Sunday, November 23, 2014

Ubi Rebus Bermadu

"Assalamualaikum bang, badan saya lemah tidak boleh melawan..." adu Siti di utara melalui talian telefon kepada Salim. Nada suaranya lesu akibat derita tanpa henti setelah sekian lama.

Salim berbatu-batu jauh di hujung selatan mendengar dengan teliti. Setelah bertafakur sejenak, Salim nampak makhluk ghaib yang mengganggu. Benarlah kata Siti ada lelaki segak selalu ingin duduk di sebelahnya setiap masa.


"Bang tolong halau dia. Saya dah usaha ke mana-mana, tapi makhluk ini masih datang juga" rayu Siti pada Salim.

"Kejap saya ke sana" ujar Salim.

Salim memaklumkan terlebih dahulu ciri-ciri wajahnya yang bermisai, dengan mata dan warna kulit yang hitam manis supaya Siti tidak terkeliru nanti.

"Eh abang dah sampai" kata hati Siti apabila Salim menjelma dan terus berbincang dengan lelaki segak itu.

"Siti, lelaki ini degil. Saya akan panggil Arif ke sana untuk membantu" sambung Salim.

Kini Siti dapat lihat tiga orang sedang berbincang di sebelahnya. Cuma suara tidak kedengaran. Kelihatan Arif begitu rapat dengan Salim. Keadaan masih tidak berubah, lelaki segak itu tetap tidak mahu berganjak.

"Makhluk ini masih melawan, nanti saya minta Ayahandaku sendiri datang dan menyelesaikannya" kata Salim geram.

Benar-benar menghairankan, Siti dapat lihat kedatangan Ayahanda dan sekarang sudah empat orang di sisinya.

Kelihatan Ayahanda memberi kata dua kepada lelaki itu, lalu akhirnya lelaki segak itu kelihatan ketakutan dan terus hilang.

"Siti kat Kota Setar sana nampak semua tak?" soal Salim pada Siti.

"Ye betul la bang, lelaki segak itu dah takde" jawab Siti lega.

Serta-merta badan Siti terasa ringan kerana kehilangan beban yang selama ini terletak dan membelenggu tubuhnya. Sakroni di sebelah Salim mampu pasang telinga sahaja, kerana sibuk melayan wakil media tentang alat pengimbas kenderaan berat pelabuhan yang hangat diperkatakan di dada akhbar.

Terbit sahaja mentari esoknya, di atas meja makan sudah terhidang ubi rebus yang lembut untuk dicicah madu. Azmi dan Mat yang baru balik dari bertugas di Temasik turut sarapan bersama-sama Sakroni dan Salim.


"Orang bunian sebenarnya macam mana?" Sakroni menanya Azmi.

"Ada bunian dunia dan bunian dewa. Kaum perempuannya sangat cantik dan rupa mereka hampir sama. Bunian dewa perkampungan mereka sangat kemas bersih, rumah didirikan di atas tanah berpasir putih. Kayu menjadi bahan binaan rumah mereka dengan taman bunga indah berkelopak besar besar berbanding di alam kita. Masjid berdiri megah cuma surau tak kelihatan" terang Azmi panjang lebar.

"Apa kerja mereka?" soal Sakroni lagi.

"Orang ini tidak berniaga bermakna rumah-rumah kedai tak ada. Mereka bekerja ikut minat masing masing. Ada penternak, petani, penjaga harta, penanam kunyit hitam. Ayam hutan tu belaan mereka" celah Salim.

"Mereka guna kenderaan?" tanya Sakroni lagi.

"Kenderaan mereka berbagai bentuk. Ada tiga segi, empat segi dan lonjong. Kenderaan mereka boleh bergerak melayang-layang seperti UFO dan boleh menembus halangan seperti pokok, bangunan atau apa sahaja yang ada di hadapannya tanpa perlu mengelak. Masjid jadi pusat pengajian yang diuruskan oleh pak mufti yang menggalas tugas imam. Suasana kampung sangat aman tenteram, klasik dengan binaan kampung konvensional" jawab Azmi lebih lanjut.

