"Assalamualaikum bang, badan saya lemah tidak boleh melawan..." adu Siti di utara melalui talian telefon kepada Salim. Nada suaranya lesu akibat derita tanpa henti setelah sekian lama.
Salim berbatu-batu jauh di hujung selatan mendengar dengan teliti. Setelah bertafakur sejenak, Salim nampak makhluk ghaib yang mengganggu. Benarlah kata Siti ada lelaki segak selalu ingin duduk di sebelahnya setiap masa.
"Bang tolong halau dia. Saya dah usaha ke mana-mana, tapi makhluk ini masih datang juga" rayu Siti pada Salim.
"Kejap saya ke sana" ujar Salim.
Salim memaklumkan terlebih dahulu ciri-ciri wajahnya yang bermisai, dengan mata dan warna kulit yang hitam manis supaya Siti tidak terkeliru nanti.
"Eh abang dah sampai" kata hati Siti apabila Salim menjelma dan terus berbincang dengan lelaki segak itu.
"Siti, lelaki ini degil. Saya akan panggil Arif ke sana untuk membantu" sambung Salim.
Kini Siti dapat lihat tiga orang sedang berbincang di sebelahnya. Cuma suara tidak kedengaran. Kelihatan Arif begitu rapat dengan Salim. Keadaan masih tidak berubah, lelaki segak itu tetap tidak mahu berganjak.
"Makhluk ini masih melawan, nanti saya minta Ayahandaku sendiri datang dan menyelesaikannya" kata Salim geram.
Benar-benar menghairankan, Siti dapat lihat kedatangan Ayahanda dan sekarang sudah empat orang di sisinya.
Kelihatan Ayahanda memberi kata dua kepada lelaki itu, lalu akhirnya lelaki segak itu kelihatan ketakutan dan terus hilang.
"Siti kat Kota Setar sana nampak semua tak?" soal Salim pada Siti.
"Ye betul la bang, lelaki segak itu dah takde" jawab Siti lega.
Serta-merta badan Siti terasa ringan kerana kehilangan beban yang selama ini terletak dan membelenggu tubuhnya. Sakroni di sebelah Salim mampu pasang telinga sahaja, kerana sibuk melayan wakil media tentang alat pengimbas kenderaan berat pelabuhan yang hangat diperkatakan di dada akhbar.
Terbit sahaja mentari esoknya, di atas meja makan sudah terhidang ubi rebus yang lembut untuk dicicah madu. Azmi dan Mat yang baru balik dari bertugas di Temasik turut sarapan bersama-sama Sakroni dan Salim.
"Orang bunian sebenarnya macam mana?" Sakroni menanya Azmi.
"Ada bunian dunia dan bunian dewa. Kaum perempuannya sangat cantik dan rupa mereka hampir sama. Bunian dewa perkampungan mereka sangat kemas bersih, rumah didirikan di atas tanah berpasir putih. Kayu menjadi bahan binaan rumah mereka dengan taman bunga indah berkelopak besar besar berbanding di alam kita. Masjid berdiri megah cuma surau tak kelihatan" terang Azmi panjang lebar.
"Apa kerja mereka?" soal Sakroni lagi.
"Orang ini tidak berniaga bermakna rumah-rumah kedai tak ada. Mereka bekerja ikut minat masing masing. Ada penternak, petani, penjaga harta, penanam kunyit hitam. Ayam hutan tu belaan mereka" celah Salim.
"Mereka guna kenderaan?" tanya Sakroni lagi.
"Kenderaan mereka berbagai bentuk. Ada tiga segi, empat segi dan lonjong. Kenderaan mereka boleh bergerak melayang-layang seperti UFO dan boleh menembus halangan seperti pokok, bangunan atau apa sahaja yang ada di hadapannya tanpa perlu mengelak. Masjid jadi pusat pengajian yang diuruskan oleh pak mufti yang menggalas tugas imam. Suasana kampung sangat aman tenteram, klasik dengan binaan kampung konvensional" jawab Azmi lebih lanjut.
Mengimbau pasal Azmi, dia sangat bertuah dikurniakan ilmu laduni. Terbuka hijabnya sehingga mampu melihat dan mengalami hal-hal yang begitu unik yang tak terfikir dek akal. Satu ketika semasa sedang beramal dirumahnya, Azmi dapati dirinya sudah sampai di Mekah.
"Waktu saya di sana saya melihat Mat berada di sana" cerita Azmi lagi
"Waduh-waduh apa sahabat kita ni buat apa di sana?" soal Sakroni sambil menoleh ke arah Mat.
"Dia sedang tawaf sambil memegang kitab warna biru" beritahu Azmi.
Mat senyum sahaja tanpa berkata apa-apa semasa kisahnya diperdengarkan. Mat seorang yang pendiam, tetapi punya kesungguhan dalam mempelajari kitab Al Sirrur Asror. Selalu berfikir tentang diri dan yang empunya diri. Berfikir tentang mati dan kembali ke rahmatullah.
"Mi sebelum balik, tolong lihatkan Pak Usop apa halnya" pinta Salim.
"Seorang perempuan tak puas hati pada dia" balas Azmi.
"Tapi perempuan ini kena cakapkan dan tak boleh berdendam selamanya" kata Salim.
"Perempuan tu keras orangnya" jawab Azmi.
"Kalau dia berkeras juga Mi, awak minta pertolongan Allah semoga dengan berkat doa Tuk Karim dan syafaat Nabi saw semua makhluk halus yang disewa untuk mengganggu keluarga Pak Usop dinyahkan" kata Salim.
"Dah bang, Alhamdulillah" jawab Azmi ringkas setelah diam sejenak untuk berdoa tadi.