Friday, December 5, 2014

Ada Apa Dalam Kilang

Human Resource and Compliance Manager. Itulah yang terpampang di depan pintu bilik Daeng. Terlalu banyak laporan yang perlu dihantar pada hujung tahun kalendar. Komputer riba tekun di tenungnya sejak pagi sehingga tidak sempat ke pantry atau kantin. Nasib baik beliau ada membawa bekal untuk mengalas perut. Sebaik sahaja beliau hendak menyuap potongan epal hijau yang pertama, pintu biliknya diketuk. Kelihatan Hajah Juriah, Production Manager tercongok di muka pintu.


"Encik Daeng, maaf ganggu. Ada benda nak bincang sikit" kata Hajah Juriah.

"Masuk duduk dulu, kalau perkara sulit & rahsia tutup pintu tu sekali" jawab Daeng.

"Bahagian saya ada masalah la. Produktiviti teruk menjunam dah sebulan ni" adu Hajah Juriah.

"Download je borang Personnel Requisition dari intranet. Eh cop cop, bukan ke dalam meeting kata manpower dah terlebih sampai kita decide tendang balik budak Nepal?" tanya Daeng sambil mengerutkan dahi.

"Bukan pasal tu la Encik Daeng. Sejak kebelakangan ni, budak saya asyik kena kacau. Syif malam ke petang ke sama je. Nampak kelibat, kena sergah bila toleh takde sesiapa dan panggil-panggil nama" jelas Hajah Juriah panjang lebar.

Terlalu banyak isu dirujuk kepadanya sehingga rambut Daeng habis putin beruban tidak sepadan dengan usianya. Kali ini beliau perlu think outside the box.

"Beberapa tahun lepas kita ada buat bacaan yassin ramai-ramai. Benda tu reda sekejap. Kalau dibiarkan lama-lama takut melarat jadi histeria. Sekarang dah kecoh, operator perempuan yang lemah semangat tak sanggup syif malam" sambung Hajah Juriah lagi.

"Siapa yang dah ternampak tu pun mulut kompang, semua pekerja di tujuh petala langit & tujuh petala bumi dia nak hebahkan. Bila GM balik dari HQ Scandinavia nanti saya minta kebenaran bertindak" ulas Daeng yang bengang.

Hajah Juriah pun berlalu pergi. Sementara menunggu lampu hijau dari pengurusan atasan, penampakan terus berlaku. Ada yang ternampak Mei Mei dalam kereta padahal pada masa yang sama QC Inspector itu sedang sibuk OT di Production Line. Ada yang perasan Mr. Devan dalam biliknya, tapi beliau sebenarnya outstation. Ada yang terdengar bunyi alat muzik tradisional dalam gudang tetapi tiada yang berani menegur.


Seminggu selepas itu, selesai solat Isyak kelihatan sebuah Evo memecut garang. Jalanraya menuju ke taman perumahan di pinggir pantai Lido bingit dengan bunyi decitan tayar dan ngauman ekzos turbo. Kereta sukan itu akhirnya berhenti di depan banglo yang dipagari dengan pokok asoka yang merimbun.

"Kenapa tak jemput kami pakai kenderaan syarikat je?" sergah Sakroni yang erat memegang kerusi Recaro sambil Salim cuba mencari tali pinggang keledar belakang.

"Saga FLX macam siput. Nanti umur remaja saya dibazirkan semasa memandu je" jawab Daeng lalu disambut dengan gelak ketawa dua penumpangnya itu.

Sampai sahaja di destinasi, Mr. Teodor Sjoklund GM syarikat sudah menunggu mereka di pondok pengawal. Sesi perkenalan dan taklimat keselamatan kesihatan dijalankan oleh Daeng mengikut prosedur. Spekulasi mengatakan mungkin kerja-kerja pembesaran dan penambahbaikan fasiliti kilang menjadi punca.

