Wednesday, December 31, 2014

Yuk Pijat Yuk


Sudah berulangkali nada dering irama jazz di ruang tamu tapi Sakroni hanya membiarkan sahaja. Tidak larat warga emas berkenaan hendak turun semula tangga yang tinggi itu. Dia mengambil kesempatan cuaca cerah pada pagi itu memanjat garaj untuk memasang atap zink yang sepatutnya sudah lama berganti. Barang-barang tersebut dibeli lebih awal dengan harga berpatutan di kedai kayu milik Puan Wahiah dekat Eco Garden. Elok sahaja siap bertukang, angin ribut melanda kawasan banglo tersebut. Syukur projek tadi berjaya kerana atap tetap utuh. Sakroni membelek telefon pintarnya dan mendail semula pemanggil tadi. 


"Assalamualaikum wak" ucap Rozi rakan urusniaganya.

"Waalaikumsalam, ada perlu apa ye?" tanya Sakroni.

"Inilah wak, mohon ganti Pak Omar untuk urut lelaki. Dia ke Konsulat Indonesia urusan paspot tendang" terang Rozi.

"OK takde hal, kejap lagi wak hadir ke toko sama teman" Sakroni setuju lalu mencapai kunci jipnya.

Setibanya di kedai "Alami Massage" Sakroni terus mengumpulkan losen, minyak urut, tuala, kain selimut lalu diletakkan di hujung katil.

"Ada urut ke?" kata seorang pelanggan yang baru muncul.

"Mestilah ada, sila masuk" jemput Sakroni.

"Biasa 2 jam tapi kali ini 1 jam cukuplah" kata pelangan itu lagi.

Sakroni terus memulakan dengan membuat pemanasan dari belakang badan. Diurut ditekan dengan tapak tangan dari kaki sampai ke tengkuk ke atas lalu ke bawah. Setelah itu diurut dari bahu terus ke kaki dan di akhiri dengan menepuk menepuk dari kaki ke tengkuk pelanggan. Pelanggan nampak relaks hampir terlelap. Kemudian Sakroni memulakan urutan dari kaki kiri lalu ke seluruh badan sehingga selesai. 


Salim hanya melunjur di sofa luar kedai sambil menjawab panggilan Siti pesakit yang pernah diubatinya secara jarak jauh. Sementara menunggu pelanggan lain hadir, barulah mereka sempat berbual.

"Bang, ada rawat Siti lagi ke?" Sakroni bertanya perkembangan terkini pesakit itu.

"Kali ini Siti terus saya jumpakan di rumah Arif" jawab Salim.

Perut Siti kadang-kala seperti mengandung, kemudian tidak menentu kembali seperti sedia kala. Sebaik sahaja Siti berhadapan dengan Arif, dia terus bercakap dengan bahasa asing yang tidak difahami. Tanda jelas ada makhluk lain menghuni tubuhnya.

"Nak keluar secara baik atau nak aku hantar ke bukit qaa!!!" bentak Arif pada makhluk itu.

"Ha ha ha he he he" Siti kelihatan mentertawakan Arif.

"Kau harus bebaskan Siti, kan kau dah lama dengan dia" arah Arif beberapa kali.

"Aku dah penjarakan Siti, yang ada hanya akulah" makhluk itu masih enggan.

"Kau degil ye, baiklah" kata Arif geram.

Arif berdoa mohon pada Allah swt agar dapat wasilah daripada Nabi Sulaiman as dan mohon agar bantuan daripada Ayahanda. Arif dapat lihat ketibaan orang-orang Ayahanda.

"Mohon cabutkan paku di peha Siti, dan pakukan di tapak kaki si degil tu" arah Arif .

Siti menjerit kesakitan. Arif terus mengarahkan orang-orang Ayahanda bertindak lagi.

"Cucukkan di lehernya. Potong rambutnya yang panjang tu. Itu tangkal bertali merah buangkan dari pinggang Siti" arah Arif seterusnya.

Arif dapat lihat ada barang-barang ditanam depan dan belakang rumah Siti jauh di utara sana. Kesemuanya diambil dan dibakar. Arif terus menyusuri asal usul makhluk itu. Arif dinampakkan kubur lama. Arif terus arahkan tentera Ayahanda ke sana. Kuburan asal makhluk itu di bongkar dan batu nisannya dicabut. Kaki patung yang ada di situ dipatahkan. Satu patung dalam perut Siti dan dua lagi di luar rumah segera dikeluarkan lalu dibakar. Siti layu dan pengsan seketika. 


"Siti, kau sekarang dah bebas" Arif mengejutkan Siti yang masih lemah.

Kemudian Arif teruskan dengan mengebas badan Siti dan mengarahkan agar dia pergi mandi. Setelah selesai badan pesakit terasa ringan seperti kehilangan beban yang selama ini dipikulnya. Tak ternilai dek wang tak terkata dek bahasa gembiranya Siti akan jasa dua beradik berkenaan.

Apabila orang-ramai lalu-lalang di Larkin Sentral sudah reda, mereka pun mengemas kedai untuk pulang. Sampai di Darul D Khyla (nama baru pondok Sakroni sempena nama cucu sulungnya), Salim terus duduk sambil menghembuskan asap rokok sigarilosnya ke langit. Sakroni pula membelek-belek nota tugasannya; kiraan kadar dos sinar x untuk alat pengimbas kenderaan berat yang hendak dipasang di pintu masuk negara nanti

"Bang, ikut pendapat Arif kahwin dengan makhluk ghaib boleh ke?" Sakroni membuka mulut bertanya.

"Boleh je, tapi hati kena bersih" jawab Salim.

"Bersih camna bang?" soal Sakroni lagi.

"Mereka tu sangat taat, jujur dan berhati murni. Pokoknya mereka sangat baik, bersuara lembut semacam bidadari. Jadi orang baik sesuai kahwin dengan orang baik juga" tambah Salim lagi.

"Camna tentang nama mereka?" Sakroni beriya sangat nak tahu.

"Macam kita juga, ada yang bernama bunga Cempaka, Melur, Melati; juga nama-nama biasa Aishah, Zainab. Yang utama sekali mereka tidak pernah cemburu" jelas Salim lagi.

"Paras wajah?" sambung Sakroni.

"Waduh mereka terlalu cantik dengan rambut panjang, badan langsing, muka bujur bermata tajam bermagnet dan manja....ah , tak tahu nak cakaplah" terang Salim.

"Abang ni macam ada pengalaman je" pancing Sakroni lagi.

Salim hanya membalas dengan senyuman penuh makna.

"Saya ini layak tak bang?" usik Sakroni.

"Nak jugak ke?" kata Salim sambil memandang dengan penuh hairan.

"Kan ini yang dinamakan madu manis bang" jawab Sakroni sambil tersengih.

'"Pandai lah awak ni, mentang-mentang isteri ghaib ini orang lain tak dapat lihat..." kata Salim disambung dengan gelak ketawa mereka berdua.

"Lewat dah ni, si Daeng takde telefon pulak. Ingatkan esok nak ajak dia sarap Restoren Nasi Padang enak belakang Jakel tu" kata Sakroni sambil menguap.

Mereka kemudian mengambil wudhu untuk solat tahajud kerana malam sudah pun melabuhkan tirai. Entah apa lagi pengalaman menarik yang akan mereka tempuhi tahun baru nanti.

2 comments: