Monday, September 15, 2014

Masih Ada Harapan

Jiran-jiran sedia maklum dengan sebuah unit di kawasan perumahan elit berkenaan. Kediaman tersebut redup kerana dikelilingi rimbunan pokok-pokok besar. Pada waktu malam, ia disinari lampu hiasan pelbagai warna hingga menimbulkan spekulasi ianya tapak mendarat UFO makhluk asing.


Petang itu sebuah kereta berhenti di hadapan banglo berkenaan. Sebaik sahaja pemandunya keluar dari kenderaannya, tuan rumah terus menegur.

"Lan, lama tak jumpa kau. Masuk je, pintu pagar tak kunci" pelawa Sakroni.

"Apa kau buat lepas pencen ni?" tanya Lan kepada sahabat lamanya itu.

"Aku berniaga 1 sen 2 sen je" jawab Sakroni sambil tersengih.

Mereka rancak berborak pelbagai topik daripada aktiviti sejak kali terakhir bertemu hinggalah ke isu semasa negara.

"Sekarang kau dah jumpa guru untuk mengajar jalan balik ke?" tanya Lan tiba-tiba.

"Insha Allah ada, nanti aku ajak jumpa orang tua tu" jawab Sakroni ringkas.

"Kau pernah jumpa kakak aku kan? Sekarang ni dia sakit teruk" beritahu Lan risau.

"Penyakit apa tu?" tanya Sakroni prihatin.

"Kanser payu dara level 3, jantung, buah pinggang, paru-paru dan kencing manis semua ada. Ngeri aku" terang Lan dengan panjang lebar.

"Aku harap sangat dapat cari tukang ubat yang boleh bantu buang kanser tu" sambung Lan lagi.


Sakroni menghubungi Salim dan Arif untuk menceritakan penderitaan kakak Lan. Dua beradik itu setuju supaya pesakit dibawa datang berjumpa petang esoknya.

Sebagaimana yang dijanjikan, Lan dan kakaknya tiba di rumah Arif. Sebaik sahaja pesakit berhadapan dengannya, Arif merenung jauh ke dalam diri kakak Lan.

"Maaf kak, sakit kakak memang ada. Ditambah pula dengan gangguan makhluk lain" Arif memberitahu pengamatannya kepada pesakit.

Arif lantas memerintahkan makhluk itu keluar dari badan pesakit. Kemudian makhluk itu diarah mengeluarkan segala benda yang telah diletakkan dalam tubuh wanita malang itu. Makhluk jahat itu segera membersihkannya dengan penuh ketakutan kerana kelakuannya sentiasa dipantau oleh Salim.

Arif memohon kehadirat Illahi dan mohon syafaat Nabi junjungan agar barahnya dapat dipotong dan dibuang. Semua penyakit lain serta saraf-saraf yang rosak dibuang dan dibersihkan secara ghaib.

"Kakak rasakan sendiri ada perubahan tak?" tanya Arif kepada pesakit.

"Memang ada, sakit di dada di belakang dah ada kurangnya" jawab kakak Lan dengan lemah.

"Saya ucap terima kasih pada abang kerana membantu kakak saya, macamana tentang .........?" tanya Lan kepada Arif.

"Saya hanya berusaha, yang menyembuhkan Allah swt. Tentang bayaran saya tak minta apa-apa. Kalau mahu bersedekah, silakan hantar ke anak yatim dan surau. Yang penting berita perkembangan pesakit kena sampai pada saya" jawab Arif dengan tegas.

Minggu yang mendatang, Lan terus-menerus memberitahu khabar gembira bahawa sakit di dada kakaknya semakin pulih. Alhamdulillah semua sakit yang lain sudah hilang hingga kakak Lan cukup kuat dan sihat untuk pergi menziarahi rumah anak-anaknya di ibu negara.

Hari berganti hari, Sakroni seperti biasa sibuk memantau bisnes kecil-kecilannya dan apabila ada kelapangan berjalan-jalan dengan Salim. Ketika mereka sedang menghadiri sebuah majlis , telefon pintar Sakroni berdering.

Lan : Hello, sekarang kat mana?

Sakroni : Tengah sedap makan jamuan ni.