Mengimbau pasal Azmi, dia sangat bertuah dikurniakan ilmu laduni. Terbuka hijabnya sehingga mampu melihat dan mengalami hal-hal yang begitu unik yang tak terfikir dek akal. Satu ketika semasa sedang beramal dirumahnya, Azmi dapati dirinya sudah sampai di Mekah.

"Waktu saya di sana saya melihat Mat berada di sana" cerita Azmi lagi

"Waduh-waduh apa sahabat kita ni buat apa di sana?" soal Sakroni sambil menoleh ke arah Mat.

"Dia sedang tawaf sambil memegang kitab warna biru" beritahu Azmi.


Mat senyum sahaja tanpa berkata apa-apa semasa kisahnya diperdengarkan. Mat seorang yang pendiam, tetapi punya kesungguhan dalam mempelajari kitab Al Sirrur Asror. Selalu berfikir tentang diri dan yang empunya diri. Berfikir tentang mati dan kembali ke rahmatullah.

"Mi sebelum balik, tolong lihatkan Pak Usop apa halnya" pinta Salim.

"Seorang perempuan tak puas hati pada dia" balas Azmi.

"Tapi perempuan ini kena cakapkan dan tak boleh berdendam selamanya" kata Salim.

"Perempuan tu keras orangnya" jawab Azmi.

"Kalau dia berkeras juga Mi, awak minta pertolongan Allah semoga dengan berkat doa Tuk Karim dan syafaat Nabi saw semua makhluk halus yang disewa untuk mengganggu keluarga Pak Usop dinyahkan" kata Salim.

"Dah bang, Alhamdulillah" jawab Azmi ringkas setelah diam sejenak untuk berdoa tadi.

Saturday, November 15, 2014

Keris Terhunus

Rumah banglo Sakroni sering menerima tetamu. Tetapi pagi ini lain daripada yang lain. Keluarga Rajalee datang dari ibu negara bersama hajat istimewa. Sakroni dan Anne berbesar hati kerana tetamu berkenaan merisik anak mereka. Ibu bapa kedua-dua belah pasangan mendoakan niat baik itu terkabul dan perancangan rapi diatur tahun hadapan. Setelah makan tengahari, mereka bersembang sambil menikmati buah-buahan pencuci mulut.



"Doktor ada main golf ke?" tanya Raja setelah terpandang lubang golf di laman rumah Sakroni.

"Dulu main, dah lama berhenti" jawab Sakroni.

"Abang Raja ni gila golf main merata. Malaysia, Thailand dan Indonesia" tambah isteri Raja.

"Terakhir berapa handicap?" tanya Sakroni.

"Single ..." kata Raja.

"Pernah dapat hole-in-one ke?" Sakroni menguji lagi kebolehan tetamunya.

"Saya tak pernah. Doktor pernah, saya nampak plaque di dinding luar" jawab Raja kagum.

"Ya pernah. Hole 12, par 3, 169m Club RJCC" balas Sakroni.

Setelah melambai tetamu berkenaan pulang, Sakroni bingkas ke belakang rumah meracun rumput, menanam ubi kayu, pisang nangka dan pisang raja. Elok pula Salim sampai pada masanya untuk membantu membersihkan semak samun.

Malam itu setelah pulang dari masjid, mereka menunggu kedatangan sahabat lama yang ingin menunjukkan sesuatu. Azmi membawa bersama batu delima merah yang sudah diuji keindahannya; kekebalan. Sebaik sahaja batu tersebut ditunjukkan, muncul seorang wanita yang cantik mendekati Azmi.

"Siapa awak ni?" soal Azmi kepada wanita tersebut.

"Saya Kencana, isteri Abang Megat yang tinggal di batu itu" jawab makhluk tersebut.





