Friday, August 29, 2014

Tetamu di Lembah Damai

Kabus pagi menyelubungi lembah gunung. Kicauan unggas adalah melodi hiburan di hutan rimba. Di situ Salim tinggal bersama pasangan suami isteri yang dianggap sebagai Ayahanda dan Bondanya. Pada mulanya hanya sebuah pondok kecil menjadi tempat berteduh dan bertemu sesiapa yang bertandang.

"Camna kalau kita buat rumah? " cetus Salim pada orang tua tersebut.

"Ayahanda setuju, kalau gitu kita gunakan kayu-kayan yang baik di hutan di sini nak" jawab Ayahanda.

"Bermakna kita harus bikin sendiri tiang, gelegar, lantai dan lain nya daripada hutan ini pak?" tanya Salim.

"Benar nak, harus gunakan gergaji untuk membelah kayu, nanti bapak bantu untuk menegakkan rumah itu ya" Ayahanda memberi dorongan kepada Salim.



Salim mula memilih pokok mengikut ukuran rumah banglo dua tingkat. Tiang dan gelegar 5x5 inci sepanjang 40 kaki dipotong. Papan lantai ukuran besar dan tebal digergaji dengan hati-hati. Berbulan-bulan Salim menebang balak untuk mendapat tiang dan gelegar yang secukupnya.

"Baiklah kini sudah cukup untuk menegakkan kerangkanya nak" kata Ayahanda pada Salim.

"Bagaimana pula untuk mengangkat tiang dan gelegar ini yg berat ini?" keluh Salim dalam hati kebingungan.

Belum sempat Salim luahkan, lantas Ayahanda menjawab
"Ya sedangkan balak kamu mampu mengangkatnya, kita angkat berdua aja tiang-tiang ini nak"

Mendengar kata-kata dan berkat ajaran Ayahanda, Salim mampu mengangkat batang balak menggunakan tenaganya sendiri. Salim yakin dengan kemampuan Ayahanda lalu mereka menegakkan kerangka tanpa bantuan orang lain. Berpeluh basah badan Salim setiap hari, begitu banyak tenaga telah digunakan. Akhirnya itu semua menjadi berbaloi apabila kerangka rumah melayu tanpa paku tertegak dengan kukuh di dalam hutan di atas gunung di pulau itu dari hasil tangan dua beranak ini.

Ketika Salim berehat sebentar untuk melepaskan lelah, kedengaran suara menegur
"Assalamuaikum"

"Waalaikumsalam" Salim menjawab. Oh rupanya Panglima Hitam yang mengawal kawasan ini.

Semakin hari semakin ramailah anak-anak gunung yang singgah dan lalu di kawasan rumah yang tersergam indah itu.

Tempoh hari ketika Salim meneroka untuk memilih pokok-pokok untuk ditebang, dia ternampak anak-anak gunung sedang mandi di pancuran air gunung yang sempit. Ramai pula yang menunggu giliran. Salim prihatin sekali lagi melihat mereka, tergerak di hatinya untuk membuat kolam mandi yang bersaiz besar pula.

"Ayahanda, sambil menyiapkan rumah tu, saya bercadang untuk menyediakan kolam mandi bagi anak-anak di sini" cadang Salim.

"Tapi bagaimana ya kan tidak ada jentera besar untuk mengorek tanah dan batu nak" Ayahanda khuatir kalau perkara ini akan memberatkan Salim.

"Ya kita ada cangkul, cuma masanya agak panjang untuk menyiapkannya" ujar Salim dengan yakin.

Salim terus memulakan kerja sedikit demi sedikit mengikut perancangan. Syukurlah dalam masa enam bulan kolam yang ditebati batu-batuan gunung sudah siap. Bertambah ramailah penggunanya termasuk para wanita dan anak dara gunung bermandi-manda tanpa perlu menunggu lama beratur panjang.

"Kalau ada orang yang paling berjasa di gunung ini, itu lah nak Salim" kata Ayahanda pada Bonda.