Lan : Jom esok ikut sekali aku jalan ke rumah bakal haji. Ajak Salim sekali.

Sakroni : Esok aku ada jumpa kawan kat fakulti. Kau pergi dengan Salim je.

Lan pergi bersama Salim menghadiri majlis berkenaan di Kota Lama. Di sana ada yang memberitahu Lan bahawa kawan baiknya, Jeg sedang sakit teruk. Salim tidak membantah apabila Lan mengajaknya singgah menziarahi Jeg dalam perjalanan pulang nanti. 


Salim diberitahu bahawa Jeg seorang pegawai berjawatan tinggi. Mereka harus melalui beberapa pintu rahsia untuk masuk ke pejabatnya. Lan hampir menitiskan air mata dan terus memeluk Jeg yang sudah begitu kurus dan tidak mampu berdiri lama.

"Gini lah keadaan aku Lan" adu Jeg yang pasrah.

"Kenapa kerja? Rehat sahaja lah di rumah" kata Lan risau.

"Aku lebih selesa di pejabat, sakit ini biar orang tak tahu. Biar yang tahu aku je" kata Jeg dengan begitu letih.

Sejak sampai di sana, Salim telah meneliti ke dalam diri Jeg. Diperhatikan ada makhluk pelik berdiri disampingnya. Salim sedia maklum ini lah makhluk suruhan yang mengganggu Jeg. Salim tenang menunggu beberapa minit sehingga terpacul dari mulut Jeg sendiri memohon untuk berubat dengan sesiapa yang pandai. Lan menoleh ke arah Salim yang sudah sedia sejak tadi.

Salim secara jarak jauh mohon persetujuan dari Arif untuk mengubat Arif. Salim mulakan dengan berdoa kepada Allah swt supaya usahanya itu dikabulkan.

"Hei kamu! Bersihkan semua sakit yang kamu tinggalkan di badan dia. Kalau tidak aku hantar kau ke bukit ........." herdik Salim ke makhluk penganggu itu.

"Baik Tengku, saya buat sekarang. Tolong jangan hantar saya ke sana" sahut makhluk itu ketakutan.

"Teruskan! Lakukan sampai bersih di semua tempat, cepat!" gertak Salim lagi sambil mengunci makhluk berkenaan daripada bergerak ke tempat lain.

Salim meminta Jeg cuba berdiri, bergerak dan berjalan seperti biasa. Pemulihan yang dialami Jeg hampir serta-merta. Jeg kelihatan ceria, aktif semula dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih. Rawatan itu diakhiri apabila Salim membekalkan Jeg air ubat untuk minum dan mandi.

Sepanjang perjalanan pulang, Lan asyik memerhatikan Salim kerana dalam hatinya masih bingung memikirkan perubatan spontan yang baru disaksikannya tadi

Bersambung...

Thursday, September 4, 2014

Bukan Sebarang Orang

Sudah acap kali Salim berkunjung ke gunung. Kepulangan Salim sangat ditunggu-tunggu oleh Ayahanda dan Bonda yang dikasihi seperti ibu bapa sendiri. Suasana dan anak-anak di sana aman dan mesra jauh bedanya dari hiruk pikuk kota dan kebiadapan warganya.

Kali ini Salim mengajak Arif menemaninya pulang. Nenek khabarnya tidak berapa sihat.

"Bagaimana sakit nek?" tanya Arif prihatin.

"Ya, sakit nenek ini tidak ada ubatnya di sini" jawab Nenek lesu.

"Masakan tidak ada ubatnya?" balas Arif hairan.

"Benar, ubatnya ada di cucu" kata nenek lagi.

"Saya kan manusia biasa. Masakan saya harus mengubat nenek? Nenek kan orang ghaib" jelas Arif sambil diperhatikan Salim.

"Benar cu. Cucu Arif lah yang boleh mengubat nenek" jelas nenek kepada dua beradik itu.

Akhirnya Arif membacakan doa sambil diikuti oleh nenek. Nenek kemudiannya beransur pulih lalu berterima kasih kepada Arif yang sudi membantunya. 