Tidak jauh dari mereka, di pintu kelihatan Megat tegak berdiri sambil bersedia untuk menghunus keris yang sudah separuh sarung. Azmi terkejut kerana Megat begitu garang seperti benar-benar mahu bertarung dengannya.

Salim segera mencelah dan mengajak Megat untuk berbincang.

"Ayuh kau lihat pipiku betul-betul" maklum Salim pada Megat.

Setelah melihat bekas ciuman Tok Karim di pipi Salim, Megat tunduk dan tidak lagi agresif untuk menyerang.

"Megat, masuklah ke rumah, kita ingin berbincang bukan untuk bergaduh" Salim memujuk Megat.

"Baiklah, apa masalah sekarang?" soal Megat.

"Kami dalam keadaan susah, jadi bolehkah kamu bantu?" balas Salim.

"Apa harus aku buat" Megat ingin tahu.

"Apakah kau sanggup berpindah tuan?" tanya Salim.

"Kalau itulah yang anda mahu saya akan bantu" jawab Megat setuju.

"Kau Megat, harus berjumpa dahulu dengan guru yang mengawal Penguji Batu, Hj Hamid dan Hj Akbar" terang Salim.

Salim terus memerhati perbincangan makhluk alam sana, Megat bersama Hj Hamid dan Hj Akbar. 

"Ya bang. Mereka berdua tidak campur tangan urusan jual beli nanti" akhirnya Megat memberikan kata putus.

Azmi puas hati dengan jawapan tesebut manakala Sakroni paling lega kerana dia yang ditugaskan untuk mengurus penjualan batu tersebut. 

"Megat berpesan setelah barang bertukar tangan, apabila batu disalah guna Megat akan balik ke Jawa, barang dah tak kebal lagi" pesan Salim pada Sakroni. 

"Pembeli tidak akan menuntut apa-apa bayaran balik sekiranya sudah sah bertukar tangan" Sakroni menerangkan syarat-syarat urusniaga itu.

Setelah selesai Azmi kemudian meminta diri. Sakroni dan Salim meneruskan perbualan terutamanya mengenai topik ceramah agama selepas solat Isyak tadi. Kisah hijrah Nabi Muhammad saw bersama Saidina Abu Bakar. Ujian persahabatan yang mereka terima semasa perjalanan mereka dari kota Makkah ke Yathrib.

Aktiviti mereka tergendala apabila telefon pintar Sakroni berdering.





"Assalamualaikum pak cik. Ini Timah. Emak sihat di sini. Cuma ingin minta tolong pada Pak Salim. Kawan saya, Ita sakit pelik" kata bibik di Kangar. 

Salim duduk rapat di sebelah Sakroni yang sambil berbual, sejak tadi cuba menekan-tekan telefon pintarnya mencari menu loudspeaker. Setelah mendengar nama pesakit, lalu Salim diam sebentar manakala anak matanya melihat jauh ke langit.

"Bang, itu nama panggilan bukan nama betul" tegur Salim kepada Sakroni.

"Sazrina bt Hashim. Camna pacik Salim tahu ya?" jawab bibik hairan.

"Doa saya tak sampai bang" Salim memberitahu pengamatannya.

Rawatan jarak jauh dijalankan seperti biasa. Hari pun telah lewat malam, mereka solat tahajud dahulu sebelum tidur. Seperti biasa pagi Jumaat mereka akan menghadiri kuliah Subuh di masjid.

Monday, November 3, 2014

Bendalir Durjana

Malam itu sunyi sepi, suasana begitu hening. Unggas hatta cengkerik pun tidak berani mengeluarkan suara. Kelihatan sebuah jip SUV di hadapan rumah Arif sejak selepas Isyak tadi. Di ruang tamu kelihatan 3 orang sedang berdiskusi.

"Dik, Dato' Reza mintak tolong, boleh ke?" Salim meminta persetujuan Arif.

"Boleh kita bantu dia, tapi dia tak perlu ke mari. Abang je uruskan nanti" jawab Arif.

"Ini kali pertama pesakit tak dibenarkan hadir, tentu ada sebabnya" bisik Salim kepada Sakroni.

