Tuesday, February 24, 2015

Ujian Karun dan Token Cenderahati

Sequel Ada Apa Dalam Kilang

Sebuah kereta sukan bersayap gentian karbon kelihatan berhenti di bahu jalan. Pemandunya sedang menjawab panggilan telefon bimbit dan berbual dalam Bahasa Inggeris slanga Amerika. Salim yang duduk di kerusi penumpang hadapan menoleh ke arah Sakroni yang terus mengangkat bahu tanda dia juga kurang faham.


"Lagi setengah jam baru boss sampai, mana kita nak lepak ek?" ajak Daeng sambil memaut stereng.

"Singgah kedai M tepi bulatan tu, pekena burger keju 2 tingkat dulu" sahut Salim.

Selesai menjamu selera, mereka bertiga menuju ke kilang. GM Teodor Sjoklund telah sedia menunggu di dalam bilik persidangan. Bahan yang disediakan oleh Sakroni di susun atas meja. Sambil Salim memulakan acara, Daeng pergi mengambil bekas minuman di pantry pejabat. GM melihat dan menunggu dengan tekun.

"Do you understand the instruction Sir?" tanya Salim setelah memberi penerangan.

"OK, if further explanation required I refer to my right hand man" jawab GM sambil menuding ke arah Daeng yang terangkat dua keningnya.

"Almost midnight, better on your way home to prepare the ritual. We request permission for an audit walkaround if other evil creature dares to intrudes the premise again" cadang Sakroni.

"Very grateful on your kind assistance. Before I depart, please accept this small token of appreciation" ucap GM sambil menyerahkan gajet canggih kepada Salim dan Sakroni.

Walaupun berasal dari luar negara berbangsa Kaukasia, sifat baik hati boss kilang elektronik tersebut amat disenangi oleh Salim dan Sakroni. Daeng menemani dua pakar berkenaan memeriksa semula seluruh pelusuk bangunan. Hanya gangguan kecil, adanya makhluk kecil hitam yang cuba mengintai dari tepi pagar. Itu pun bertempiaran lari apabila melihat kelibat Salim di situ. Hasilnya memuaskan kerana tiada lagi suara misteri memanggil-manggil, mesin bergerak sendiri setelah suis dipadamkan, bunyi guli atau rasa seram sejuk meremang. Dengan izin Allah swt sudah tiada gangguan di syarikat berkenaan, moga seterusnya begitu.

Terbit sahaja matahari keesokan harinya, Sakroni telah memanaskan enjin jip SUV dan Salim mengangkut bagasi miliknya. Mereka tidak tergesa-gesa menuju ke Stulang Laut kerana tahu jadual feri yang agak kerap.

"Macam berat je beg tadi, penuh jongkong emas ke?" usik Sakroni sambil memandu.

"Sekali-sekala ke Tanjung... Eh teringat pula saya peristiwa di gunung" jawab Salim.

Pada suatu hari salah seorang sahabat Salim di gunung datang menemuinya. Sahabatnya menceritakan dia telah didatangi oleh seorang tua bertopi daun pandan dan seluar hitam. Orang yang gayanya seperti petani itu memperkenalkan dirinya sebagai Tok Wongso. Beliau meminta menyampaikan amanat kepada Salim bahawa di bawah rumah sahabat berkenaan ada tertanam harta karun khas untuk beliau.


Setibanya di lokasi, Salim dapat melihat dengan mata hatinya ada tempayan berkilau cahayanya berisi emas dan berlian berdekatan tiang seri rumah sahabat itu.

"Terima kasih beritanya. Tetapi itukan bukan tanah saya, masakan ada harta saya di sana. Apa pun saya tak mahulah, saya tidak kesini untuk kaya" ucap Salim sambil memandang ke arah kawannya.

Apabila hal berkenaan diceritakan kepada Arif, beliau beranggapan ia hanyalah permainan Kakek ghaib sahaja. Dua beradik itu pergi ke rumah Kakek untuk mendapatkan kepastian.

"Kakek menyamar jadi Tok Wongso ye?" usik Arif pada Kakek setelah bersalaman.

"Sudah, sudah ..." jawab Kakek pura-pura tidak mahu tahu.

"Betul tak kek?" ulang Arif lagi.

"Ialah, cu. Cukup cu. Kakek hendak uji Salim. Dia lulus ujian itu" ujar kakek sambil tersenyum.