"Ya benar, itulah kelebihan Salim anak kita tu" jawab Bonda jelas bangga.

Ayahanda dan Bonda adalah pasangan yang ditugaskan menjaga harta gunung. Bagi anak-anak gunung mereka berdua adalah orang yang di segani kerana kebolehan dalam ilmu batin dan cekap pula dalam ilmu persilatan. Ayahanda dan Bonda terkenal berwatak garang apalagi dengan kemampuannya untuk sekali-sekala menunjukan kesaktiannya maka mereka berdua sangat digeruni.



Pernah satu ketika seorang pastor datang ke gunung untuk bertemu Ayahanda. Setelah saling diperkenalkan maka mereka saling berbicara.

"Ada maksud apa tuan datang ke mari yang jauh dari kota?" soal Ayahanda.

"Saya ke mari ingin melihat bapak, kerana banyak saya dengar cerita kesaktian bapak di sini" jawab pastor jujur.

"Ya sebagai orang Islam yang hebat itu Allah swt, saya tidak tahu apa-apa" jawab Ayahanda sopan.

"Betul bapak, saya lihat bapak ini orang biasa saja tidak punya apa-apa kelebihan seperti yang dikatakan orang" kata pastor sinis.

Belum sempat Ayahanda menjawab, pastor terus berkata mahu pulang ke kota.

"Oh lupa, mahu salaman sama orang biasa di gunung ini sebelum pulang" kata pastor sambil menghulurkan tangannya.

Ayahanda terus menyambut genggaman pastor dengan cukup erat. Berpeluh basah muka pastor dengan keringat, tetap dia tidak mampu untuk melepaskan tangannya. Lama-kelamaan kelihatan tubuhnya menjadi pucat dan kering lalu Ayahanda akhirnya melucutkan genggaman tangannya. Pastor kelihatan benar-benar ketakutan.

"Datang bertamu tetapi mahu menguji dan menghina rupanya!" tegas Ayahanda pada Salim.

"Kelihatan lesu orang itu" jawab Salim memerhatikan pastor itu berlalu pergi.

"Rasanya belum sempat mencecah tanah lapangan terbang dia sudah mati" tambah bapak pada Salim.
 
Selang beberapa hari Salim terpandang muka depan suratkhabar ada berita seorang telah meninggal dunia di lapangan terbang. Dikatakan belum sempat turun dari pesawat yang dinaikinya, ternyata si mati adalah pastor yang tidak sopan berkenaan.
 

Bersambung...

Friday, August 22, 2014

Direktori Surau : Plaza Larkin

Premis : Plaza Larkin, Jln. Garuda, 80350 Larkin, Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim
Lokasi : Tingkat 1
Clue : Keluar dari lif, belok kanan. Masuk ke lorong sebelah D'Hana Beauty Therapy (Lot 1-26)

Catitan : kapasiti kecil < 10 orang, wuduk di dalam, sejadah, aircond, bilik asing dinding pisah lelaki wanita

  

Thursday, August 21, 2014

Pergi Dan Kembali

Tiada satu pun awan di langit. Walaupun panas terik, kerja di lapangan perlu disiapkan. Apabila sudah masuk waktu rehat, Salim bersama rakan setugas Nasir dan Man berhenti sebentar untuk melepaskan lelah.

"Bang, boleh tak seru atok saya yang dah lama meninggal?" terpacul soalan Nasir kepada Salim

"Saya dilarang sama sekali menyeru, tetapi kalau berdoa kepada Allah boleh"
jawab Salim tegas.



Kebetulan Nasir kehabisan kreteknya, lalu dia terus menuju ke kedai berhampiran.

Tiba tiba Salim terlihat ada seorang tua berbaju T putih berkain pelekat corak kotak kotak kecil datang menghampirinya. Rambutnya putih pendek bermuka bulat di dagu, lehernya ada tahi lalat berbulu agak panjang tapi sedikit.

"Beri kata laluan" kata Salim.

"Saya ni atuknya Aseer" ujar orang tua itu.

"Ada kata laluan yang tepat rupanya" kata hati Salim.

"Tolong doakan atuk ya nak" pohon orang tua pada Salim.

Salim membacakan ummul kitab mohon diterima rohnya di sisi Allah. Orang tua itu mengucapkan terima kasih lalu beredar pergi.

Tak lama Nasir kembali dengan dua bungkus rokok kretek di genggamannya. Salim menceritakan kehadiran orang tua tadi pada Nasir.

"Saya rasa macam tak kenal lah bang" jawab Nasir.

"Dia panggil awak Aseer, bila bercakap dia urut urut rambut yang ada pada tai lalatnya" terang Salim lebih lanjut.

"Eh kalau gitu, itulah atuk saya, ya Allah!" Nasir tergamam.

Kemudian datang pula seorang nenek tua mengucapkan salam dan turut memohon Salim mendoakannya. Mengikut ciri-ciri yang disampaikan oleh Salim, Nasir mengesahkan yang datang itu adalah neneknya.

"Bang, nenek saya ada jumpa tak dengan atuk" Nasir bertanya.

"Tidak" jawab Salim ringkas.

"Kenapa bang?" desak Nasir.

"Ini kerana nenek selalu memarahi atuk semasa hidupnya" jawab Salim.

"Eh kata-kata abang tu benar, nenek memang begitu semasa hidupnya" Nasir teringat kembali gelagat mereka.

Esoknya Nasir mengajak Salim dan Man menziarah kubur pada waktu siang, kerana Salim tidak diizinkan ziarah kubur malam. Semasa berada di tanah perkuburan, Nasir lupa lokasi kubur atuknya kerana sudah lama dia tidak melawatnya. Salim terus berdoa moga ditunjukkan Allah swt akan kedudukan kubur itu.



"Nasir, sini cuba awak tengok yang itu" jelas Salim sambil mengarahkan Nasir ke sana.

"Benar sekali bang" Nasir agak terkejut atas ketepatan Salim.

Dengan kuasa Allah, Salim dapat berjumpa lagi dengan atuk Nasir di sana. Salim nampak nenek pun berada di situ. Kemudian kelihatan nenek mendekati atuk lalu mereka berpimpin tangan dan beredar dari situ. Salim memaklumkan apa yang baru dilihatnya kepada Nasir.

"Alangkah ruginya saya sebagai manusia tidak memiliki kebolehan melihat alam sana seperti abang" kata Nasir sedih.

"Ini semua anugerah Allah swt, hanya dengan izin-Nya sahaja terjadi, dan Dia akan beri kepada hambanya yang Dia nak anugerahkan" jawab Salim.

Tiba-tiba Salim dengar satu suara di celah rimbunan pokok pokok pisang; boleh jadi kawasan kubur lama.

"Ada yang memanggil nama engkau Man. Kau kenal tak suara tu?" kata Salim pada Man.

"Tak kenal bang" jawab Man yakin.

"Tak pe lah" kata Salim lagi.

Lalu mereka ke pejabat kubur ingin melihat buku catatan kematian. Bukunya besar dan tebal pula. Nasir tercari-cari tarikh kematian ayah kepada Salim.

"Tak jumpa tarikh kematian ayah abang dan ketika mati abang ingat tak umurnya?" tanya Nasir setelah puas membelek.

Salim sendiri tak ingat, lalu dia terus berhubung dengan ayahnya lalu si mati memberikan jawapan.

"25hb Julai 1975, ketika meninggal berumur 70 tahun" lantas Salim memberitahu Nasir petunjuk yang baru diterimanya.

Nasir terus menyemak buku berkenaan, ternyata tepat sekali apa yang di katakan Salim.

Sementara itu Man pula mahu mencari kubur ibunya sebelum di pindahkan ke tempat baru.

"Kubur ibu dah tak ada di sini" kata arwah ibunya pada Salim.

"Nasir, tolong beri tahu Man kubur ibunya dah tak ada disini" nasihat Salim.

Nasir beritahu Man. Tetapi Man tetap berusaha mencari. Setengah jam berlalu, masih belum jumpa jua.

"Bang ke mana kubur emak saya?" tanya Man yang sedih kepada Salim.

"Itu kubur lama, ianya dah lenyap dari sini" jawab Salim.

Man akur tetapi hatinya pilu. Ketika sedang berkemas untuk pulang barulah Man sedar yang suara memanggil dari celah pokok tadi adalah suara pakciknya. Man menitiskan air mata, mengenang Allah Maha Kaya dan teringat betapa daifnya dirinya kerana tidak berusaha untuk mencari ilmu ke jalan ini.

Salim menenangkan Man agar sentiasa berdoa dan berselawat. Nasir dan Man bersyukur pada Allah swt dan berterima kasih pada Salim atas pengalaman itu lalu beredar meninggalkan kawasan pusara.


Bersambung...

Friday, August 15, 2014

Merah Itu Indah

Sudah hampir tengah malam tetapi manusia di bandaraya seperti tidak mengerti. Kenderaan diletak merata-rata sepanjang jalan utama kerana pemiliknya menghala ke pasar karat di tengah kota. Ramai warga selatan yang berulang-alik mencari rezeki di Temasek baru keluar dari kompleks imigresen. Sesak tiada bezanya suasana hari kerja dan hujung minggu.

Ada tugas untuk Sakroni malam ini. Beberapa hari yang lepas Arif memberitahu ada orang minta tolong uruskan barang istimewa yang hendak dimaharkan. Setelah beberapa minit menunggu di sebuah restoren yang terletak di celah-celah bangunan, akhirnya orang berkenaan yang mengatur temujanji muncul.


"Saya nak dengar pasal barang itu" Sakroni membuka bicara.

"Barang tu ialah batu daripada buah delima. Rendam merah, kalau angkat tetap merah airnya" kata Dyima yang bertindak sebagai jurucakap barang tersebut.

"Barang itu sekarang di mana?" soal Sakroni ingin tahu.

"Ada di JB, minta izin no tel Doc saya bagi pada Maisah, tuan punya barang" jawab Dyima.

Maisah akhirnya setuju mengatur temujanji seterusnya beberapa hari kemudian di rumah Sakroni.

"Ada bawa barang tu ?" soal Sakroni.

"Maaf Doc, tak bawa kerana tarikh tamat pertapaannya belum selesai . Lepas tarikh itu boleh diuji" terang Maisah.

"Untuk bawa si pembeli turun ke sini kena masukan dalam akaun dia seribu ringgit, kakak uruskanlah" Sakroni memberitahu syaratnya.

"Saya setuju bayaran tu, dan bila dah tamat tapaannya saya bawa air merah tu untuk Doc" kata Maisah.

Sementara itu Sakroni menyampaikan hal berkenaan kepada si pembeli. Menurut beliau sekiranya barang berkenaan benar-benar asli, beberapa saat selepas direndam dalam air akan timbul buih. Kemudian buih akan pecah lalu timbul warna mengikut keistimewaan masing-asing yang diberi oleh Tuhan yang Maha Kuasa . Tambah beliau lagi beberapa gelas air akan disusun lalu berdoa kepada Allah swt upaya boleh tembus ke gelas lain. Batu yang bernilai tinggi itu akan menyebabkan gelas lain akan berbunyi seperti pecah lalu air dalam semua gelas berubah menjadi merah serta-merta.


Hal berkenaan turut dirujuk kepada Salim. Menurut Salim dia pernah melihat sendiri barang antik tersebut di gunung kepunyaan Tengku Halim. Apabila dicampakkan tali pinggangnya menjadi ular tedung. Sedangkan batu delimanya pula apabila dicampakkan ke kolam yang jernih, seluruh air bertukar menjadi merah. Setelah barang berkenaan diangkat keluar, ia kembali jernih seperti asal.

Masjid kawasan perumahan elit Batu 4 1/2 tidak pernah lekang dengan jemaah. Selepas solat terawih, Sakroni terus berjalan kaki menyeberang jalan berjumpa Maisah di restoren seperti yang dijanjikan minggu lepas.