Salim kenal akan Kakek, suami Nenek yang sangat tegas. Ayahanda pernah menceritakan kepada Salim insidennya mencabar ilmu silat Kakek yang sakti. Akhirnya Ayahanda kalah lalu Kakek menyumpahnya menjadi batu. Sepanjang masa Ayahanda kaku tidak dapat bergerak tetapi beliau sedar segala yang berlaku di sekelilingnya.

"Malahan bapak terpaksa menerima sahaja kalau ada yang menconteng, memukul dan menyimbah bapak dengan air kotor" tambah Ayahanda lagi.

Salim dan Arif tersenyum lucu mendengar cerita berkenaan. Setelah cukup 5 tahun, patung Ayahanda tumbang tergolek ke dalam longkang. Ayahanda kemudian bebas bergerak semula, lalu
pulang ke rumah menjadi normal seperti sedia kala hingga ke hari ini. Pengajaran itu membuatkan dua beradik itu sentiasa waspada semasa bercakap dengan Kakek kerana takut menerima nasib yang sama.

Ada juga Kakek menegur Arif semasa di gunung sambil diamati Salim.

"Kakek hairan kamu ini manusia apa? Kakek tak bisa melihat kamu dengan jelas" soalan Kakek ditujukan kepada Arif

"Ah masakan gitu kek? Sayakan orang biasa, sedang kakek orang sakti" jawab Arif.

"Benar, kamu ini ada badan. Kok wajahnya tidak kelihatan, terlalu silau" Kakek menjelaskan pengamatannya.

"Masakan ya kek , lihat benar-benar" celah Salim.

"Cucu Arif ini manusia apa ya?" tanya Kakek lagi.

"Ya tanya saja pada yang Maha Kuasa kek" balas Arif seringkas mungkin.

Kakek hanya mengangguk dan tidak bertanya lagi.

Pernah suatu ketika yang lain, sedang Arif dan Salim sedang berbual-bual pengalaman mereka hidup di gunung; dari kejauhan kelihatan Kakek sedang memerhatikan mereka. Bahasa tubuh Kakek dapat dibaca oleh Salim.

"Saya rasa Kakek ingin sesuatu dari adik" ujar Salim pada Arif.

"Kalau gitu cuba acah kakek" sambut Arif ingin tahu.

Salim tanpa buang masa terus menegur Kakek.

"Kek inginkan sesuatu dari cu Arif?" tanya Salim dengan sopan.

"Ya cu, kalau diizin ya mahu" minta Kakek.

Salim berasa hairan juga Kakek yang sakti ingin belajar dengan seorang manusia biasa . Begitu mulia dan rendah hatinya walaupun sudah penuh ilmu tetapi sedia belajar dari orang lain.

"Baiklah kalau Kakek mahu, cu Arif izinkan Kakek ambil dari Bonda" kata Arif lagi.

"Terima kasih cu, Kakek akan mohon pada Bonda ya" jawab Kakek.

Kakek terus pegi menemui Bonda, anak perempuannya itu untuk mendapatkan amalan yang diajar oleh Arif. Beberapa ketika kemudian, Salim merasa terkejut kerana Kakek tiba-tiba muncul semula di sisi mereka. 



"Subhanallah cu, terima kasih cu" kata Kakek yang kelihatan takjub.

"Kenapa kek?" tanya Arif.

"Ini cu, kakek dapat melihat betapa pantasnya amalan itu naik menuju kelangit. Subhanallah." beritahu Kakek kepada dua beradik itu.
 
Berulang kali Kakek mengulangi pujian kepada Allah swt sambil menadah tangan ke langit. Arif dan Salim turut bersyukur kepada Allah swt atas apa apa yang Kakek lihat dan rasakan. Moga-moga amalan yang sedikit itu dapat dijadikan amalan harian manusia serta orang ghaib dan diterima oleh Allah swt dan Rasul saw.


Bersambung...

Friday, August 29, 2014

Tetamu di Lembah Damai

Kabus pagi menyelubungi lembah gunung. Kicauan unggas adalah melodi hiburan di hutan rimba. Di situ Salim tinggal bersama pasangan suami isteri yang dianggap sebagai Ayahanda dan Bondanya. Pada mulanya hanya sebuah pondok kecil menjadi tempat berteduh dan bertemu sesiapa yang bertandang.