Setibanya di terminal, Salim beratur di kaunter tiket. Kerana terlepas feri pertama, mereka perlu menunggu lagi 45 minit. Sakroni yang masih belum berganjak sempat lagi meminta Salim menyambung cerita tadi.

Di gunung, Salim juga di kenali juga sebagai cucu bandel. Ini kerana hatinya yang berani melakukan apa sahaja yang diperintahkan kepadanya. Salim berani menyampaikan hajat hati nya kepada sesiapa pun di gunung; waima Kakek atau Nenek yang terkenal garang.

"Nenek, nenek kan punya kuda. Bolehkah kalau kuda nenek digandingkan dengan kuda lumba. Tentu kuda tu boleh menang mudah!" kata Salim seloroh.

"Tak boleh cu, nanti kuda lain boleh kewalahan dan mati cu" jawab Nenek.

"Ah masakan gitu nek?" balas Salim yang tidak puas dengan penjelasan tersebut.


Tiba-tiba Nenek datangkan kuda putih tunggangannya di situ. Kuda yang setinggi bangunan satu tingkat dengan kaki yang begitu besar; pastinya kuda yang ada di alam nyata ini tidak mampu bersaing dengannya.

"Wah begitu besar kuda nenek ya. Saya akur apa yang nenek katakan tadi" ujar Salim terpegun sambil menepuk bahu Arif.

"Eh bang, feri dah sampai tu. Nanti balik ke sini telefon tau" celah Sakroni

"Harap-harap Nokia ni tak bikin hal macam Samsung dangan Lenovo tu" balas Salim sebelum melambaikan tangan menuju ke dok bersama penumpang lain.

Wednesday, January 28, 2015

Menghadap Guru Disiplin

Selesai solat Subuh di masjid, Sakroni pergi mencari sarapan di deretan kedai berhampiran. Niatnya untuk membeli roti canai terpaksa dibatalkan kerana barisan pelanggan yang terlalu panjang bagaikan di kaunter tiket perlawanan JDT. Setibanya di rumah, kuih-muih yang dibeli dihidang bersama teh o nipis panas di pondok luar.


Salim mengenakan cermin mata rabunnya lalu tekun membaca muka depan akhbar mengenai kemalangan pesawat sambil cuba mengagak di mana agaknya bangkainya tenggelam. Sakroni pula membaca rencana gelagat dan ragam manusia pasca musibah banjir.

"Bang, tengok la ni. Ikan patin 200kg tersesat dibawa air bah" kata Sakroni sambil menunjuk foto di suratkhabar.

"Dulu saya ada kelong di Pasai belum pernah jumpa ikan sebesar itu" komen Salim.

"Pasai tu banyak cerita keramat kan bang?" tanya Sakroni.

"Eh benar. Waktu itu anak saya, Sidek sakit. Keadaannya dah biru bibir dan wajahnya pucat" imbau Salim.

Langit gelap dengan hujan tak henti-henti menyukarkan Salim hendak ke klinik. Salim semakin cemas melihat kondisi anaknya. Tiba-tiba kedengaran suara seseorang memberi salam.

"Dah sampai sini kenapa tak mampir? Saya Syed Anuar Azhar, ini cucu Bapak rupanya, saya kenal" tamu itu memperkenalkan dirinya.

"Tuan, anak saya sakit ni" adu Salim.

Salim segera menyediakan air dalam botol kemudian menghulurkannya kepada Tuan Syed. Setelah selesai berdoa, beliau menyerahkan semula botol berkenaan kepada Salim. Sebaik sahaja Salim memberi anaknya minum air tersebut terus Sidek tersedar. Pada masa yang sama juga Tuan Syed ghaib dari pandangan.

Esoknya Salim keluar ke pekan lalu bertanya pada seorang wanita berumur.

"Bu, apa di sini ada makam orang alim?" tanya Salim.

"Ada, tu di sebelah bangunan usang di kanan kita ni. Kalau di sini orang kenal dia makam Said Layang" jawab wanita itu.

Barulah Salim teringat nama Said Layang ada kaitan dengan lagenda Temasik. Beliau seorang alim datang untuk mengislamkan orang Melayu di sana. Tetapi malang, akhirnya timbul perbalahan sehingga beliau dihalau pulang. Apabila fitnah semakin menjadi-jadi, dengan doa beliau Allah swt timpakan bala maka terjadilah peristiwa Pulau Singa dilanggar todak. 