"Ini air merah buat Doc" kata Maisah sambil menyerahkan sebotol plastik berisi air.

"Maaf kak, saya nak terangkan beberapa perkara. Menurut si pembeli sekiranya air tetap merah bila batu dikeluarkan, bererti barang belum betul-betul kuat. Kalau ketika si pembeli uji boleh gagal, kakak rugi seribu ringgit" jelas Sakroni panjang lebar.

Maisah berkeras mahu meneruskan urusan tanpa keindahan barang berkenaan tanpa diuji terlebih dahulu. Dia terlalu yakin barang tersebut ampuh seperti kata gurunya. Keraguan Sakroni terhadap keaslian barang berkenaan semakin menebal.

Hujung minggu Sakroni pergi menjemput pembeli di lapangan terbang. Mereka terus menuju ke rumah Maisah melakukan ujian barang berkenaan seperti mana yang dijanjikan.

Sebaik sahaja tiba, tanpa membuang masa si pembeli menerangkan kaedah ujian kebal batu delima merah. Nilai barang dan kaedah pembayaran turut dijelaskan dengan panjang lebar. Semuanya dipersetujui oleh Maisah dan didengar oleh semua yang hadir termasuk suami Maisah.

"Kalau saya uji, rambut tak putus, saya terus bayar. Sekiranya setelah itu barang berubah maka itu tanggung jawab saya" kata si pembeli .

"Jadi tak ada tuntut balik ye?" Maisah meminta kepastian.

"Tak ada dakwa dakwi" tambah si pembeli.

"Sekarang kakak pegang genggam batu ni. Ambil masa, kak angguk bila dah siap sedia. Saya akan potong sedikit rambut kakak" kata si pembeli.

Setelah mendapat kebenaran, pembeli terus memotong rambut Maisah menggunakan kepingan pisau cukur. Ujian pertama gagal kerana rambut putus. Begitu juga ujian pada anak dan makciknya. Bererti semua ujian tidak berjaya. Maisah tergamam melihat sendiri hasil kejadian itu tentunya barulah dia percaya kepada apa yang Sakroni katakan sebelum ini. Kasihan pada Maisah yang terlalu yakin dengan barang dari gurunya. Setelah sesi ujian berakhir, Sakroni menghantar si pembeli pulang ke lapangan terbang lalu terus singgah di kebun buah pinggir kota untuk melapangkan fikiran.

Sakroni terus menghubungi Salim lalu menceritakan segalanya. Salim memberi nasihat kepada sesiapa yang terlibat dengan barang antik bahawa jika tanpa ujian keindahan dikhuatiri kita akan tersalah tafsir dan membawa kepada kerugian kepada diri sendiri.


Bersambung...

Thursday, August 14, 2014

Izinkan Ratu Pulang

Rentetan kisah Durian dan Pulasan
 
Awal pagi lagi Sakroni telah memanaskan enjin jip SUV kesayangannya. Sambil itu dia menekan telefon pintar menggunakan aplikasi Waze untuk mengelak kemungkinan jalan yang sesak. Walaupun penyakit misteri Fida sudah berkurangan dirawat Salim tempoh hari, Sakroni hendak membawa mereka untuk rawatan susulan di rumah Arif.

"Pak cik, badan saya panas mendadak" adu Fida sebaik sahaja tiba di sana.

"Tak apa kerana jin yang duduk dalam badan awak dah kenal saya" jelas Arif. 


Menurut Arif pendamping itu nenek berasal dari Semarang dan tinggal di Krakatau. Selama hampir 20 tahun menjaga, menyerupa, bersuara, melihat apa sahaja yang dilakukan menggunakan badan Fida.

Menceritakan pengalamannya, Fida pernah berani pergi bersendirian dari ibu kota ke Pantai Remis untuk berubat dengan seorang ustazah. Bayaran RM 9 ribu dengan seekor lembu merah menjadi syarat. Apabila ditanya apa bukti apabila permintaan itu dipenuhi dia akan benar-benar sembuh, Fida tidak menerima jawapan yang meyakinkan.

