Rumah banglo Sakroni sering menerima tetamu. Tetapi pagi ini lain daripada yang lain. Keluarga Rajalee datang dari ibu negara bersama hajat istimewa. Sakroni dan Anne berbesar hati kerana tetamu berkenaan merisik anak mereka. Ibu bapa kedua-dua belah pasangan mendoakan niat baik itu terkabul dan perancangan rapi diatur tahun hadapan. Setelah makan tengahari, mereka bersembang sambil menikmati buah-buahan pencuci mulut.
"Doktor ada main golf ke?" tanya Raja setelah terpandang lubang golf di laman rumah Sakroni.
"Dulu main, dah lama berhenti" jawab Sakroni.
"Abang Raja ni gila golf main merata. Malaysia, Thailand dan Indonesia" tambah isteri Raja.
"Terakhir berapa handicap?" tanya Sakroni.
"Single ..." kata Raja.
"Pernah dapat hole-in-one ke?" Sakroni menguji lagi kebolehan tetamunya.
"Saya tak pernah. Doktor pernah, saya nampak plaque di dinding luar" jawab Raja kagum.
"Ya pernah. Hole 12, par 3, 169m Club RJCC" balas Sakroni.
Setelah melambai tetamu berkenaan pulang, Sakroni bingkas ke belakang rumah meracun rumput, menanam ubi kayu, pisang nangka dan pisang raja. Elok pula Salim sampai pada masanya untuk membantu membersihkan semak samun.
Malam itu setelah pulang dari masjid, mereka menunggu kedatangan sahabat lama yang ingin menunjukkan sesuatu. Azmi membawa bersama batu delima merah yang sudah diuji keindahannya; kekebalan. Sebaik sahaja batu tersebut ditunjukkan, muncul seorang wanita yang cantik mendekati Azmi.
"Siapa awak ni?" soal Azmi kepada wanita tersebut.
"Saya Kencana, isteri Abang Megat yang tinggal di batu itu" jawab makhluk tersebut.
Tidak jauh dari mereka, di pintu kelihatan Megat tegak berdiri sambil bersedia untuk menghunus keris yang sudah separuh sarung. Azmi terkejut kerana Megat begitu garang seperti benar-benar mahu bertarung dengannya.
Salim segera mencelah dan mengajak Megat untuk berbincang.
"Ayuh kau lihat pipiku betul-betul" maklum Salim pada Megat.
Setelah melihat bekas ciuman Tok Karim di pipi Salim, Megat tunduk dan tidak lagi agresif untuk menyerang.
"Megat, masuklah ke rumah, kita ingin berbincang bukan untuk bergaduh" Salim memujuk Megat.
"Baiklah, apa masalah sekarang?" soal Megat.
"Kami dalam keadaan susah, jadi bolehkah kamu bantu?" balas Salim.
"Apa harus aku buat" Megat ingin tahu.
"Apakah kau sanggup berpindah tuan?" tanya Salim.
"Kalau itulah yang anda mahu saya akan bantu" jawab Megat setuju.
"Kau Megat, harus berjumpa dahulu dengan guru yang mengawal Penguji Batu, Hj Hamid dan Hj Akbar" terang Salim.
Salim terus memerhati perbincangan makhluk alam sana, Megat bersama Hj Hamid dan Hj Akbar.
"Ya bang. Mereka berdua tidak campur tangan urusan jual beli nanti" akhirnya Megat memberikan kata putus.
Azmi puas hati dengan jawapan tesebut manakala Sakroni paling lega kerana dia yang ditugaskan untuk mengurus penjualan batu tersebut.
"Megat berpesan setelah barang bertukar tangan, apabila batu disalah guna Megat akan balik ke Jawa, barang dah tak kebal lagi" pesan Salim pada Sakroni.
"Pembeli tidak akan menuntut apa-apa bayaran balik sekiranya sudah sah bertukar tangan" Sakroni menerangkan syarat-syarat urusniaga itu.
Setelah selesai Azmi kemudian meminta diri. Sakroni dan Salim meneruskan perbualan terutamanya mengenai topik ceramah agama selepas solat Isyak tadi. Kisah hijrah Nabi Muhammad saw bersama Saidina Abu Bakar. Ujian persahabatan yang mereka terima semasa perjalanan mereka dari kota Makkah ke Yathrib.
Aktiviti mereka tergendala apabila telefon pintar Sakroni berdering.
"Assalamualaikum pak cik. Ini Timah. Emak sihat di sini. Cuma ingin minta tolong pada Pak Salim. Kawan saya, Ita sakit pelik" kata bibik di Kangar.
Salim duduk rapat di sebelah Sakroni yang sambil berbual, sejak tadi cuba menekan-tekan telefon pintarnya mencari menu loudspeaker. Setelah mendengar nama pesakit, lalu Salim diam sebentar manakala anak matanya melihat jauh ke langit.
"Bang, itu nama panggilan bukan nama betul" tegur Salim kepada Sakroni.
"Sazrina bt Hashim. Camna pacik Salim tahu ya?" jawab bibik hairan.
"Doa saya tak sampai bang" Salim memberitahu pengamatannya.
Rawatan jarak jauh dijalankan seperti biasa. Hari pun telah lewat malam, mereka solat tahajud dahulu sebelum tidur. Seperti biasa pagi Jumaat mereka akan menghadiri kuliah Subuh di masjid.
No comments:
Post a Comment