"Camna kalau kita buat rumah? " cetus Salim pada orang tua tersebut.

"Ayahanda setuju, kalau gitu kita gunakan kayu-kayan yang baik di hutan di sini nak" jawab Ayahanda.

"Bermakna kita harus bikin sendiri tiang, gelegar, lantai dan lain nya daripada hutan ini pak?" tanya Salim.

"Benar nak, harus gunakan gergaji untuk membelah kayu, nanti bapak bantu untuk menegakkan rumah itu ya" Ayahanda memberi dorongan kepada Salim.



Salim mula memilih pokok mengikut ukuran rumah banglo dua tingkat. Tiang dan gelegar 5x5 inci sepanjang 40 kaki dipotong. Papan lantai ukuran besar dan tebal digergaji dengan hati-hati. Berbulan-bulan Salim menebang balak untuk mendapat tiang dan gelegar yang secukupnya.

"Baiklah kini sudah cukup untuk menegakkan kerangkanya nak" kata Ayahanda pada Salim.

"Bagaimana pula untuk mengangkat tiang dan gelegar ini yg berat ini?" keluh Salim dalam hati kebingungan.

Belum sempat Salim luahkan, lantas Ayahanda menjawab
"Ya sedangkan balak kamu mampu mengangkatnya, kita angkat berdua aja tiang-tiang ini nak"

Mendengar kata-kata dan berkat ajaran Ayahanda, Salim mampu mengangkat batang balak menggunakan tenaganya sendiri. Salim yakin dengan kemampuan Ayahanda lalu mereka menegakkan kerangka tanpa bantuan orang lain. Berpeluh basah badan Salim setiap hari, begitu banyak tenaga telah digunakan. Akhirnya itu semua menjadi berbaloi apabila kerangka rumah melayu tanpa paku tertegak dengan kukuh di dalam hutan di atas gunung di pulau itu dari hasil tangan dua beranak ini.

Ketika Salim berehat sebentar untuk melepaskan lelah, kedengaran suara menegur
"Assalamuaikum"

"Waalaikumsalam" Salim menjawab. Oh rupanya Panglima Hitam yang mengawal kawasan ini.

Semakin hari semakin ramailah anak-anak gunung yang singgah dan lalu di kawasan rumah yang tersergam indah itu.

Tempoh hari ketika Salim meneroka untuk memilih pokok-pokok untuk ditebang, dia ternampak anak-anak gunung sedang mandi di pancuran air gunung yang sempit. Ramai pula yang menunggu giliran. Salim prihatin sekali lagi melihat mereka, tergerak di hatinya untuk membuat kolam mandi yang bersaiz besar pula.

"Ayahanda, sambil menyiapkan rumah tu, saya bercadang untuk menyediakan kolam mandi bagi anak-anak di sini" cadang Salim.

"Tapi bagaimana ya kan tidak ada jentera besar untuk mengorek tanah dan batu nak" Ayahanda khuatir kalau perkara ini akan memberatkan Salim.

"Ya kita ada cangkul, cuma masanya agak panjang untuk menyiapkannya" ujar Salim dengan yakin.

Salim terus memulakan kerja sedikit demi sedikit mengikut perancangan. Syukurlah dalam masa enam bulan kolam yang ditebati batu-batuan gunung sudah siap. Bertambah ramailah penggunanya termasuk para wanita dan anak dara gunung bermandi-manda tanpa perlu menunggu lama beratur panjang.

"Kalau ada orang yang paling berjasa di gunung ini, itu lah nak Salim" kata Ayahanda pada Bonda.

"Ya benar, itulah kelebihan Salim anak kita tu" jawab Bonda jelas bangga.

Ayahanda dan Bonda adalah pasangan yang ditugaskan menjaga harta gunung. Bagi anak-anak gunung mereka berdua adalah orang yang di segani kerana kebolehan dalam ilmu batin dan cekap pula dalam ilmu persilatan. Ayahanda dan Bonda terkenal berwatak garang apalagi dengan kemampuannya untuk sekali-sekala menunjukan kesaktiannya maka mereka berdua sangat digeruni.