"Ini kes berat, isteri Dato telah lari ikut lelaki lain. Kalau sampai lupa anak dan suami... kasihan dia" kata Arif prihatin.


Salim menyiapkan kain putih 7 meter untuk didoakan dan diletakkan di rumah Arif. Tidak lama selepas itu, muncul 3 makhluk pocong terlompat-lompat kemudian baring dan lesap di atas kain putih tadi. Salim diarah membungkus kain tadi seperti mengapan mayat. Setelah siap, Salim menatang bungkusan tadi lalu dibawa ke rumah Dato' Reza.

Sebaik sahaja sampai di lokasi, Salim membentangkan kain putih di atas lantai bilik sambil sekali lagi memohon doa kepada Allah swt.

"Lihat tu ada pocong bergerak melompat-lompat masuk bilik!" kata Dato' Reza terkejut.

Mereka nampak dengan jelas satu demi satu pocong muncul lalu rebah di atas kain putih yang telah disediakan tadi. Apabila sampai pocong yang ke-7 terakhir terjerat di dalamnya, Salim segera menghidupkan api lalu membakar bungkusan kain tersebut dan menunggu sehingga pembalut habis hangus.

"Tengok tu semua debu berubah menjadi minyak" kata Sakroni.

"Ya sudahlah, buangkan sahaja dalam tong sampah plastik tu" arah Salim 

Tugas mereka malam itu sudah selesai. Salim dan Sakroni beredar dari rumah Dato dengan rasa lega.

"Bang, kenapa benda tu jadi minyak?" soal Sakroni ingin tahu.

"Itulah tanda adanya minyak dagu digunakan untuk mengenakan mangsanya" terang Salim.

Keesokan hari belum sempat Salim hendak sarapan di warung roti canai, telefon bimbit Nokia antiknya berdering.

"Bang Salim, rumah saya bergelap, eletrik terputus di sambar petir. Dua kali kena kat rumah dan kali ketiga mengenai Pajero saya" suara Dato' Reza yang jelas ketakutan di hujung talian.

Beberapa hari kemudian, Salim mendapat berita isteri Dato' Reza kembali ke pangkuan suaminya semula.

Pada malam-malam yang lain, Sakroni sering menemani Salim bertandang ke rumah Arif; sama ada untuk berbincang untuk membantu orang yang dalam kesulitan atau sekadar berbual bertanya khabar berita. Sebelum Arif berpindah masuk, kediaman itu sudah menampakkan keanehannya.

Rumah berkembar 3 tingkat itu dibina oleh 3 orang buruh binaan sahaja. Teknik menaikkan bahan binaannya pula menggunakan kaedah tradisional, takal dan tali biasa sahaja. Ketika masih dalam pembinaan, Arif akan membawa isteri, anak dan ayahnya melawat tapak pembinaan untuk melihat perkembangan semasa. Setiap kali meninjau tapak pembinaan, isteri, anak dan ayahnya akan menyaksikan Arif bertengkar dengan Apek kontraktor.


"Apek, minta kunci rumah saya nak masuk" tegas Arif.

"Eh you gila ke? Rumah baru 51% sudah mau minta kunci?" balas Apek.

Arif juga berasa hairan kenapa setiap kali datang, dia diperlihatkan rumah itu sudah siap.

"Memang semacam rumah ni, saya tidur kat bilik atas dapat rasa" Salim memberitahu Sakroni.

"Ye ke? Kenapa pula?" Sakroni teruja.

"Baring je dapat lihat terus tembus ke langit, seolah-olah bumbung tiada di situ. Pernah saya lihat adanya taman dan sebuah tangga yang begitu cantik menghala ke ufuk langit sampai ke sebuah istana yang indah. Sungguh menakjubkan" jelas Salim.

"Abang mimpi kot" usik Sakroni.

"Tak mimpilah, indahnya suasana yang saya rasa semacam berada dalam alam lain pulak" tambah Salim lagi.

