Sunday, December 21, 2014

Bapak Amanah

Menderum-derum enjin dua trak mendaki lereng bukit yang curam dan berliku itu. Di dalamnya sarat dengan penumpang berpakaian celoreng dan lengkap bersenjata.

Akhirnya mereka berhenti betul-betul di hadapan tangga rumah Bapak. Oleh kerana ragu apa niat mereka, Salim yang keseorangan di rumah hanya mengintip dari celah dinding. Diperhatikan ada seorang berkaca mata hitam bertopi koboi di dalam salah sebuah trak berkenaan. 


"Ah itu pun Bapak balik, lega hatiku" dalam benak Salim apabila dari kejauhan terdengar bunyi sepeda berkuasa tinggi.

"Ayuh kamu naik ke rumah, ini situasi berbahaya" perintah Bapak pada Salim yang menyambutnya pulang.

Seorang jeneral tepat merenung Bapak, sedang seorang perwira menuju ke arahnya.

"Salam pak" katanya pada Bapak.

"Ada apa kalian ini" tanya bapak dengan tegas.

"Kami mahu naik ke gunung" jawabnya. 

Bapak faham benar mereka bermaksud mencari harta jagaannya di gunung. Langsung tidak tergiur hatinya melihat kekayaan yang melimpah ruah itu. Sesiapa sahaja yang datang ke sana harus mendapat perkenannya.

"Ada surat perintah?" minta Bapak.

Mereka tunjukkan dokumen berkenaan pada Bapak. Sekali imbas Bapak lihat pun sudah tahu surat berkenaan ternyata tidak asli.

"Melihat surat ini, saya tidak benarkan kalian naik ke gunung" larang Bapak pada mereka semua.

"Kami harus naik pak, kami harus teruskan juga" mereka membantah arahan Bapak.

Melihat Bapak berkeras tidak membenarkan, tiba-tiba anak muda bertopi koboi berkaca mata hitam turun dari trak.

"Saya kenal kamu anak siapa!" sentak Bapak.

"Silakan semua turun dengan senjata lalu tembaklah ke dadaku. Kalau aku jatuh sila naik ke gunung, jika tidak kamu harus tahu akibatnya" Bapak lantang memberi kata dua.

Bapak lantas mengambil guni dan menebarkan dihadapannya untuk mengumpulkan peluru yang mungkin ditembak ke dadanya nanti.

"Ayuh kita pulang sahaja pak perwira. Bapak ini bukan sembarangan orang, kita harus berhati-hati" jeneral mengajak semua berundur.

"Sampaikan salam saya pada bapak kamu" pesan Bapak pada anak bertopi koboi itu.

Salim terus turun menemui Bapak setelah trak bertolak meninggalkan kawasan rumah. Kehebatan dan kebolehan Bapak sudah tidak menjadi rahsia bagi Salim. Mereka berdua berasa lega dan bersyukur ke hadrat Illahi kerana situasi tegang berkenaan berakhir dengan aman. 

"Bang siapa sebenarnya Bapak ini ya?" cungkil Sakroni kepada Salim yang asyik bercerita.

"Dia dari keturunan raja dan orang alim. Di Sulawesi sana dia seorang yang kaya harta yang cukup banyak dan mempunyai istana. Sejak zaman kakek dan zaman ayahandanya lagi memang suka belayar ke mana sahaja." tambah Salim lagi.

"Apa ada kesan sejarah tentang kapal layarnya bang?" Sakroni menyoal lagi.

"Eh sibuk betul kamu ni" Salim marah melawak.

"Ye ada bang. Kini kapal layar kakek tersadai di pantai dan kini menjadi hakim" jelas Salim.

"Apa ni bang, kapal layar jadi hakim pula?" tanya Sakroni yang bingung.


"Ini maksudnya, di daerahnya di tanah Bauyan, sekiranya terjadi kejadian buruk atau adanya kejadian mungkar lalu pelakunya tidak mengaku, maka kapal ini akan menghakiminya" terang Salim panjang lebar.

"Lalu bagaimana pula caranya bang" Sakroni ingin tahu lebih lanjut.

"Suspek dinaikkan ke kapal ini. Siapa yang melakukan kesalahan itu akan mengalami kesakitan yang amat sangat yang boleh membawa maut" tambah Salim.

"Uh gitu sekali. Wah kurang sikit kerja mahkamah" ujar Sakroni sambil tersengih.

Salim tersenyum sambil menggayakan paip rokoknya yang berasap.

Salim suka menelaah subjek sejarah melalui cerita mulut bapak dan buku-buku lama yang di tulis sejak zaman kakek lagi. Antara bukunya ada yang disebut perimbon. Buku ini disimpan bapak dengan teliti hanya dibuka sekiranya ada sesuatu yang perkara penting yang harus dirujuk. Sebagai contoh sekiranya ada gambar seseorang yang mengaku sebagai seorang ulama besar yang tidak dikenali. Gambar ini akan diselitkan ke dalam perimbon. Jika gambar terbakar maka dakwaan itu ternyata tidak benar.

"Abang ada uji perimbon tu ke?" tanya Sakroni.

"Ada saya bagi gambar Tok Karim pada Bapak" kata Salim.

"Siapa ni nak Salim, bapak tak kenal orang berjanggut dan bermisai tebal ini?" kata Bapak hairan.

Salim lihat Bapak memasukkan gambar itu dalam buku perimbon. Setelah beberapa hari Salim lihat gambar itu sudah dibingkaikan.

"Pak mana gambar hari itu ya?" tanya Salim yang pura-pura tidak nampak gambar berkenaan yang tergantung di bilik Bapak.

"Entahlah" bapak menjawab sambil senyum.

"Ah Bapak ni, itu di dinding tu kan gambar yang saya beri pada Bapak kan?" kata Salim lagi.

"Ya nak ini gambar seorang ulama besar, banyak orang yang tak tahu siapa dia sebenarnya. Kamu harus berdoa sehingga kamu dapat berjumpa dengannya" jawab Bapak.

Sejak hari itu Salim menjadi lebih yakin dengan kealiman Tok Karim dan terus beramal dan berdoa agar dapat berjumpa dengannya.

No comments:

Post a Comment