Pernah satu ketika seorang pastor datang ke gunung untuk bertemu Ayahanda. Setelah saling diperkenalkan maka mereka saling berbicara.

"Ada maksud apa tuan datang ke mari yang jauh dari kota?" soal Ayahanda.

"Saya ke mari ingin melihat bapak, kerana banyak saya dengar cerita kesaktian bapak di sini" jawab pastor jujur.

"Ya sebagai orang Islam yang hebat itu Allah swt, saya tidak tahu apa-apa" jawab Ayahanda sopan.

"Betul bapak, saya lihat bapak ini orang biasa saja tidak punya apa-apa kelebihan seperti yang dikatakan orang" kata pastor sinis.

Belum sempat Ayahanda menjawab, pastor terus berkata mahu pulang ke kota.

"Oh lupa, mahu salaman sama orang biasa di gunung ini sebelum pulang" kata pastor sambil menghulurkan tangannya.

Ayahanda terus menyambut genggaman pastor dengan cukup erat. Berpeluh basah muka pastor dengan keringat, tetap dia tidak mampu untuk melepaskan tangannya. Lama-kelamaan kelihatan tubuhnya menjadi pucat dan kering lalu Ayahanda akhirnya melucutkan genggaman tangannya. Pastor kelihatan benar-benar ketakutan.

"Datang bertamu tetapi mahu menguji dan menghina rupanya!" tegas Ayahanda pada Salim.

"Kelihatan lesu orang itu" jawab Salim memerhatikan pastor itu berlalu pergi.

"Rasanya belum sempat mencecah tanah lapangan terbang dia sudah mati" tambah bapak pada Salim.
 
Selang beberapa hari Salim terpandang muka depan suratkhabar ada berita seorang telah meninggal dunia di lapangan terbang. Dikatakan belum sempat turun dari pesawat yang dinaikinya, ternyata si mati adalah pastor yang tidak sopan berkenaan.
 

Bersambung...

Friday, August 22, 2014

Direktori Surau : Plaza Larkin

Premis : Plaza Larkin, Jln. Garuda, 80350 Larkin, Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim
Lokasi : Tingkat 1
Clue : Keluar dari lif, belok kanan. Masuk ke lorong sebelah D'Hana Beauty Therapy (Lot 1-26)

Catitan : kapasiti kecil < 10 orang, wuduk di dalam, sejadah, aircond, bilik asing dinding pisah lelaki wanita

  

Thursday, August 21, 2014

Pergi Dan Kembali

Tiada satu pun awan di langit. Walaupun panas terik, kerja di lapangan perlu disiapkan. Apabila sudah masuk waktu rehat, Salim bersama rakan setugas Nasir dan Man berhenti sebentar untuk melepaskan lelah.

"Bang, boleh tak seru atok saya yang dah lama meninggal?" terpacul soalan Nasir kepada Salim

"Saya dilarang sama sekali menyeru, tetapi kalau berdoa kepada Allah boleh"
jawab Salim tegas.



Kebetulan Nasir kehabisan kreteknya, lalu dia terus menuju ke kedai berhampiran.

Tiba tiba Salim terlihat ada seorang tua berbaju T putih berkain pelekat corak kotak kotak kecil datang menghampirinya. Rambutnya putih pendek bermuka bulat di dagu, lehernya ada tahi lalat berbulu agak panjang tapi sedikit.

"Beri kata laluan" kata Salim.

"Saya ni atuknya Aseer" ujar orang tua itu.

"Ada kata laluan yang tepat rupanya" kata hati Salim.

"Tolong doakan atuk ya nak" pohon orang tua pada Salim.

Salim membacakan ummul kitab mohon diterima rohnya di sisi Allah. Orang tua itu mengucapkan terima kasih lalu beredar pergi.

Tak lama Nasir kembali dengan dua bungkus rokok kretek di genggamannya. Salim menceritakan kehadiran orang tua tadi pada Nasir.

"Saya rasa macam tak kenal lah bang" jawab Nasir.

"Dia panggil awak Aseer, bila bercakap dia urut urut rambut yang ada pada tai lalatnya" terang Salim lebih lanjut.

