Selesai solat Subuh di masjid, Sakroni pergi mencari sarapan di deretan kedai berhampiran. Niatnya untuk membeli roti canai terpaksa dibatalkan kerana barisan pelanggan yang terlalu panjang bagaikan di kaunter tiket perlawanan JDT. Setibanya di rumah, kuih-muih yang dibeli dihidang bersama teh o nipis panas di pondok luar.
"Bang, tengok la ni. Ikan patin 200kg tersesat dibawa air bah" kata Sakroni sambil menunjuk foto di suratkhabar.
"Dulu saya ada kelong di Pasai belum pernah jumpa ikan sebesar itu" komen Salim.
"Pasai tu banyak cerita keramat kan bang?" tanya Sakroni.
"Eh benar. Waktu itu anak saya, Sidek sakit. Keadaannya dah biru bibir dan wajahnya pucat" imbau Salim.
Langit gelap dengan hujan tak henti-henti menyukarkan Salim hendak ke klinik. Salim semakin cemas melihat kondisi anaknya. Tiba-tiba kedengaran suara seseorang memberi salam.
"Dah sampai sini kenapa tak mampir? Saya Syed Anuar Azhar, ini cucu Bapak rupanya, saya kenal" tamu itu memperkenalkan dirinya.
"Tuan, anak saya sakit ni" adu Salim.
Salim segera menyediakan air dalam botol kemudian menghulurkannya kepada Tuan Syed. Setelah selesai berdoa, beliau menyerahkan semula botol berkenaan kepada Salim. Sebaik sahaja Salim memberi anaknya minum air tersebut terus Sidek tersedar. Pada masa yang sama juga Tuan Syed ghaib dari pandangan.
Esoknya Salim keluar ke pekan lalu bertanya pada seorang wanita berumur.
"Bu, apa di sini ada makam orang alim?" tanya Salim.
"Ada, tu di sebelah bangunan usang di kanan kita ni. Kalau di sini orang kenal dia makam Said Layang" jawab wanita itu.
Barulah Salim teringat nama Said Layang ada kaitan dengan lagenda Temasik. Beliau seorang alim datang untuk mengislamkan orang Melayu di sana. Tetapi malang, akhirnya timbul perbalahan sehingga beliau dihalau pulang. Apabila fitnah semakin menjadi-jadi, dengan doa beliau Allah swt timpakan bala maka terjadilah peristiwa Pulau Singa dilanggar todak.
"Cikgu Ghani telefon semalam, nanti kita singgah rumah dia" Sakroni mengingatkan Salim.
"Saya ikut apa kata P.A. saya" Salim mengusik Sakroni.
"P.A. tak bergaji ni" balas Sakroni tersengih.
Pasaraya Extra destinasi pertama kerana pekerja kedai mengadu rasa tidak selesa di premis berkenaan. Walaupun tuan kedai tiada, Salim terus bertafakur dan berdoa. Tidak lama kemudian, Sakroni diberitahu tiada gangguan dikesan. Pantang ternampak lori kecil Md Zain, mereka menyendol makan goreng pisang dan mencicipi keenakan es krim perisa durian.
Sampai sahaja mereka tiba di rumah Cikgu Ghani, mereka berdua dipersilakan duduk di meja makan berhampiran dapur.
"Ya Cikgu ada apa ye?" tanya Salim pada tuan rumah.
"Apa rasa Salim dengan rumah saya ni" Cikgu meminta pandangan.
"Sejuk bang, maksudnya baiklah" jawab Salim.
"Cakaplah terang-terang kalau hendak apa-apa lagi" tegur Cikgu pada Midah isterinya di sebelah.
"Baiklah Yah. Salim, kak ni semacam ada yang ganggu bila di bilik air di sini dan di rumah seberang tambak sana" maklum Midah.
"Ganggu camne kak?" Salim minta penjelasan.
"Kakak kena cakar di lengan, cucu pulak kena cakar di betis" ujar Midah.
Salim terus memandang ke langit kemudian ke kiri dan kanan.
"Oh gangguan pontianak, dia kata berasal dari Tanjung Bidadari tak jauh dari rumah kakak" terang Salim.
"Tempat tu ada lagi tapi dah berubah" sahut Kakak mengiyakan.
"Dah dari Kakak kawin lagi, dia dah ikut Kakak" tambah Salim lagi.
"Dari mana ye?" tanya Midah ingin tahu.
"Sebelum Cikgu kan ramai yang minat Kakak" jawab Salim jujur.
"Hebat Cikgu, pakai apa sampai Kakak tertarik dengan Cikgu!" celah Sakroni mengusik.
Cikgu Ghani hanya senyum sambil menjeling isterinya.
"Boleh tak buangkan?" pinta Midah.
"Inshaa Allah kita pindahkan ke tempat yang dia mahu" jawab Salim setuju.
Mula-mula Salim pindahkan pontianak itu ke tangki air taman tetapi ternyata diberitahu sudah ada penghuni di situ. Lalu Salim pindahkan sementara ke rumah kosong berdepan rumah Cikgu.
"Pindah ke rumah itu dan janji jangan kacau orang" tegas Salim.
"Saya janji duduk sana dan tak kacau sesiapa pun" jawab Ponti akur dengan arahan yang diterimanya.
Cikgu Ghani dengan senang hati menjamu tetamunya hidangan ayam panggang sambal jawa dengan ulam-ulaman. Mereka berempat makan bersama mensyukuri rezeki dan kesihatan dipertemukan pada masa itu.
"Ada apa-apa lagi Cikgu?" tanya Sakroni.
"Apa boleh kami minta amalan tu?" mohon Cikgu pada Salim.
"Cikgu adalah guru disiplin saya dulu, masakan saya nak biarkan Cikgu begitu saja. Tapi apakah Cikgu dah bersedia untuk menerima ini?" Salim ingin kepastian.
"Apa maksud bersedia tu?" Cikgu masih kurang faham.
"Maaf, Cikgu mampu ke Mekah dah berkali-kali umrah. Tiap tahun melawat benua lain, malah baru balik dari Kasmir. Masih banyak lagi nak buat dan dilawati. Tentu ini agak sukar untuk fokus beramal" ujar Salim.
"Kami dah puas ke tanah suci, jadi nak la berubah" sahut Cikgu.
Cikgu dan isterinya mengangguk seolah-olah faham maksud tersirat apa yang dituturkan Salim.
"Ada orang ke Mekah dengan wang yang banyak, tapi bagi yang tak punya wang belum tentu mereka tak sampai ke sana" kata Salim lagi.
"Maksud Salim camna tu?" tanya Cikgu kebingungan.
"Dengan izin Allah swt boleh sahaja mereka ke sana bila-bila masa mereka niatkan" sambung Salim ringkas.
Cikgu dapat membaca pengalaman siapa yang Salim ceritakan itu. Salim yang rendah hati selalu berkata 'maaf kalau saya salah' sebelum memulakan ceritanya. Terasa di hati Cikgu walaupun hartanya melimpah-ruah; rupanya ada orang yang lebih miskin tetapi mampu melakukan perkara yang sama dengan lebih baik lagi dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa.