makhluk halus itu satu persatu terpelanting keluar dari badan Fida. Mula-mula perempuan, kemudian dua budak berjejari tangan bulat berkulit hitam dan satu lagi berkulit putih. Fida sendiri dapat melihatnya dan disahkan oleh Salim sendiri akan kejadian itu.

"Badan dah terasa ringan" kata Fida spontan.

"Baring, saya hendak periksa badan. Selepas ini awak pergi mandi" arah Salim lagi.

Setelah selesai, Fida menyerahkan baju basahannya. Sakroni tidak dapat mengelak 'tugas rasmi' membuang baju basahan itu ke tempat air mengalir.

"Dalamannya masih belum bersih, perlu datang buat sekali lagi" ujar Salim kepada semua yang hadir.



Semasa perjalanan pulang, Fida terdengar obrolan Sakroni mengajak Salim singgah di kebun pekan sebelah sana kerana sekarang musim buah. Sakroni setuju semua ikut bersama kerana boleh menghirup udara segar setelah letih berubat tadi. Lagipun jip SUV miliknya memang sesuai dipandu lasak. Fida gembira dapat memetik buah-buahan ranum dan berkata ingin melihat dirinya sihat seperti pokok-pokok di kebun itu.

"Pak cik, terima kasih banyak. Dah la saya datang berubat. Bawa balik KL durian dan pulasan free pulak" kata Fida segan.

"Dah lah tu syukur pada Allah je" jawab Salim tersenyum.

Sebelum bertolak, Fida dan Salim saling memohon maaf sekiranya ada terkasar gurauan dan terlebih kata semasa sesi rawatan tadi.

Keesokan paginya, tablet canggih Sakroni berdering lagi.

Fida : Pak cik, syukur perut dah tak sebu, yang keras di perut dah takde.

Sakroni : Makhluk tu camna?

Fida : Dah tak nampak, takde lagi yang jalar-jalar tu, cuma tadi malam mimpi aje.

Sakroni : Kalau nak datang buat rawatan susulan nanti beritahu ye.

Sakroni dan Salim bersyukur masalah yang Fida alami dahulu sudah hampir hilang. Semoga perubahan itu tanda tanda baik buat masa depannya.


Bersambung... Izinkan Ratu Pulang

Thursday, July 24, 2014

Sucinya Sutera Putih

Awan bergerak perlahan, suasana sangat nyaman. Dewa Sinta duduk memikirkan orang yang ingin disayangi, si cantik manis Putri Sutra Putih. Segala usaha telah dilakukan untuk menambat hati sang Putri tetapi masih belum berjaya. Setiap kali mencuba, semakin Putri tidak mengendahkannya. Hati sang Dewa semakin sedih kerana cintanya tidak di balas, benar-benar bertepuk sebelah tangan.



"Daripada dia diambil orang, biar aku ambil semangatnya. Biar sang Putri terus membujang tanpa ingin berumah tangga, selagi tidak dengan aku'' kata hati Dewa melaksanakan niat jahatnya.

Putri Sutra Putih sadar apa yang berlaku pada dirinya, hanya untuk sementara ini beliau tidak tahu mahu minta tolong ke mana. Hidupnya kosong, tidak punya keinginan untuk menjadi isteri sesiapapun . Ramai yang ingin menyuntingnya tetapi hatinya tidak terbuka. Akhirnya Putri mendapat petunjuk agar beliau berjumpa Arif.

"Wahai Arif, hamba Putri Sutra Putih. Hamba ingin meminta bantuan tuan" mohon Putri

"Apakah bantuan yang Putri mahukan?" soal Arif

"Hidup hamba kosong, semangat hamba sudah tiada, bolehkah tuan hamba bantu hamba?" Putri merayu.

"Wahai Putri, hamba simpati dengan apa yang Putri alami, hanya saja kes ini sangat berat" Arif menyatakan pendapatnya.

"Maksud tuan hamba?" Putri ingin tahu selanjutnya.

"Berilah hamba masa untuk merujuk duduk perkara pada Atuk saya" jelas Arif lalu berdoa untuk berjumpa Datuk Syeikh Karim.

"Tentang Putri itu Atuk sedia bantu cucu" lalu Datuk Syeikh Karim menyahut.

"Tuk, apa kita hendak buat ni?" Arif membincangkan masalah yang dihadapi Putri.

"Ayuh kita pergi ke penjara alam sana. Di sanalah semangat Putri terikat. Atuk akan ambil semula cu"
Mereka bertolak lalu menemui kedudukan penjara tersebut. Datuk Syeikh Karim melakukan tugasnya mengambil semula semangat Putri Sutra Putih lalu dikembalikan ke tubuh tuan punya badan.

