Hujung minggu lepas, muncul sahaja sinar mentari sebuah CR-V berwarna perak telah datang menjemput Salim di kediamannya.
"Eh, kenapa tak U-turn tadi? Kita bukan nak ke Tampoi ke?" tanya Salim kepada pemandu.
"Kita ke Kulai" jawab Sakroni sambil melencong kiri ke selekoh masuk Lebuhraya E22.
Langsung tidak bergoyang jip berkenaan melalui selekoh tajam kerana penyerap hentaknya baru sahaja ditukar. Salim sempat menjeling ruang belakang penuh dengan penyapu, penyodok sampah, pengepit botol, sarung tangan, topeng mulut dan peralatan pembersihan yang lain.
Sungguh luas dan elok binaan masjid yang bertentangan dengan terminal bas itu. Sakroni sering berkunjung untuk solat kerana lokasi begitu hampir dengan kantor perusahaan tempat dia bekerja. Tapi hati Sakroni tersentuh melihatkan persekitaran yang tiada perubahan. Botol plastik bertaburan di longkang. Sampah-sarap daun berlonggok di bucu tembok sehingga hampir menjadi baja. Kertas tisu, plastik pembungkus di buang di celah pasu dan pokok bunga. Tong sampah ada yang tidak bertutup dipenuhi air yang berbau. Kenapa begitu ramai jemaah yang melihat tetapi hati tidak berniat berbuat sesuatu. Alangkah sedihnya Nabi swt jika baginda sendiri melihat keadaan itu. Jika imej kekotoran ini yang ditampilkan umat akhir zaman, dalam diam ia menjadi celaan penganut agama lain yang rumah ibadatnya jauh lebih sempurna kebersihannya.
Sampai sahaja di perkarangan masjid, Pajely dari Felda berdekatan telah menunggu mereka. Peralatan diagihkan lalu tanpa menghiraukan orang ramai lalu-lalang mereka mengambil tempat masing-masing menyapu dan mengutip sampah persekitaran masjid 3 tingkat berkenaan. Hampir 2 jam kemudian, Daeng yang baru keluar hospital pula muncul membawa plastik sampah hitam yang besar seperti yang dipesan Sakroni. Tanpa mengharapkan sebarang upah, setelah siap mengemas Kumpulan Ikhlas menaikkan semula peralatan ke dalam but jip. Sebelum beredar, mereka solat sunat 2 rakaat sebagaimana arahan Tok Karim. Jip pantas dipandu Sakroni kerana telah mendapat panggilan telefon ada tetamu hendak bertandang ke rumah.
"Abang sihat? Lama kita tak bersua" Arif bertanya khabar.
"Saya OK je, jarang di rumah. Selalu di sini" jawab Salim merujuk kepada rumah Sakroni.
"Bapak gunung dah balik Sulawesi, dia telah berpindah rumah kerana istananya telah di ambil alih kerajaan" Arif membuka cerita.
"Surat-surat bukti yang Bapak adalah pewaris kerajaan kan ada di tangan bibik penjaga istana" maklum Salim.
"Moga-moga pemerintah dapat jumpa bibik dan surat bukti pewaris dapat ditunjukkan" kata Arif.
"Jadi Bapak dah tak di gunung, entah bila pulak akan balik?" fikir Salim.
"Entahlah bang, tentunya tidak pasti. Kalau bapak balik, kita berdua naik ke sana bang" ajak Arif.
"Adik ingat tak lubang gua yang terus ke laut di gunung tu?" imbau Salim pada Arif.
"Yang di tepi-tepinya ada semacam tapak-tapak besar tu, apa benda tu bang?" sahut Arif yang hairan.
"Menurut Bapak, di gunung tu ada dua naga tapa yang besar. Semasa hujan lebat empat hari empat malam, waktu itulah dia bergerak dan turun ke laut" jelas Salim.
"Dua-dua ke?" tanya Arif lagi.
"Yang satu lagi belum. Sedang yang ini turun pun dah terpecah batu-batu gunung, terbongkar pokok-pokok besar, terjadi lah kolam kolam bekas tapak kakinya semasa naga itu bergerak ke laut" tambah Salim sambil menghembuskan asap sigarilosnya.
Sakroni melopong mendengar perbualan dua beradik itu. Rupanya haiwan dongeng berkenaan benar-benar wujud pada zaman ini. Malahan ular besar bertapa yang badannya sudah diliputi lumut kelihatan seperti sebatang kayu pun pernah dijumpai oleh Salim.
Sakroni hanya pasang telinga sambil memicit-micit titik Yang Ce di pergelangan tangannya. Kemudian kelihatan Sakroni menunduk memicit pula titik YinKu di bawah lutut dan titik San Yin Ciao empat jari atas buku lali.
"Picit apa tu?" tanya Salim melihat gelagat tuan rumah.
"Itu titik-tik urutan refleksologi, pulihkan tenaga kita bang" jawab Sakroni yang sekali-sekala memantau kedai urut miliknya dan membantu kalau kekurangan pekerja.
"Pengubatan Suryani hari tu camna?" tanya Sakroni pada Salim.
Suryani mengalami badan seperti di cucuk-cucuk jarum. Sudah kurus kerana sudah sebulan hilang nafsu makan. Muntah-muntah sekiranya cuba makan, semakin melidi dan lemah keadaannya. Rawatan yang pertama awal bulan, Arif berjaya mengeluarkan makhluk perempuan. Setelah beberapa hari Suryani terkena lagi, kembali dia datang menemui Arif.
"Pandang muka saya! Jangan pandang tempat lain! Kenal atau tidak?" bentak Arif pada Suryani yang mengelak berhadapan dengannya.
"Sangat kenal, saaaangat kenal tuan..." jawab makhluk yang ketakutan dalam badan Suryani.
Selepas Arif kebas, terpelanting makhluk perempuan dari tubuh Suriyani yang masih lemah.
"Perempuan lagi?" respon Salim cuba memahami.
"Anak perempuan kepada perempuan tua yang keluar minggu lepas. Dia ada di sebelah Suryani. Ayah dia pun ikut, tengok je dari jauh bersama sepasang anaknya lagi" tambah Arif.
"Camna tu? Lengkap anak-beranak" Salim agak khuatir.
"Saya dah beri kata dua dan mereka dah berjanji tidak mahu mengganggu lagi. Kalau mungkir hancur diri mereka" tegas Arif yang memerhatikan makhluk halus sekeluarga itu berlalu pergi.
Rancak perbualan mereka bertiga sehingga tidak sedar sudah lewat petang. Arif meminta izin untuk pulang dan berjanji akan singgah lagi sekiranya beliau bersiar-siar di kawasan berdekatan. Dua beradik itu berpelukan dan mereka menghantar Arif ke kereta untuk balik ke rumahnya. Sakroni sempat menunjukkan Salim mesej Whatsapp Daeng hendak datang ajak mengeteh malam nanti.
No comments:
Post a Comment