"Cikgu Ghani telefon semalam, nanti kita singgah rumah dia" Sakroni mengingatkan Salim.

"Saya ikut apa kata P.A. saya" Salim mengusik Sakroni.

"P.A. tak bergaji ni" balas Sakroni tersengih.

Pasaraya Extra destinasi pertama kerana pekerja kedai mengadu rasa tidak selesa di premis berkenaan. Walaupun tuan kedai tiada, Salim terus bertafakur dan berdoa. Tidak lama kemudian, Sakroni diberitahu tiada gangguan dikesan. Pantang ternampak lori kecil Md Zain, mereka menyendol makan goreng pisang dan mencicipi keenakan es krim perisa durian.

Sampai sahaja mereka tiba di rumah Cikgu Ghani, mereka berdua dipersilakan duduk di meja makan berhampiran dapur.

"Ya Cikgu ada apa ye?" tanya Salim pada tuan rumah.

"Apa rasa Salim dengan rumah saya ni" Cikgu meminta pandangan.

"Sejuk bang, maksudnya baiklah" jawab Salim.

"Cakaplah terang-terang kalau hendak apa-apa lagi" tegur Cikgu pada Midah isterinya di sebelah.

"Baiklah Yah. Salim, kak ni semacam ada yang ganggu bila di bilik air di sini dan di rumah seberang tambak sana" maklum Midah.

"Ganggu camne kak?" Salim minta penjelasan.

"Kakak kena cakar di lengan, cucu pulak kena cakar di betis" ujar Midah.

Salim terus memandang ke langit kemudian ke kiri dan kanan.

"Oh gangguan pontianak, dia kata berasal dari Tanjung Bidadari tak jauh dari rumah kakak" terang Salim.

"Tempat tu ada lagi tapi dah berubah" sahut Kakak mengiyakan.

"Dah dari Kakak kawin lagi, dia dah ikut Kakak" tambah Salim lagi.

"Dari mana ye?" tanya Midah ingin tahu.

"Sebelum Cikgu kan ramai yang minat Kakak" jawab Salim jujur.

"Hebat Cikgu, pakai apa sampai Kakak tertarik dengan Cikgu!" celah Sakroni mengusik.

Cikgu Ghani hanya senyum sambil menjeling isterinya.

"Boleh tak buangkan?" pinta Midah.

"Inshaa Allah kita pindahkan ke tempat yang dia mahu" jawab Salim setuju.

Mula-mula Salim pindahkan pontianak itu ke tangki air taman tetapi ternyata diberitahu sudah ada penghuni di situ. Lalu Salim pindahkan sementara ke rumah kosong berdepan rumah Cikgu.

"Pindah ke rumah itu dan janji jangan kacau orang" tegas Salim.

"Saya janji duduk sana dan tak kacau sesiapa pun" jawab Ponti akur dengan arahan yang diterimanya.

Cikgu Ghani dengan senang hati menjamu tetamunya hidangan ayam panggang sambal jawa dengan ulam-ulaman. Mereka berempat makan bersama mensyukuri rezeki dan kesihatan dipertemukan pada masa itu.

"Ada apa-apa lagi Cikgu?" tanya Sakroni.

"Apa boleh kami minta amalan tu?" mohon Cikgu pada Salim.

"Cikgu adalah guru disiplin saya dulu, masakan saya nak biarkan Cikgu begitu saja. Tapi apakah Cikgu dah bersedia untuk menerima ini?" Salim ingin kepastian.

"Apa maksud bersedia tu?" Cikgu masih kurang faham.

"Maaf, Cikgu mampu ke Mekah dah berkali-kali umrah. Tiap tahun melawat benua lain, malah baru balik dari Kasmir. Masih banyak lagi nak buat dan dilawati. Tentu ini agak sukar untuk fokus beramal" ujar Salim.

"Kami dah puas ke tanah suci, jadi nak la berubah" sahut Cikgu.


"Maaf sekali lagi, ini contoh sahaja. Cikgu pergi umrah tu dapat jumpa tuan rumah tak? Katalah kalau saya tak jumpa Cikgu, saya tetap dapat masuk rumah Cikgu. Tentu lain dari saya dijemput sendiri oleh Cikgu" terang Salim panjang lebar.

Cikgu dan isterinya mengangguk seolah-olah faham maksud tersirat apa yang dituturkan Salim.