Serta-merta Putri Sutra Putih terasa adanya perubahan pada tubuh badanya. Beliau gembira sudah pulih lalu berjumpa Arif.

"Tuan hamba, ingin hamba mengucapkan terima kasih atas pertolongan yang tuan berikan" kata Putri Sutra Putih.

"Bersyukurlah Putri atas jasa Atuk, semangat Putri dapat dikembalikan" jawab Arif.

'Terima kasih jua pada Datuk Syeikh Karim ya" tambah Putri kemudian memohon diri dan terus hilang dari situ.

Seperti biasanya, kejadian tersebut akan Arif ceritakan kepada adiknya. Salim terus merenung jauh untuk mendapatkan maklumat keadaan terkini sang Putri. 


"Memang benar Putri Sutra Putih sudah benar-benar pulih. Kini putri sudah dipinang oleh seorang putra raja yang kacak berasal dari negeri alam sana" kata Salim.

"Siapa nama putra yang bertuah tu?" tanya Arif lagi.

"Tengku Zakir namanya" tambah Salim.

Arif bersyukur Putri Sutra Putih akhirnya berjaya dibebaskan daripada belenggu dan cengkaman hasad dengki Dewa Sinta.

"Sekarang ni Putri selalu bersama Nyi Anjas di Gunung Lemang" Salim memberitahu Putri dan Nyi menjadi sahabat baik dan selalu berjumpa di gunung.

Menurut Salim, Dewi Kuan Chin adalah nama asal Putri Sutra Putih. Beliau adalah seorang putri muslimah kini hidup bahagia bersama suaminya Tengku Zakir.

 
Bersambung...

Thursday, July 17, 2014

Ujian Persaudaraan

"Kopi susu siappp!!!" laung Sakroni gayanya seperti di kedai mamak. Seperti biasa, dia tangkas membancuh minuman panas berkenaan di dapur. Gelas kemudian dihulur kepada Siva dan Hanim yang sejak beberapa hari lepas berhajat sangat hendak bertandang ke rumahnya.

 

"Kami datang ni nak beritahu pasal Salim, supaya doc tidak terpengaruh dengan dia" kata Siva yang terbiasa memanggil Sakroni dengan gelaran doktor.

Sakroni sudah mula terasa hati apabila nama sahabat baiknya disebut, tapi dia terus mendengar dengan teliti butir "nasihat" dua orang dihadapannya itu.

"Salim tu orang yang tak boleh diikut sangat. Satu ketika saya dan keluarga saya hampir maut kerana kerenah dia"
Hanim menjelaskan bahawa sebelum ini Arif telah membantu mengikat makhluk halus yang mengganggu keluarganya. Tetapi Salim tanpa izin abangnya, sengaja membuka kuncinya membebaskan dan menggunakan semula makhluk jahat itu.

"Salim tu kerja dengan kami, tapi asyik memperkudakan orang sahaja. Suka-suka suruh hantar sana sini asal dia senang, tak fikir orang lain" kata Hanim beriya-iya sambil menambah Salim selalu berlagak seperti boss garang, bersikap kasar dan selalu marah tidak tentu pasal.

"Itulah, katanya dia penasihat Arif. Dulu kalau saya jalan ke alam sana, saya mesti jumpa Salim di depan saya. Sekarang ni dah tak ada, macam dah ditarik power yang ada pada dia" kata Hanim dengan yakin.

"Lagi pulak Salim tu dalam diam ada simpan mata air di Pulau Batang, tak jujur dia tu" tambah Siva.

Sakroni terkejut dengan gelagat Siva dan Hanim. Walhal Salim lah orang yang memperkenalkan mereka kepada Arif. Patutlah sejak akhir-akhir ini Salim keberatan jika diajak berkunjung ke rumah abangnya. Salim tidak pula membuka mulut untuk menceritakan situasi berkenaan.
 

Beberapa hari kemudian, Sakroni pergi ke rumah Arif untuk mendengar kisah dari sumbernya. Rupa-rupanya cerita tentang Salim semakin kronik.
  

"Baru baru ini Salim ada pergi ke Pulau Batang, di sana dia cuba menarik harta karun. Ada orang beritahu saya" berkerut muka Arif kerana perbuatan itu memang satu kesalahan.

'Tapi bang, mata saya sendiri lihat paspot Salim dah setahun dia tak ke pulau tu. Macam mana cerita itu boleh timbul?" Sakroni bangkit memberikan fakta sebenar kepada Arif.

Demi Allah, Sakroni tak mahu mereka berantakan. Kerjasama dua beradik yang istimewa itu selama ini telah banyak membantu orang ramai yang ditimpa musibah dan penyakit.

