Jarum jam menunjukkan waktu hampir tengahari tetapi pemandangan di luar tingkap gelap bagaikan malam. Mendung dan hujan renyai tidak henti-henti sejak awal pagi di bandaraya selatan. Di dapur Sakroni beraksi bagaikan chef, menyiapkan lauk telur dadar untuk makan tengahari. Setibanya Azmi di rumah banglo itu, hujan mencurah dengan selebat-lebatnya. Azmi dapat lihat Salim yang lebih dahulu sampai sedang santai duduk di pangkin.
"Tok Karim arahkan supaya Mat tarik kaki anaknya yang sakit tu dari depan. Tok suruh lafaz. Saya tak paham dan Mat pun tak tahu apa maksud 'lafaz' kata Tok Karim tu" kata Azmi yang bingung dengan nasihat itu.
"Sebenarnya Tok minta Mat menarik balik sumpah yang di lafazkan pada anaknya secara berdepan. Kalau dia berbuat begitu, anaknya akan sembuh dari sakit membisunya" Salim memberi panduan.
"Oh gitu bang, banyak lagi yang saya kena belajar dari abang" ujar Azmi.
"Cara orang alim alam sana bercakap ada rahsia dan mendalam maksudnya. Jadi harus pandai menganalisa" tambah Salim lagi.
"Bang, kenapa Pak Sunan selalu datang memerhatikan saya, tapi tak bercakap? tanya Azmi ingin tahu.
"Rasanya Pak Sunan mewakili Atuk. Ada apa-apa ke dengan Mi? Maksudnya Mi ada buat benda tak baik ke?" Salim menyoal selidik. Sunan Ampel antara sembilan wali songo yang masyhur di Nusantara.
"Anak tauke minat saya bang, saya layan je" jawab Azmi jujur.
"Kalau awak buat benda tak baik Pak Sunan akan bertindak" jelas Salim.
"Benar bang, anak tauke ingin menggoda saya ketika hanya kami berdua di dapur. Tiba-tiba Pak Sunan sudah berada di sisi saya sambil memegang pelepah tamar sedia untuk memukul saya!" sambung Azmi.
"Dah tu apa jadi?" celah Sakroni.
"Saya takut bang, tarik brek lah" balas Azmi tersengih.
Jawapan seloroh Azmi disambut dengan gelak tawa Sakroni dan Salim.
"Oh Kakek saya yang sakti tu kan orang Bintan. Ingat tak yang dia sumpah Bapak jadi batu selama lima tahun?" imbas Salim yang teruja rangkap pantun berkenaan.
Salim berkata ketika Wak Rumingan masih hidup, dia sangat kagum dengan Bapak sehingga sanggup mengaku saudara sehidup semati dengan menjilat titisan darah Bapak. Wak Rumingan kemudian pergi ke Bintan bersama Bapak kerana ingin tahu lebih lanjut ilmu Kakek. Bapak berdoa supaya Kakek hadir kerana Wak Rumingan ingin menyaksikan sendiri kesaktiannya. Setelah memberikan kata laluannya, Kakek terus membuka lalu menebarkan serbannya. Tiba-tiba seluruh gunung Bintan menjadi gelap seperti diselubungi serbannya. Wak Rumingan terus percaya dengan kesaktian Kakek dan semakin yakin dengan kebolehan Bapak setelah insiden dengan pastor tempoh hari.
"Bang, keris Taming Sari di muzium mana?" Sakroni memancing Salim agar bercerita lagi.
"Itu ada kaitan dengan Hang Tuah. Laksamana yang begitu amanah kepada Sultannya, darjatnya menjadi tinggi kerana kejujurannya. Sedang Hang Jebat adalah panglima biasa, yang tidak pernah berasa iri dek kepercayaan tinggi yang Sultan berikan pada Tuah. Walaupun Tuah dianugerahi keris Taming Sari dari Kerajaan Majapahit yang terkenal" terang Salim satu persatu.
Tuah akhirnya difitnah lalu dijatuhi hukuman bunuh. Memanda Menteri ditugaskan untuk melaksanakannya. Tuah telah disembunyikan dan diganti dengan pakaian yang berlumur darah haiwan sebagai bukti pada Sultan hukuman bunuh telah dilaksanakan. Mendengar nasib Tuah itu, Jebat begitu sedih dan melepaskan geram dengan melakukan amukan ke seluruh kampung.
Akhirnya apabila keadaan tak terkawal Memanda Menteri membawa balik Tuah. Sekembalinya beliau, Sultan memerintahkan agar Tuah melaksanakan tugas menghalang Jebat daripada terus membuat onar. Tuah terpaksa melaksanakan apabila nasihatnya tak didengar Jebat.
"Bang, sewaktu bertempur keris Tuah mengena badan Jebat tak?" tanya Sakroni lagi.
"Perlawanan begitu seru, tikaman Tuah mengena Jebat beberapa kali tetapi Jebat kebal" sambung Salim.
"Aku beri kau peluang untuk bunuh aku kerana aku menghormati abang Tuahku" kata Jebat pada Tuah.
Jebat sedia melepaskan ilmu kebalnya. Ketika itu lah Tuah melakukan tikaman tanpa melihat wajah Jebat mungkin kerana teringat janji bahawa mereka bersaudara. Jebat yang berdarah putih, darah keturunan raja tewas. Setelah ditikam, Jebat rebah di pangkuan Tuah hingga ke nafasnya yang terakhir.
"Tuah meninggalkan istana untuk berkelana. Yang akhirnya beliau diberitakan sakit dan ghaib dalam berzikir. Kini Tuah berada di Gunung Ledang bersama Nyi Anjasmoro" sambung Salim lagi.
Mengikut sejarah Nyi memberikan syarat-syarat yang pelik untuk Tuanku Sultan supaya Sultan gagal memenuhinya kerana cintanya yang sebenar adalah pada Tuah.
"Sedang keris Tamingsari tulen yang di buang Tuah ke Laut Cina di sambut Nyi dan di simpan sampai sekarang,. Jadi yang ada di luar tu hanya klonnya je" kata Salim untuk mengakhiri ulasan peristiwa sejarah itu.