"Ada orang ke Mekah dengan wang yang banyak, tapi bagi yang tak punya wang belum tentu mereka tak sampai ke sana" kata Salim lagi.

"Maksud Salim camna tu?" tanya Cikgu kebingungan.

"Dengan izin Allah swt boleh sahaja mereka ke sana bila-bila masa mereka niatkan" sambung Salim ringkas.

Cikgu dapat membaca pengalaman siapa yang Salim ceritakan itu. Salim yang rendah hati selalu berkata 'maaf kalau saya salah' sebelum memulakan ceritanya. Terasa di hati Cikgu walaupun hartanya melimpah-ruah; rupanya ada orang yang lebih miskin tetapi mampu melakukan perkara yang sama dengan lebih baik lagi dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa.

Thursday, January 15, 2015

Hanyut Dek Arus

Berhabuk dan telah kuning kertas buku skrap yang masih disimpan Sakroni. Koleksi potongan artikel akhbar beserta foto kemusnahan harta benda diselak satu demi satu. Musibah banjir besar pantai timur baru-baru ini mengingatkannya tragedi tsunami sedekad yang lalu. Anne pula sibuk di dapur menyiapkan nasi lemak lauk ikan bilis dan kari sardin sebagai bekal perjalanan jauh hari ini. 


"Alamak dah terlepas exit Ayer Hitam, kena u-turn Yong Peng lagi 15km" kata Sakroni yang leka memandu.

Setibanya di kem PLKN Sembrong, kod anak diumum. Sakroni hanya mengamati perbincangan Aiman dengan emaknya. Sejam kemudian mereka berdua bertolak balik ke rumah.

Jam 9 malam ketika hujan mencurah tanpa henti; sup ekor dan telur dadar menjadi santapan Salim dan Sakroni di warung Mak Jah.

"Ada pergi ke rumah Arif?" tanya Sakroni.

"Takde, Arif cuti sehari je. Saya pun tak mahu ganggu dia sangat tapi saya teringat kisah dia lapan tahun lalu" terang Salim.

Mereka berdua sedia maklum Arif sering didatangi tamu yang ramai. Bapak, Ayahanda, Kakek, Nenek, Atok Karim, Atok Habib, dan beberapa lagi Atok lain.

"Macam ada sesuatu yang besar je" teka Sakroni

"Ketika itu saya bersembang berdua tiba-tiba Tok Karim datang ajak Arif ke Mekah" balas Salim.

"Abis abang tinggal sorang je menunggu Arif lah?" Sakroni semakin minat mendengar.

"Taklah saya masih bercerita dengan dia, cuma dengan kuasa Allah swt dia berjalan bersama Atoklah" jawab Salim selamba.

"Apa yang terjadi pada Arif?" celah Sakroni.

"Dia melakukan perjalanan ke Mekah , Madinah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan melawat tempat-tempat sejarah di zaman Nabi saw" tutur Salim lagi.

Selang beberapa hari kemudian, Salim pula didatangi Tok Habib. Salim sempat menceritakan kisah Arif pada Tok Habib dan dibalas dengan senyuman.

"Cu mulai dari hari ini kalau salam dengan cucu Arif, ambillah berkatnya" nasihat Tok Habib.

"Jadi camna nak buat Tok?" Salim buat-buat bertanya.

"Ah cucu Tok ni, kenalah salam cium tangannya" ajar Tok Habib.

Sejak dari saat itu, hinggalah ke hari ini Salim tidak pernah melepaskan peluang untuk mencium tangan Arif di mana sahaja bertemu.

"Bang, tadi di rumah cam ada bau sambal" tegur Sakroni hairan.


"Oh maaf, tadi awak kena tunggu lama baru saya keluar. Tadi bersihkan dapur ada periuk belanga bekas tolong kawan buat sambal ayam penyek" beritahu Salim.

"Takde bukti pun…" perli Sakroni.

"Usahkan engkau, aku pun tak dapat nak makan lagi" jawab Salim hampa.

Sakroni faham sambal berkenaan hanyalah sedikit dan semua sudah habis licin ditapau tetamunya kerana terlalu enak.

"Di alam ghaib ada tak berlaku peperangan macam kita kat dunia ni?" acah Sakroni lagi.

"Ada bang, ngerilah. Mereka pakai pedang, panah, pisau, keris; pokoknya perang one to one lah. Pernah Arif bersama Tok ditugaskan untuk memerangi makhluk jahat di satu kawasan. Penduduk di situ memelihara makhluk jahat yang selalu digunakan untuk mengacau orang lain" kata Salim.