"Pak cik, seluruh badan sakit" rungut Fida pada Arif lagi.

"Sekarang kamu harus keluar dari tubuh anak ini dan keluarkan semua benda yang kamu letak di badannya" arah Arif dengan nada marah pada makhluk berkenaan.

Di saat itu juga makhluk itu keluar lalu memohon ampun pada Arif.

"Cepat keluarkan semua, mahu hidup atau mahu mati?!" gertak Arif mengulangi arahannya.

Makhluk itu tunduk sambil mengeluarkan satu persatu semua barangnya yang diletakan di kaki, tangan, leher dan perut Fida. Yang paling berat adalah selendang yang diletakan di bahu kanan Fida; menyebabkan dia terasa berat dan sakit bagai hendak patah.

"Ada apa lagi?" tanya Arif pada Fida.

"Pak cik, mata saya kabur" jawab Fida.

"Sekarang selawat dan sapu mata awak" arah Arif.

Mata Fida terasa sedikit pedih ketika isteri Arif pula menitiskan ubat mata ghaibnya. Spontan mata Fida terang kembali normal dan badannya pula kembali ringan.

Makhluk halus itu meminta tiga kuntum kemboja putih supaya boleh balik ke gunung Krakatau. Sakroni bergegas pergi ke kubur dagang dan kebetulan ada sepohon pokok bunga tersebut. Sakroni mengambil beberapa kuntum bunga kemboja putih yang baru gugur lalu dibawa ke hadapan Arif.

"Sabar, bunganya baru sampai. Kena buku dengan ruas, dulu bomoh buat degil tak mahu balik" kata Arif pada makhluk itu yang terlalu gairah hendak pulang ke tempat asalnya.

Arif menyuruh Fida melihat makhluk itu. Fida takut kerana wajahnya yang sangat menakutkan.

"Sekarang kau tunjukkan wajah yang sebenar" arah Arif pada makhluk itu.

Tiba-tiba mulai dari hujung kuku kaki sampai ke hujung rambut berubah menjadi kuning bersih seperti kulit dokong hampir masak. Wajahnya menjadi bersih dan cantik. Rambut panjang mengurai nenek sudah berubah seperti seorang ratu yang sungguh menawan.

"Bang, jangan tengok lama-lama" Sakroni mengusik Salim yang asyik memerhatikan kejelitaan makhluk itu.

"Nanti layarkan bunga ini ke arah aliran air. Mohon pada Allah swt agar makhluk ini pulang ke asalnya, tanpa ada lagi ikatan dengan diri Fida" kata Arif pada Salim.

Mereka mengundur diri dari rumah Arif lalu Sakroni memandu melongsori jalan raya menuju ke Pengkalan Rinting. 
 

"Jom ikut ke tengah tu" kata Salim pada Fida sedang Sakroni memerhati dari jauh sahaja. Di sana ada jeti kayu ke tengah Sungai Skudai.

"Ratu bersimpuh di atas kapal rupanya" kata Fida.

Salim mengatakan bunga yang dialirkan ke air itu telah betukar menjadi kapal layar. Sambil duduk menaikinya, ratu melambai-lambaikan tangannya seperti mengucap selamat tinggal kepada bekas tuannya. Fida merasa sayu yang mendalam di hatinya melihat temannya selama dua dekad menitiskan air mata kerana perpisahan tersebut. Dengan segera Fida beredar bersama Salim dan Sakroni.

Lewat petang itu ketika dalam bas ekpres menuju ke ibu kota, Fida bersyukur dengan izin Allah swt melalui Facebook dia dipertemukan dengan Salim & Arif yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini berjaya mengubah hidupnya. Setelah bertahun-tahun kecewa berubat tetapi tidak sembuh, kini Fida akan mula menyambut lebaran tahun ini dengan penuh keceriaan.


Bersambung...