Sakroni yakin pengalaman itu adalah benar-benar berlaku kerana ada beberapa orang lain yang datang ke rumah Arif turut mengalami kejadian unik tersendiri.

"Bang, orang-orang sakti dulu memang berambut panjang ke?" Sakroni ajukan pada Salim.

"Ya, misalnya Sheh Magelung memang gondrong sampai ke pinggul" jawab Salim.

Sheh Magelung yang segak berasal dari Baghdad telah datang berjumpa Sunan Bonang. 

"Itu apa?" tanya Sunan Bonang pada Sheh.

"Itu kitab-kitab saya, saya membaca kitab tidak habis-habis. Maka saya harus mencari guru" Sheh menyuarakan hajatnya.

"Maaf saya mahu solat asar" kata Sheh Magelung lagi.

Sunan Bonang menunjukkan tempat solat di dalam sebatang buluh. Tanpa banyak soal Sheh terus sembahyang di situ, maka Sunan Bonang tahu bahawa Sheh Magelung bukan sebarang orang.

Setelah selesai Sheh terus melangkah ke kawasan persekitaran. Beliau ternampak seorang gadis sedang bertarung dengan seorang lelaki. Beliau mendekati gelanggang untuk memisahkan perlawanan kerana berasa tidak wajar hal itu terjadi.

Nyi Ganda hampir kalah lalu sembunyi dalam cincin Sunan Gunung Jati. Sheh tahu lalu diterpa ke cincin itu pula, lalu Nyi melarikan diri ke bawah tapak kaki Pak Sunan. Sheh lalu memohon Pak Sunan minggir, lantas Nyi menyelinap ke belakangnya pula.

Apabila Pak Sunan beralih ke tepi, Sheh berdepan dgn Nyi. Ketika itulah Pak Sunan mengambil kesempatan menggunting rambut Sheh dengan jari tanpa di sedarinya. Selama ini tiada siapa pun mampu mencuit rambutnya yang kebal. Apabila beliau tersedar, Sheh bertekad untuk berguru dengan Pak Sunan Gunung Jati yang ternyata mempunyai darjat yang tinggi.

Sunday, October 26, 2014

Setia Seorang Laksamana

Jarum jam menunjukkan waktu hampir tengahari tetapi pemandangan di luar tingkap gelap bagaikan malam. Mendung dan hujan renyai tidak henti-henti sejak awal pagi di bandaraya selatan. Di dapur Sakroni beraksi bagaikan chef, menyiapkan lauk telur dadar untuk makan tengahari. Setibanya Azmi di rumah banglo itu, hujan mencurah dengan selebat-lebatnya. Azmi dapat lihat Salim yang lebih dahulu sampai sedang santai duduk di pangkin.


"Apa jadi dengan sakit anak Mat tu?" tanya Salim kepada Azmi.

"Tok Karim arahkan supaya Mat tarik kaki anaknya yang sakit tu dari depan. Tok suruh lafaz. Saya tak paham dan Mat pun tak tahu apa maksud 'lafaz' kata Tok Karim tu" kata Azmi yang bingung dengan nasihat itu.

"Sebenarnya Tok minta Mat menarik balik sumpah yang di lafazkan pada anaknya secara berdepan. Kalau dia berbuat begitu, anaknya akan sembuh dari sakit membisunya" Salim memberi panduan.

"Oh gitu bang, banyak lagi yang saya kena belajar dari abang" ujar Azmi.

"Cara orang alim alam sana bercakap ada rahsia dan mendalam maksudnya. Jadi harus pandai menganalisa" tambah Salim lagi.

"Bang, kenapa Pak Sunan selalu datang memerhatikan saya, tapi tak bercakap? tanya Azmi ingin tahu.

"Rasanya Pak Sunan mewakili Atuk. Ada apa-apa ke dengan Mi? Maksudnya Mi ada buat benda tak baik ke?" Salim menyoal selidik. Sunan Ampel antara sembilan wali songo yang masyhur di Nusantara.