"Abis tu camna kesannya bang?" aju Sakroni lagi.

"Dengan izin Allah swt makhluk jahat sekampung tewas semuanya" jawab Salim.

Salim terdiam sejenak sambil menggaya bulatkan asap rokok yang dihembuskannya. Mungkin cuba menghilangkan imej ngeri yang pernah disaksikannya.

"Awak pernah dengar makhluk ghaib berupa naga tak?" giliran Salim bertanya.

"Manalah saya tahu kalau abang tak cerita" respon Sakroni sambil menghirup teh.

"Makhluk ini di Laut Cina, dia berupa naga berkepala lebih dari lima" terang Salim.

"Banyak sangat kepala tu, apa yang dia buat?" kata Sakroni hairan.

"Naga ni memang jahat, kerjanya mencuri harta berharga orang ghaib lain" sambung Salim.

"Mesti banyak rekod aduan tu" usik Sakroni.

"Ye le, itulah akhirnya Arif ditemani Tok Karim ditugaskan untuk menghapuskannya. Masuk ke tempat tinggalnya sahaja bukan mudah kerana naga ini di kawal oleh pengawal yang handal; tetapi kerana yang batil akan kalah yang benar akan muncul, Arif bersama Tok mampu melumpuhkan makhluk itu" jelas Salim panjang lebar.

Kuah sup ekor habis dihirup manakala rintik-rintik hujan sudah pun reda. Sesudah menghantar Salim pulang ke kediamannya, benak Sakroni teringat janjinya untuk menemui Kak Jamilah keesokan harinya. Spa Muslimah projek usahasama mereka bakal mencipta peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.


Daripada riak muka Kak Jamilah yang sugul, Sakroni dapat mengagak isi kandungan surat jawapan daripada tuan tanah, Samandara A-Set pastinya kurang baik. Sakroni bengang apabila permohonan berkenaan langsung tidak dipertimbangkan sedangkan sewa sebulan sudah dibayar. Sesudah rugi, malang menimpa kerana penyewaan pula bakal ditamatkan pada hujung bulan. Kak Jamilah mempersoalkan rasionalnya lot kedai itu dimestikan jual pakaian. Sakroni mendapati bilangan peniaga baju sudah melebihi permintaan manakala kedai urut tidak sampai 5 buah. Kedai urut yang sudah sedia ada pula temanya kacau-bilau kerana dicampurkan dengan khidmat simpan beg, pakaian dan hiasan pengantin.

"Memanglah menghairankan kenapa kepakaran tidak di utamakan, sedang risiko niaga adalah adalah ditanggung penyewa. Kenapa pula mereka harus mengatur tema penyewa sedemikian rupa?" keluh Sakroni.

"Sabarlah kak. Saya akan merayu pada Tuan Yaron Hakop pengurus bangunan atau terus ke pejabat J-PKEN, moga Allah swt bukakan hati mereka" pujuk Sakroni menenangkan hati Kak Jamilah

Sambil memasukkan surat ke sampulnya Sakroni terus meninggalkan kawasan rumah makciknya sambil berharap yang terbaik dari Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Wednesday, December 31, 2014

Yuk Pijat Yuk


Sudah berulangkali nada dering irama jazz di ruang tamu tapi Sakroni hanya membiarkan sahaja. Tidak larat warga emas berkenaan hendak turun semula tangga yang tinggi itu. Dia mengambil kesempatan cuaca cerah pada pagi itu memanjat garaj untuk memasang atap zink yang sepatutnya sudah lama berganti. Barang-barang tersebut dibeli lebih awal dengan harga berpatutan di kedai kayu milik Puan Wahiah dekat Eco Garden. Elok sahaja siap bertukang, angin ribut melanda kawasan banglo tersebut. Syukur projek tadi berjaya kerana atap tetap utuh. Sakroni membelek telefon pintarnya dan mendail semula pemanggil tadi. 


"Assalamualaikum wak" ucap Rozi rakan urusniaganya.

"Waalaikumsalam, ada perlu apa ye?" tanya Sakroni.

"Inilah wak, mohon ganti Pak Omar untuk urut lelaki. Dia ke Konsulat Indonesia urusan paspot tendang" terang Rozi.

"OK takde hal, kejap lagi wak hadir ke toko sama teman" Sakroni setuju lalu mencapai kunci jipnya.

