Tuesday, December 2, 2014

Balasan Isteri Durhaka

Masri ada segalanya; gaji besar, isteri yang manja dan anak ramai sebagai penghibur hati. Kemewahan nikmat dunia telah membuatkannya lalai. Masri cukup benci apabila adik kandungnya, Salim menegur gaya hidupnya yang bersosial tidak tentu hala. Salim tidak putus asa menasihatkannya supaya menjauhkan diri dari kerja-kerja mungkar dan meneguk minuman terlarang itu. Kemarahan Masri tidak lagi mampu dibendung sehingga Salim terpaksa menjauhkan diri selama bertahun-tahun.


Putaran roda tidak selalu di atas, suatu masa Masri ditimpa sakit kencing manis. Penyakitnya semakin kritikal sehingga terpaksa berhenti kerja. Kehilangan sumber pendapatan memnyebabkannya tidak mampu lagi menyara hidup keluarganya. Bertambah parah, apabila isteri yang disayanginya itu semakin hari semakin menjauhkan hatinya, malahan sudah mulai sanggup mengeluarkan kata2 kesat dan menghina terhadapnya. Masri pasrah dan mengharapkan adik-beradik lain yang telah ditatangnya sehingga berjaya dalam hidup agar datang melawat dan membantunya.

Masri sememangnya kecil hati dengan sikap isterinya yang sudah tidak mempedulikan dia lagi. Dia sedar, bersabar dan berdoa agar hidupnya tidak seterusnya menyusahkan keluarganya. Harapan hanya tinggal harapan. Allah Maha Kuasa, adik yang paling dibencinya Salim pula yang selalu datang menjenguk di kala dia ditimpa musibah.

"Dik, bila engkau hendak ke gunung? Aku nak ikut" Masri menyatakan hasratnya.

"Kebetulan esok Sabtu, saya ke gunung. Kalau nak ikut siap-siap lah" jawab Salim ringkas.

Sebelum meninggalkan rumah, Masri bersalaman mesra dengan anak-anaknya. Apabila tiba giliran isterinya, melihat sikap dan bahasa badannya sahaja Masri cukup faham isterinya sudah tidak memerlukannya lagi. Sedih hatinya ditahan, jiwanya menangis dengan air mata yang tidak kelihatan kerana dirinya kini sudah tidak bererti lagi.


Salim memimpin abangnya terus menaiki feri lalu menuju Batam; kemudian mahu menuju ke rumah Bapak di Tanjung. Setibanya di rumah Bapak mereka duduk ngobrol mesra. Rasanya sudah lama benar Masri tidak berjumpa dengan Bapak.

"Salim, mana kubur di sini? Ayuh kesana saya nak tengok tengok" tanya Masri.

Salim membawa abangnya ke kubur yang tidak jauh dari situ. Masri menghampiri sebuah pokok besar lagi rendang.

"Lim aku pacakkan kayu ini di sini, kerana bawah ini sejuk. Kalau aku mati kau kuburkan aku di sini ye" pesan Masri.

Salim menggagukkan kepala meniyakan permintaan tersebut. Lidahnya kelu lalu mengajak Masri pulang ke rumah Bapak. Hari demi hari, Masri semakin tidak berdaya apabila sakitnya semakin kronik. Hanya ubat-ubatan menjadi santapan harian.

Kira-kira seminggu kemudian, suatu hari ketika Salim dengan Bapak sedang mendalamkan kolam mandi.

"Bapak, itu Kakek kan?" kata Salim yang perasan kehadirannya secara tiba-tiba.

"Assalamualaikum" Kakek memberi salam

"Walaikumsalam" dijawab serentak oleh Salim dan Bapak.

"Itu anak kan sakit. Awasi dia, tak panjang umurnya tu" pesan Kakek merujuk kepada Masri.

Kemudian Kakek ghaib tidak kelihatan lagi. Salim dan Bapak bergegas pulang ke rumah. Cangkul dan peralatan ditinggalkan sahaja di tepi kolam.

"Salim kau adikku yang aku paling benci selama ini. Aku salah Lim, aku minta maaf. Aku malu dik" kata Masri pada Salim sambil air matanya bergenang.

"Lim kalau kau mahu pulang ke Temasik, kau pulanglah sendiri. Aku tak mahu balik. Aku mahu mati di pangkuan Bapak dan disamping kau sini sahaja" tambahnya lagi.

"Aku minta Lim jika aku pergi, aku tak benarkan kakak ipar kau tu tengok jenazah aku; dan aku tak benarkan ibu mertuaku menziarahi kuburku" suara serak Masri semakin menghilang.

Bapak sebak dan Salim mengalirkan air mata mengenang penderitaan abangnya yang sudah diabaikan oleh isterinya.

"Bapak, saya dah lama tak solat. Saya mahu solat pak" pinta Masri.

"Ya kalau begitu adik mu Salim akan memimpin kau ya nak" jawab Bapak.

Permintaan terakhir Masri tidak kesampaian, Bapak dan Salim tahu masanya dah sampai.

"Masri ikut bapak nak, Asyhadualailaha Ilalllah..." bapak mengajar Masri mengucap.

Sambil terputus putus dapat dia menyebut kalimah itu dengan lengkap.

Roh Masri sudah pergi. Hanya jasad dan raga yang harus diuruskan.

Salim bersyukur lega; moga Allah swt terima amalnya dan diampun dosa-dosanya. Kelihatan badan dan muka abangnya berubah menjadi bersih sekali. Telah hilang segala bekas parut di tubuhnya.

Berita kematiannya sampai ke Temasik. Isteri dan anak-anak Masri bertekad ke rumah Bapak untuk menguruskan jenazah suaminya. Mereka menaiki feri untuk ke Batam. Cuaca yang pada mulanya cerah yapi dengan  tiba-tiba feri itu terumbang-ambing dilanda ombak.


"Ibu-ibu, bapak-bapak sekalian harap bertenang. Kita mengalami ombak besar di perjalanan" umum juragan feri.

Penumpang sunyi senyap kerana dihumban ke atas dan ke bawah sehingga air masuk ke dalam feri. Begitu hebat hempasan ombak menyebabkan feri tidak bergerak dan satu ketikanya feri terpusing arah 180 darjah.

"Enggak pernah terjadi begini, ada masalah apa agak di kapal ini" bebel juragan pada anak buahnya.

Setelah melalui pelayaran yang menakutkan, akhirnya keluarga Masri sampai di pelabuhan Tanjung. Mereka menyewa van untuk ke Batu 20. Perjalanan begitu perlahan hari itu jalan macet dengan jumlah mobil yang luar dari kebiasaan. Ketika sibuk mengejar masa itulah van berkenaan tiba-tiba terhenti.

"Maaf, tayar belakang kiri pancit" kata pemandu van.

Berpeluh basah pemandu mengganti tayar. Masa semakin suntuk buat isteri Masri. Setengah jam lebih dibazirkan lalu perjalanan diteruskan sehingga akhirnya sampai di destinasi. Yang tinggal kaum adam dan hawa pulang dari pusara selepas menghantar jenazah. Masri telah selamat disemadikan di bawah pohon rendang yang ditandanya sendiri pada Sabtu lepas.

Hanya air mata mengalir tanpa henti di pipi isteri Masri yang malang. Ternyata wasiat Masri tidak mengizinkan isteri melihat jenazahnya kerana kerenahnya yang durhaka pada suami telah dikabulkan Allah yang Maha Adil.
 

No comments:

Post a Comment