Mendengarkan pengakuan Sakroni, kelihatan Arif tersentak sedikit. Setelah bertenang, Arif menadah tangan dan berdoa dengan niat sesiapa yang jua bersalah moga kembali balik ke pangkal jalan. Kalau tidak, dia serahkan kepada Allah swt.

Kemudian Sakroni pergi ke rumah Salim untuk bertanya khabar.

"Saya sedang puasa untuk 3 bulan bang. Moga Allah swt berikan jawapan. Kalau saya salah, saya rela kembali ke rahmatullah daripada hidup menyusahkan orang lain. Kalau saya benar bererti saya difitnah" air muka Salim cukup tenang ketika mempertahankan dirinya.
 

Pada hujung bulan ketiga, Salim telah mendapat alamat suara dari Datuk Syeikh Karim. 
 "Cu, cu tak salah" kata beliau.

Salim menitiskan air mata ketika bercerita kepada Sakroni bahawa dia dan abangnya telah berbaik semula. Dua beradik itu tidak pernah menyimpan perasaan kecil hati antara satu sama lain. Ujian persaudaraan yang getir itu menyebabkan hubungan mereka bertambah kental, tiada yang boleh memisahkan mereka lagi kecuali mati.

Bersambung...

Wednesday, July 16, 2014

Derita Lima Dekad

Seluruh negara telah Azman jelajah untuk berubat. Tidak terkira fulus yang melayang tapi perubatan moden malah tradisional semuanya gagal. Seingat Azman sejak kecil seluruh adik-beradiknya mengalami penyakit misteri saling bertukar ganti. Setelah Azman berkahwin, semua 4 anaknya pula mewarisi penyakit tersebut.

Walaupun Azman redha dengan musibah itu, tetapi dia yakin dengan janji Allah swt setiap penyakit ada ubatnya. Azman masih ingat salah seorang yang cuba merawatnya memberi petunjuk bahawa dia akan bertemu penyelesaiannya setelah mencapai usia 50 tahun dan bertugas di tempat kerja yang baru. Lumrah sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan yang berpindah randah, akhirnya Azman ditakdirkan di tempatkan di selatan tanah air.  Suatu hari Azman telah ditemukan dengan Arif.

 
"Pada hemat saya kes ini ada kaitan dengan barang pusaka" ujar Arif.

Azman menceritakan bahawa nama penuhnya ialah Raja Azman, darah kesultanan Perak mengalir dalam dirinya. Sebuah keris diraja diwariskan kepada ahli keluarganya.

"Tuan ambil barang tu bawa ke sini, nanti saya usahakan untuk menambatnya. Kalau tidak ia akan terus mengganggu keluarga Tuan" Arif menyuarakan kebimbangannya.

"Kenapa pula barang itu boleh membawa bencana?" tanya Azman.

"Dulu yang jaga baik. Sekarang yang duduk dalam keris itu benda jahat" jelas Arif.

"Ada masalah untuk dibawa bang, sedang saya sendiri nak lihat pun tak diizinkan adik" tambah Azman.

"Tuan balik dan mintalah" sahut Arif tegas.

Azman bergegas pulang ke kampung halaman untuk berjumpa adiknya. Alangkah terkejutnya dia, apabila adiknya menyerahkan keris itu kepadanya tanpa perlu di mintanya.

Beberapa hari kemudian,  Azman kembali menemui Arif. Kebetulan Salim berada di sana.

Sebaik sahaja Azman menyerahkan barang itu ke tangan Arif, penjaga keris berkenaan terus menjelma memunculkan dirinya.

"Kenapa kamu ganggu keluarga mereka?" herdik Arif.

"Itu dah jadi rumah saya, saya perlu makan" jawab makhluk itu.

"Kamu mahu hidup atau mati?" ugut Arif tegas

"Siapa kamu hendak ganggu saya pula?" jawab makhluk itu angkuh.

"SUDAH! Tiada kompromi lagi. Kamu akan aku ikat sampai kiamat kerana kamu kurang sopan" Arif benar-benar naik angin.

Arif kemudiannya melakukan ikatan lalu memasukan keris itu ke dalam sarungnya kembali.

"Tolong tanam keris ini paras 20 meter dalam tanah" Arif mengarahkan Salim. 

  

Salim berfikir sejenak kerana kedalaman 20 meter adalah luar biasa untuk tanah dikorek secara manual. Sedangkan kubur baru 7 kaki ke dalam tanah. Salim mendapat idea lalu menghubungi kawannya yang sedang menyiapkan projek mega memantakkan cerucuk membina bangunan pencakar langit.

Salim seorang diri segera memecut sepeda motor kuasa tingginya ke ibu kota. Di sana keris berkenaan dimasukan ke dalam batang keluli tahan karat lalu dikimpal pada besi cerucuk yang hendak di tanam. Salim memberikan arahan sambil berdoa agar barang yang dikembalikan ke asal usulnya akan lebur. Salim perasan semasa berurusan di sana, Arif semacam sentiasa berada di sisinya.

Setelah seminggu berlalu, rasa berdebar Azman akhirnya hilang. Dia bersyukur gembira kerana anak bongsunya sudah sembuh dan tidak berjangkit kepada ahli keluarga lain. Kehidupan Azman kembali  normal dan tugasnya di pejabat lancar kerana tidak perlu lagi kerap bercuti sakit.

'Terima kasih bang Arif dan bang Salim atas pertolongannya" kata Azman.

"Kami hanya berdoa, Allah swt yang menyembuhkan" jelas Arif sambil Salim hanya tersenyum.

Bersambung...

Monday, July 14, 2014

Penjaga Khazanah Besar

Sebuah sepeda motor tersadai di laman rumah. Semalam dalam renyai-renyai hujan, pecutan tergesa-gesa Salim untuk mengejar punch card tempat kerja menyebabkan roda depan motornya bengkok termasuk lubang jalan. Salim duduk menggaru kepala memikirkan berapa ongkos diperlukan untuk membaiki motor berkuasa tinggi miliknya itu.

"Duit... duit... di mana kau duit?" nyanyi Salim dalam hati.

Ketika termenung Salim terkenang peristiwa suatu malam bersama Arif di kaki gunung rumah Ayahanda. Ketika itu walaupun jam 2.30 pagi, cahaya bulan penuh menyinari kegelapan malam. Setelah diizinkan Ayahanda, Salim membawa Arif menikmati hawa malam bersiar-siar di kebun.


 

"Hendak lihat jongkong emas?" tanya Salim.

Terkejut Arif apabila melihat timbunan jongkong emas dan harta karun yang tidak ternilai seluas mata memandang di hadapan matanya.

"Lihat tu intan berlian, barang kemas berguni-guni banyaknya" tambah Salim sambil menggeleng gelengkan kepalanya.

"Ada putri pula sedang menunggu barang-barang itu" perasan Arif.

Sempat si putri menawarkan sebuah jongkong emas kepada Arif tetapi beliau menolaknya dengan sopan.

Dalam samar-samar, tiba-tiba Bonda muncul menunggang kuda putihnya sambil menenteng suatu objek lonjong yang sederhana saiznya.

"Bonda, apa tu?" tanya Salim curiga sambil cuba memfokus penglihatannya.

"Ah ini kepala sami yang cuba mencuri harta jagaan nenek, dia harus diadili" tegas jawapan Bonda.

"Ada apa anak ibu?" Bonda sempat menanya khabar Arif.

"Oh maaf ibu, saya cuma ikut abang Salim lihat-lihat" jawab Arif. Kecut juga hati mereka melihat nasib sami berkenaan yang sudah bercerai kepala dari badan.

"Oh ya tak apa-apa kalau sama nak Salim" pesan Bonda sebelum beredar.

Rupa-rupanya Bonda lah penjaga semua harta karun di seantero kepulauan Nusantara, negara kita terus ke Siam. Tidak jauh dari rumah Bonda juga terdapat batang emas sebesar batang pinang sepanjang 40 kaki tidak terkira banyaknya.


Pada hari lain pula, ketika dua beradik itu sedang mandi di kolam gunung. Kerap kali mereka diintip oleh anak-anak dara gunung. Rupa paras mereka begitu jelita, bermata magnet, jelingannya memukau, bibir nipis manis senyumnya, rambut panjang melepasi pinggul, sungguh tiada tandingan. Salim perasan muka kesemuanya seiras hingga sukar untuk dibezakan antara satu dengan yang lain.

"Kalau dah jadi isteri , kita tahu dari suara dan bau wangi tubuhnya" Arif memberi petua berdasarkan pengalamannya beristerikan Putri Milofa.

"Ingat tak putri yang menggoda datang melihat tajam ke arah tuala abang dari dekat tu, lalu abang serba salah" Salim menyakat Arif menyebabkan mereka ketawa terbahak-bahak.

Salim tersenyum sendirian mengenangkan apa yang ditempuhi bersama Arif di gunung. Tangan ditadah bersyukur kerana segala yang terjadi adalah rahmat Allah swt yang tidak ternilai. Pabila sang mentari sudah meninggi, Salim bangkit menelefon pomen bengkel berhampiran.

Bersambung...