Setibanya di kedai "Alami Massage" Sakroni terus mengumpulkan losen, minyak urut, tuala, kain selimut lalu diletakkan di hujung katil.

"Ada urut ke?" kata seorang pelanggan yang baru muncul.

"Mestilah ada, sila masuk" jemput Sakroni.

"Biasa 2 jam tapi kali ini 1 jam cukuplah" kata pelangan itu lagi.

Sakroni terus memulakan dengan membuat pemanasan dari belakang badan. Diurut ditekan dengan tapak tangan dari kaki sampai ke tengkuk ke atas lalu ke bawah. Setelah itu diurut dari bahu terus ke kaki dan di akhiri dengan menepuk menepuk dari kaki ke tengkuk pelanggan. Pelanggan nampak relaks hampir terlelap. Kemudian Sakroni memulakan urutan dari kaki kiri lalu ke seluruh badan sehingga selesai. 


Salim hanya melunjur di sofa luar kedai sambil menjawab panggilan Siti pesakit yang pernah diubatinya secara jarak jauh. Sementara menunggu pelanggan lain hadir, barulah mereka sempat berbual.

"Bang, ada rawat Siti lagi ke?" Sakroni bertanya perkembangan terkini pesakit itu.

"Kali ini Siti terus saya jumpakan di rumah Arif" jawab Salim.

Perut Siti kadang-kala seperti mengandung, kemudian tidak menentu kembali seperti sedia kala. Sebaik sahaja Siti berhadapan dengan Arif, dia terus bercakap dengan bahasa asing yang tidak difahami. Tanda jelas ada makhluk lain menghuni tubuhnya.

"Nak keluar secara baik atau nak aku hantar ke bukit qaa!!!" bentak Arif pada makhluk itu.

"Ha ha ha he he he" Siti kelihatan mentertawakan Arif.

"Kau harus bebaskan Siti, kan kau dah lama dengan dia" arah Arif beberapa kali.

"Aku dah penjarakan Siti, yang ada hanya akulah" makhluk itu masih enggan.

"Kau degil ye, baiklah" kata Arif geram.

Arif berdoa mohon pada Allah swt agar dapat wasilah daripada Nabi Sulaiman as dan mohon agar bantuan daripada Ayahanda. Arif dapat lihat ketibaan orang-orang Ayahanda.

"Mohon cabutkan paku di peha Siti, dan pakukan di tapak kaki si degil tu" arah Arif .

Siti menjerit kesakitan. Arif terus mengarahkan orang-orang Ayahanda bertindak lagi.

"Cucukkan di lehernya. Potong rambutnya yang panjang tu. Itu tangkal bertali merah buangkan dari pinggang Siti" arah Arif seterusnya.

Arif dapat lihat ada barang-barang ditanam depan dan belakang rumah Siti jauh di utara sana. Kesemuanya diambil dan dibakar. Arif terus menyusuri asal usul makhluk itu. Arif dinampakkan kubur lama. Arif terus arahkan tentera Ayahanda ke sana. Kuburan asal makhluk itu di bongkar dan batu nisannya dicabut. Kaki patung yang ada di situ dipatahkan. Satu patung dalam perut Siti dan dua lagi di luar rumah segera dikeluarkan lalu dibakar. Siti layu dan pengsan seketika. 


"Siti, kau sekarang dah bebas" Arif mengejutkan Siti yang masih lemah.

Kemudian Arif teruskan dengan mengebas badan Siti dan mengarahkan agar dia pergi mandi. Setelah selesai badan pesakit terasa ringan seperti kehilangan beban yang selama ini dipikulnya. Tak ternilai dek wang tak terkata dek bahasa gembiranya Siti akan jasa dua beradik berkenaan.

Apabila orang-ramai lalu-lalang di Larkin Sentral sudah reda, mereka pun mengemas kedai untuk pulang. Sampai di Darul D Khyla (nama baru pondok Sakroni sempena nama cucu sulungnya), Salim terus duduk sambil menghembuskan asap rokok sigarilosnya ke langit. Sakroni pula membelek-belek nota tugasannya; kiraan kadar dos sinar x untuk alat pengimbas kenderaan berat yang hendak dipasang di pintu masuk negara nanti

"Bang, ikut pendapat Arif kahwin dengan makhluk ghaib boleh ke?" Sakroni membuka mulut bertanya.

"Boleh je, tapi hati kena bersih" jawab Salim.