"Anak tauke minat saya bang, saya layan je" jawab Azmi jujur.

"Kalau awak buat benda tak baik Pak Sunan akan bertindak" jelas Salim.

"Benar bang, anak tauke ingin menggoda saya ketika hanya kami berdua di dapur. Tiba-tiba Pak Sunan sudah berada di sisi saya sambil memegang pelepah tamar sedia untuk memukul saya!" sambung Azmi.

"Dah tu apa jadi?" celah Sakroni.

"Saya takut bang, tarik brek lah" balas Azmi tersengih.

Jawapan seloroh Azmi disambut dengan gelak tawa Sakroni dan Salim.


"Pulau Bintan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga" tiba-tiba Sakroni berpantun ketika mereka bertiga rancak berbual.

"Oh Kakek saya yang sakti tu kan orang Bintan. Ingat tak yang dia sumpah Bapak jadi batu selama lima tahun?" imbas Salim yang teruja rangkap pantun berkenaan.

Salim berkata ketika Wak Rumingan masih hidup, dia sangat kagum dengan Bapak sehingga sanggup mengaku saudara sehidup semati dengan menjilat titisan darah Bapak. Wak Rumingan kemudian pergi ke Bintan bersama Bapak kerana ingin tahu lebih lanjut ilmu Kakek. Bapak berdoa supaya Kakek hadir kerana Wak Rumingan ingin menyaksikan sendiri kesaktiannya. Setelah memberikan kata laluannya, Kakek terus membuka lalu menebarkan serbannya. Tiba-tiba seluruh gunung Bintan menjadi gelap seperti diselubungi serbannya. Wak Rumingan terus percaya dengan kesaktian Kakek dan semakin yakin dengan kebolehan Bapak setelah insiden dengan pastor  tempoh hari.

"Bang, keris Taming Sari di muzium mana?" Sakroni memancing Salim agar bercerita lagi.

"Itu ada kaitan dengan Hang Tuah. Laksamana yang begitu amanah kepada Sultannya, darjatnya menjadi tinggi kerana kejujurannya. Sedang Hang Jebat adalah panglima biasa, yang tidak pernah berasa iri dek kepercayaan tinggi yang Sultan berikan pada Tuah. Walaupun Tuah dianugerahi keris Taming Sari dari Kerajaan Majapahit yang terkenal" terang Salim satu persatu.

Tuah akhirnya difitnah lalu dijatuhi hukuman bunuh. Memanda Menteri ditugaskan untuk melaksanakannya. Tuah telah disembunyikan dan diganti dengan pakaian yang berlumur darah haiwan sebagai bukti pada Sultan hukuman bunuh telah dilaksanakan. Mendengar nasib Tuah itu, Jebat begitu sedih dan melepaskan geram dengan melakukan amukan ke seluruh kampung.

Akhirnya apabila keadaan tak terkawal Memanda Menteri membawa balik Tuah. Sekembalinya beliau, Sultan memerintahkan agar Tuah melaksanakan tugas menghalang Jebat daripada terus membuat onar. Tuah terpaksa melaksanakan apabila nasihatnya tak didengar Jebat.

"Bang, sewaktu bertempur keris Tuah mengena badan Jebat tak?" tanya Sakroni lagi.

"Perlawanan begitu seru, tikaman Tuah mengena Jebat beberapa kali tetapi Jebat kebal" sambung Salim.

"Aku beri kau peluang untuk bunuh aku kerana aku menghormati abang Tuahku" kata Jebat pada Tuah.

Jebat sedia melepaskan ilmu kebalnya. Ketika itu lah Tuah melakukan tikaman tanpa melihat wajah Jebat mungkin kerana teringat janji bahawa mereka bersaudara. Jebat yang berdarah putih, darah keturunan raja tewas. Setelah ditikam, Jebat rebah di pangkuan Tuah hingga ke nafasnya yang terakhir.