"Eh kalau gitu, itulah atuk saya, ya Allah!" Nasir tergamam.

Kemudian datang pula seorang nenek tua mengucapkan salam dan turut memohon Salim mendoakannya. Mengikut ciri-ciri yang disampaikan oleh Salim, Nasir mengesahkan yang datang itu adalah neneknya.

"Bang, nenek saya ada jumpa tak dengan atuk" Nasir bertanya.

"Tidak" jawab Salim ringkas.

"Kenapa bang?" desak Nasir.

"Ini kerana nenek selalu memarahi atuk semasa hidupnya" jawab Salim.

"Eh kata-kata abang tu benar, nenek memang begitu semasa hidupnya" Nasir teringat kembali gelagat mereka.

Esoknya Nasir mengajak Salim dan Man menziarah kubur pada waktu siang, kerana Salim tidak diizinkan ziarah kubur malam. Semasa berada di tanah perkuburan, Nasir lupa lokasi kubur atuknya kerana sudah lama dia tidak melawatnya. Salim terus berdoa moga ditunjukkan Allah swt akan kedudukan kubur itu.



"Nasir, sini cuba awak tengok yang itu" jelas Salim sambil mengarahkan Nasir ke sana.

"Benar sekali bang" Nasir agak terkejut atas ketepatan Salim.

Dengan kuasa Allah, Salim dapat berjumpa lagi dengan atuk Nasir di sana. Salim nampak nenek pun berada di situ. Kemudian kelihatan nenek mendekati atuk lalu mereka berpimpin tangan dan beredar dari situ. Salim memaklumkan apa yang baru dilihatnya kepada Nasir.

"Alangkah ruginya saya sebagai manusia tidak memiliki kebolehan melihat alam sana seperti abang" kata Nasir sedih.

"Ini semua anugerah Allah swt, hanya dengan izin-Nya sahaja terjadi, dan Dia akan beri kepada hambanya yang Dia nak anugerahkan" jawab Salim.

Tiba-tiba Salim dengar satu suara di celah rimbunan pokok pokok pisang; boleh jadi kawasan kubur lama.

"Ada yang memanggil nama engkau Man. Kau kenal tak suara tu?" kata Salim pada Man.

"Tak kenal bang" jawab Man yakin.

"Tak pe lah" kata Salim lagi.

Lalu mereka ke pejabat kubur ingin melihat buku catatan kematian. Bukunya besar dan tebal pula. Nasir tercari-cari tarikh kematian ayah kepada Salim.

"Tak jumpa tarikh kematian ayah abang dan ketika mati abang ingat tak umurnya?" tanya Nasir setelah puas membelek.

Salim sendiri tak ingat, lalu dia terus berhubung dengan ayahnya lalu si mati memberikan jawapan.

"25hb Julai 1975, ketika meninggal berumur 70 tahun" lantas Salim memberitahu Nasir petunjuk yang baru diterimanya.

Nasir terus menyemak buku berkenaan, ternyata tepat sekali apa yang di katakan Salim.

Sementara itu Man pula mahu mencari kubur ibunya sebelum di pindahkan ke tempat baru.

"Kubur ibu dah tak ada di sini" kata arwah ibunya pada Salim.

"Nasir, tolong beri tahu Man kubur ibunya dah tak ada disini" nasihat Salim.

Nasir beritahu Man. Tetapi Man tetap berusaha mencari. Setengah jam berlalu, masih belum jumpa jua.

"Bang ke mana kubur emak saya?" tanya Man yang sedih kepada Salim.

"Itu kubur lama, ianya dah lenyap dari sini" jawab Salim.

Man akur tetapi hatinya pilu. Ketika sedang berkemas untuk pulang barulah Man sedar yang suara memanggil dari celah pokok tadi adalah suara pakciknya. Man menitiskan air mata, mengenang Allah Maha Kaya dan teringat betapa daifnya dirinya kerana tidak berusaha untuk mencari ilmu ke jalan ini.

Salim menenangkan Man agar sentiasa berdoa dan berselawat. Nasir dan Man bersyukur pada Allah swt dan berterima kasih pada Salim atas pengalaman itu lalu beredar meninggalkan kawasan pusara.


Bersambung...