"Bersih camna bang?" soal Sakroni lagi.

"Mereka tu sangat taat, jujur dan berhati murni. Pokoknya mereka sangat baik, bersuara lembut semacam bidadari. Jadi orang baik sesuai kahwin dengan orang baik juga" tambah Salim lagi.

"Camna tentang nama mereka?" Sakroni beriya sangat nak tahu.

"Macam kita juga, ada yang bernama bunga Cempaka, Melur, Melati; juga nama-nama biasa Aishah, Zainab. Yang utama sekali mereka tidak pernah cemburu" jelas Salim lagi.

"Paras wajah?" sambung Sakroni.

"Waduh mereka terlalu cantik dengan rambut panjang, badan langsing, muka bujur bermata tajam bermagnet dan manja....ah , tak tahu nak cakaplah" terang Salim.

"Abang ni macam ada pengalaman je" pancing Sakroni lagi.

Salim hanya membalas dengan senyuman penuh makna.

"Saya ini layak tak bang?" usik Sakroni.

"Nak jugak ke?" kata Salim sambil memandang dengan penuh hairan.

"Kan ini yang dinamakan madu manis bang" jawab Sakroni sambil tersengih.

'"Pandai lah awak ni, mentang-mentang isteri ghaib ini orang lain tak dapat lihat..." kata Salim disambung dengan gelak ketawa mereka berdua.

"Lewat dah ni, si Daeng takde telefon pulak. Ingatkan esok nak ajak dia sarap Restoren Nasi Padang enak belakang Jakel tu" kata Sakroni sambil menguap.

Mereka kemudian mengambil wudhu untuk solat tahajud kerana malam sudah pun melabuhkan tirai. Entah apa lagi pengalaman menarik yang akan mereka tempuhi tahun baru nanti.

Sunday, December 28, 2014

Tapa Belum Terjaga

Hujung minggu lepas, muncul sahaja sinar mentari sebuah CR-V berwarna perak telah datang menjemput Salim di kediamannya.

"Eh, kenapa tak U-turn tadi? Kita bukan nak ke Tampoi ke?" tanya Salim kepada pemandu.

"Kita ke Kulai" jawab Sakroni sambil melencong kiri ke selekoh masuk Lebuhraya E22. 


Langsung tidak bergoyang jip berkenaan melalui selekoh tajam kerana penyerap hentaknya baru sahaja ditukar. Salim sempat menjeling ruang belakang penuh dengan penyapu, penyodok sampah, pengepit botol, sarung tangan, topeng mulut dan peralatan pembersihan yang lain.

Sungguh luas dan elok binaan masjid yang bertentangan dengan terminal bas itu. Sakroni sering berkunjung untuk solat kerana lokasi begitu hampir dengan kantor perusahaan tempat dia bekerja. Tapi hati Sakroni tersentuh melihatkan persekitaran yang tiada perubahan. Botol plastik bertaburan di longkang. Sampah-sarap daun berlonggok di bucu tembok sehingga hampir menjadi baja. Kertas tisu, plastik pembungkus di buang di celah pasu dan pokok bunga. Tong sampah ada yang tidak bertutup dipenuhi air yang berbau. Kenapa begitu ramai jemaah yang melihat tetapi hati tidak berniat berbuat sesuatu. Alangkah sedihnya Nabi swt jika baginda sendiri melihat keadaan itu. Jika imej kekotoran ini yang ditampilkan umat akhir zaman, dalam diam ia menjadi celaan penganut agama lain yang rumah ibadatnya jauh lebih sempurna kebersihannya. 

Sampai sahaja di perkarangan masjid, Pajely dari Felda berdekatan telah menunggu mereka. Peralatan diagihkan lalu tanpa menghiraukan orang ramai lalu-lalang mereka mengambil tempat masing-masing menyapu dan mengutip sampah persekitaran masjid 3 tingkat berkenaan. Hampir 2 jam kemudian, Daeng yang baru keluar hospital pula muncul membawa plastik sampah hitam yang besar seperti yang dipesan Sakroni. Tanpa mengharapkan sebarang upah, setelah siap mengemas Kumpulan Ikhlas menaikkan semula peralatan ke dalam but jip. Sebelum beredar, mereka solat sunat 2 rakaat sebagaimana arahan Tok Karim. Jip pantas dipandu Sakroni kerana telah mendapat panggilan telefon ada tetamu hendak bertandang ke rumah. 