"Akhirnya apa jadi pada Tuah? Di mana Laksamana sekarang?" Sakroni semakin berminat mendengar.

"Tuah meninggalkan istana untuk berkelana. Yang akhirnya beliau diberitakan sakit dan ghaib dalam berzikir. Kini Tuah berada di Gunung Ledang bersama Nyi Anjasmoro" sambung Salim lagi.

Mengikut sejarah Nyi memberikan syarat-syarat yang pelik untuk Tuanku Sultan supaya Sultan gagal memenuhinya kerana cintanya yang sebenar adalah pada Tuah.

"Sedang keris Tamingsari tulen yang di buang Tuah ke Laut Cina di sambut Nyi dan di simpan sampai sekarang,. Jadi yang ada di luar tu hanya klonnya je" kata Salim untuk mengakhiri ulasan peristiwa sejarah itu.

Sunday, October 19, 2014

Hasrat Penghuni Sana

Sebuah jip SUV membelok ke jalan menuju Parit 17 Simpang Empat. Alunan muzik suara gemersik Broery Marantika kedengaran di corong radio kenderaan tersebut. Pemandunya tenang menyusuri jalan kampung dan tidak tergesa-gesa menekan pedal minyak. Setibanya di kawasan pusara, Sakroni mengajak penumpangnya, Salim turun. 


"Ini bang kubur bapak saya" kata Sakroni sambil menunjuk kubur ayahnya.

Sakroni membersihkan rumput di tepi batas sambil diperhatikan Salim. Mereka kemudian membaca ayat-ayat suci Surah Fatihah dan Surah Al Ikhlas buat arwah.

Setelah berehat sebentar, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya. Sakroni ingin menziarahi ibu mertuanya yang sedang sakit. Kira-kira jam 2 pagi mereka sampai di rumah yang di Kangar. Bibik menyambut membuka pintu mempersilakan mereka masuk.

Salim mengikut Sakroni terus berjumpa emaknya yang sedang berehat baring di bilik. Air muka Emak mula kelihatan merah, tidak lagi pucat seperti beberapa hari yang lepas. Salim sempat membuatkan dua botol air ubat; satu untuk mandi dan satu lagi untuk minum.

"Banyak makhluk lain di sini" tegur Salim akan Sakroni.

Bibik turut menyahut mengiyakan kerana dia selalu ternampak kelibat mereka.

"Yang hitam kecil-kecil banyak, tapi ada satu yang besar" jelas Salim.

"Boleh beritahu mereka jangan masuk rumah emak, atau halau je bang" pinta Sakroni.

"Baiklah saya pindahkan je, lebih selamat" kata Salim.

Sudah selesai kerja pemulihan, mereka disuguhi kopi pekat Perlis yang terkenal dengan aroma dan rasanya yang tersendiri.

Awal pagi lagi Sakroni keluar berbelanja ikan segar di Pasar Burma, Kuala Perlis. Tengahari itu sungguh berselera Salim makan apabila dihidangkan lauk kari kepala ikan kegemarannya. Selepas Asar mereka berdua bertolak ke tempat bersejarah Kota Indera Kayangan.



"Ramai sekali penduduknya" bisik Salim sambil menunjuk sesuatu di bukit-bukit kecil di sekeliling muzium yang dibina di situ.

Menurut sejarah kota tersebut dibina di atas kawasan berbukit. Antara nama bukit-bukit itu ialah Bukit Papan, Bukit Kubu, Bukit Toh Poh, Bukit Panah , Bukit Nasi Sebungkus dan banyak lagi yang lain. Kota ini menjadi tempat pemakaman Sultan Kedah yang mangkat pada tahun 1688. Sungai Raja dari Kedah dihubungkan terus dengan Sungai Perlis menjadi laluan utamanya ketika itu. Dua sahabat itu menikmati keindahan kota yang penuh dengan batu batuan asli dan taman bunga yang terjaga rapi.

"Begitu ramai yang tinggal di sini. Lelaki mahu pun perempuan" beritahu Salim.