Di kala pekat malam, mereka berempat mula mengelilingi kawasan kilang yang sunyi sepi kerana cuti umum perayaan. Sebaik sahaja melewati sebatang pohon besar, Salim berhenti lalu merenung agak lama ke atas sambil mulutnya terkumat-kamit. GM dan Daeng memandang satu sama lain manakala Sakroni memberi isyarat memang ada sesuatu di atas sana. Apabila rondaan diteruskan, tiba-tiba Salim bingkas mempercepatkan langkahnya meninggalkan yang lain.

"Salim saw & chasing a small child. We wait for him here" jelas Sakroni kepada GM yang cuba memahami situasi berkenaan.

Sekembalinya Salim, beliau memeriksa bilik demi bilik lalu menunjukkan kawasan untuk difokuskan kepada Sakroni.

"We will burn them down at this present moment" kata Sakroni sambil menabur lada hitam.

Mereka singgah di stor kejuruteraan dan penyelenggaran yang berada paling jauh di belakang. Mereka melangkah berhati-hati di celah-celah susunan besi dan kayu. Salim menutup lampu dan berpesan kepada GM dan Daeng agar menunggu di luar.

"Kurang ajar, penat aku kejar. Kau sembunyi sini ya?" lantang suara Salim.

"How do you exactly met this experts?" tanya GM yang masih terpinga-pinga kepada Daeng yang hanya tersenyum.

Pemantauan diteruskan ke dalam gudang. Lada hitam banyak ditabur di pepenjuru blok asal kilang yang berusia lebih 4 dekad itu.

"This is where they like to hangout" ujar Sakroni menunjukkan kawasan pendandang yang menghasilkan tenaga berkuasa tinggi.

Setelah meninjau kafeteria, surau dan tandas; Salim menasihatkan GM dan Daeng akan pentingnya aspek kebersihan kerana makhluk halus suka mencari tuala wanita kotor yang tidak diuruskan dengan sempurna. 


"Luas betul kilang ni, entah berapa jauh kita dah teroka" kata Sakroni apabila diberitahu pusat pengeluaran masih jauh dihadapan. Daeng memaklumkan bahawa perusahaan elektronik yang berorientasikan eksport itu mempunyai ratusan pekerja.

GM membuka sebuah bilik berkunci dengan palang dan mangga besar. Sawang dan habuk tebal meliputi perabot, rak dan fail yang langsung tidak pernah dialihkan persis babak wayang genre seram. Salim selamba duduk di kerusi sambil anak matanya melilau ke kiri dan kanan. Dikatakan seorang pengurus yang telah dipecat 10 tahun lalu kerana salah laku sengaja meninggalkan belaannya di situ untuk memporak-perandakan syarikat. Dia juga membuat onar menanam dan menabur sesuatu mencurigakan di dalam premis.

"The child is mischievious, they prefer to disrupt faint-hearted female workers" jelas Sakroni lagi ketika mereka lalu di sebelah mesin-mesin bersaiz gergasi dan canggih bernilai jutaan dollar.

"Let him go alone to inspect the water tank tower" kata Sakroni apabila melihat Salim sembrono meninggalkan yang lain.

Tidak berapa lama kemudian, memang tidak syak lagi jelas kedengaran jeritan kuat anak kecil memecah kesunyian malam. Terbeliak mata GM sambil Daeng memberi isyarat ibu jari kepada Sakroni.

Setelah hampir 3 jam kilang seluas 200 ekar diperiksa, mereka berkumpul di bilik mesyuarat untuk melepaskan lelah. GM yang baik hati menghidangkan minuman sejuk sambil mendengar rumusan audit. Sakroni yang berstatus warga emas jelas keletihan mengurut-urut sendiri lututnya. Penerangan panjang lebar Salim dicatit oleh Daeng.

Sebelum beredar Salim meminta izin GM untuk datang lagi untuk sesi seterusnya. Berulang-kali GM mengucapkan terima kasih tetapi Salim mengatakan ini hanya ikhtiar; yang menentukan segalanya adalah Allah yang Maha Berkuasa.

Keesokan paginya, semua pengurus bahagian lain hairan serta iri hati kerana GM tidak menegur Daeng yang berulang-kali menguap seluas-luasnya ketika mesyuarat bulanan sedang rancak berlangsung. Hanya Hajah Juriah dapat meneka sebabnya.

No comments:

Post a Comment