"Abang sihat? Lama kita tak bersua" Arif bertanya khabar.

"Saya OK je, jarang di rumah. Selalu di sini" jawab Salim merujuk kepada rumah Sakroni.

"Bapak gunung dah balik Sulawesi, dia telah berpindah rumah kerana istananya telah di ambil alih kerajaan" Arif membuka cerita.

"Surat-surat bukti yang Bapak adalah pewaris kerajaan kan ada di tangan bibik penjaga istana" maklum Salim.

"Moga-moga pemerintah dapat jumpa bibik dan surat bukti pewaris dapat ditunjukkan" kata Arif.

"Jadi Bapak dah tak di gunung, entah bila pulak akan balik?" fikir Salim.

"Entahlah bang, tentunya tidak pasti. Kalau bapak balik, kita berdua naik ke sana bang" ajak Arif.

"Adik ingat tak lubang gua yang terus ke laut di gunung tu?" imbau Salim pada Arif.

"Yang di tepi-tepinya ada semacam tapak-tapak besar tu, apa benda tu bang?" sahut Arif yang hairan.

"Menurut Bapak, di gunung tu ada dua naga tapa yang besar. Semasa hujan lebat empat hari empat malam, waktu itulah dia bergerak dan turun ke laut" jelas Salim. 

"Dua-dua ke?" tanya Arif lagi.

"Yang satu lagi belum. Sedang yang ini turun pun dah terpecah batu-batu gunung, terbongkar pokok-pokok besar, terjadi lah kolam kolam bekas tapak kakinya semasa naga itu bergerak ke laut" tambah Salim sambil menghembuskan asap sigarilosnya. 


Sakroni melopong mendengar perbualan dua beradik itu. Rupanya haiwan dongeng berkenaan benar-benar wujud pada zaman ini. Malahan ular besar bertapa yang badannya sudah diliputi lumut kelihatan seperti sebatang kayu pun pernah dijumpai oleh Salim.

Sakroni hanya pasang telinga sambil memicit-micit titik Yang Ce di pergelangan tangannya. Kemudian kelihatan Sakroni menunduk memicit pula titik YinKu di bawah lutut dan titik San Yin Ciao empat jari atas buku lali.

"Picit apa tu?" tanya Salim melihat gelagat tuan rumah.

"Itu titik-tik urutan refleksologi, pulihkan tenaga kita bang" jawab Sakroni yang sekali-sekala memantau kedai urut miliknya dan membantu kalau kekurangan pekerja.

"Pengubatan Suryani hari tu camna?" tanya Sakroni pada Salim.

Suryani mengalami badan seperti di cucuk-cucuk jarum. Sudah kurus kerana sudah sebulan hilang nafsu makan. Muntah-muntah sekiranya cuba makan, semakin melidi dan lemah keadaannya. Rawatan yang pertama awal bulan, Arif berjaya mengeluarkan makhluk perempuan. Setelah beberapa hari Suryani terkena lagi, kembali dia datang menemui Arif.

"Pandang muka saya! Jangan pandang tempat lain! Kenal atau tidak?" bentak Arif pada Suryani yang mengelak berhadapan dengannya.

"Sangat kenal, saaaangat kenal tuan..." jawab makhluk yang ketakutan dalam badan Suryani.

Selepas Arif kebas, terpelanting makhluk perempuan dari tubuh Suriyani yang masih lemah.

"Perempuan lagi?" respon Salim cuba memahami.

"Anak perempuan kepada perempuan tua yang keluar minggu lepas. Dia ada di sebelah Suryani. Ayah dia pun ikut, tengok je dari jauh bersama sepasang anaknya lagi" tambah Arif.

"Camna tu? Lengkap anak-beranak" Salim agak khuatir.

"Saya dah beri kata dua dan mereka dah berjanji tidak mahu mengganggu lagi. Kalau mungkir hancur diri mereka" tegas Arif yang memerhatikan makhluk halus sekeluarga itu berlalu pergi.

Rancak perbualan mereka bertiga sehingga tidak sedar sudah lewat petang. Arif meminta izin untuk pulang dan berjanji akan singgah lagi sekiranya beliau bersiar-siar di kawasan berdekatan. Dua beradik itu berpelukan dan mereka menghantar Arif ke kereta untuk balik ke rumahnya. Sakroni sempat menunjukkan Salim mesej Whatsapp Daeng hendak datang ajak mengeteh malam nanti.