"Bang, perempuannya camna?" Sakroni mengendeng.

"Wah cantik-cantik sekali, mereka turun menyambut kita lah" lanjut Salim.

"Bang saya ambil gambar, mana tahu dapat lihat nanti" kata Sakroni sambil mengaktifkan kamera telefon pintarnya.

"Mereka kata tolong jangan foto, mereka malu" Salim menyampaikan hasrat mereka itu pada Sakroni.

"Walaikumsalam, kami hanya melawat" Salim kelihatan menjawab salam dari seseorang di kawasan makam.

"Maaf , pertalian darah dari mana ya?" Salim meneruskan bicara dengan mereka yang tidak nampak pada mata kasar Sakroni.

"Lepas ini kami akan balik jauh, tak dapat lama di sini" terang Salim, seolah olah mereka mahu dirinya berada lebih lama di situ. 



Sungguhpun Salim senang hati kerana penghuni kota lama ini sangat mengalu-alukan kehadirannya tetapi masa tidak mengizinkan. Mereka terpaksa beredar kerana perjalanan pulang mengambil masa yang agak panjang.

Sekembalinya mereka di rumah, Eiman anak bongsu Sakroni menemuinya mengadu demam panas mendadak; tidak larat hendak ke sekolah esoknya. Pinggangnya terasa sakit dan kaki panas tetapi badannya terasa sejuk pula.

"Bang, semalam ke mana je?" tanya Ann, isteri Sakroni khuatir.

"Kota Indera Kayangan je, jangan risau tak apa-apalah" jawab Sakroni lagi.

"Kan tiap tahun orang kampung nampak mereka berarak beramai-ramai bang. Macam ada festival, jaga-jaga takut yang jahat ikut abang balik" kata Ann lagi.

"Dah le tu jangan risau" Sakroni memendekkan cerita.

Dalam pada itu, Salim telah memanggil Eiman supaya rapat, lalu menyentuh ubun-ubun, badan dan hujung jari kakinya. Salim memberitahu ia bukan panas badan yang biasa. Sejurus kemudian Eiman terus muntah-muntah. Setelah mandi dan minum air yang di berikan Salim, Aiman beransur pulih dan sakit pinggangnya reda.

Keesokan harinya Salim telah pulang ke pangkuan keluarganya di kampung. Sakroni yang masih lesu badan dan lenguh kaki akibat aksi berterusan menekan pedal minyak perjalanan jauh mengambil keputusan pergi berurut dengan Pak Mat.

Ketika sedang mengurut, Pak Mat tiba-tiba bingkas bangun menuju isterinya. Dia minta bantuan isterinya memulihkan urut tangan kirinya yang sudah kekejangan.

"Pak Roni, tak pernah terjadi begini selama saya mengurut orang. Kenapa ya badan bapak ini?" jelas Pak Mat sebelum Sakroni beredar.

Sejak jam 3 pagi Sakroni sudah bangun untuk ibadat malam. Ketika hampir masuk waktu Subuh, dia terasa pinggangnya terlalu nyilu sakit sampai ke kaki kanan. Sudah dalam keadaan terbaring, Sakroni gagahkan jua mencapai telefon pintarnya.

"Bang, maaf ganggu pagi-pagi ni, saya sakit sangat di pinggang sampai kaki" adu Sakroni pada Salim yang sedang berada di Temasik.

"Rasa camna?" tanya Salim.

"Nyilu teramat sangat, sampai tak boleh berdiri bang" jawab Sakroni.

"Siap ye abang bantu sekarang" ujar Salim.

"Jarak jauh je bang?" soal Sakroni sambil menahan sakitnya.

Setengah jam kemudian sakit Sakroni berkurang. Jam 7 pagi, Sakroni menghantar Eiman ke sekolah dan cukup sihat dan cergas untuk membaiki bumbung garaj rumah yang bocor. Syukur Alhamdulillah kerana doa dan usaha Salim di makbulkan Allah swt.


Bersambung...